Friday, 23 September 2022

GURU BERSARA AWAL PUNCA SEKOLAH MENGALAMI KEKURANGAN GURU

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon (tiga, kanan) melawat galeri Tsung Wah selepas merasmikannya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tsung Wah hari ini.

KUALA KANGSAR: Tindakan guru yang memilih untuk bersara awal sejak kebelakangan ini menyebabkan terdapat sekolah mengalami kekurangan guru bahasa walaupun pengambilan secara one-off atau sekali pengambilan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata KPM bagaimanapun sentiasa komited melaksanakan pelbagai usaha berterusan bagi mengatasi masalah kekurangan guru.

"Untuk pengambilan one-off sejumlah 18,702 guru, kita sudah dapat lebih daripada 100 guru bahasa Cina untuk seluruh negara.

"Jadi, pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan jumlah tenaga pengajar yang mencukupi untuk semua sekolah. Pelbagai usaha telah kita ambil dan mana-mana yang sesuai telah kita buat (untuk mengatasi masalah kekurangan guru)," katanya kepada media selepas merasmikan galeri Tsung Wah dan sesi ramah mesra bersama pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tsung Wah di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai masalah kekurangan guru bahasa iaitu bahasa Inggeris, Cina dan Tamil di seluruh negara meskipun 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off telah dilantik dalam pengambilan khas bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) tahun lalu.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dipetik berkata, KPM meneliti masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di Kelantan yang berlaku sejak sekian lama dalam usaha memastikan murid-murid di negeri ini menerima tenaga pengajar yang memiliki ikhtisas sepatutnya.

Radzi berkata sekolah di Kelantan kekurangan seramai 450 guru bahasa Inggeris di sekolah rendah dan lebih 200 di sekolah menengah dan kekurangan itu ditampung oleh guru bukan opsyen yang mendapat latihan serta dikenal pasti berkemampuan untuk menyampaikan pengajaran mata pelajaran berkenaan.

BERNAMA ONLINE

TIGA PERKARA UTAMA DITUNTUT KPM DALAM BAJET 2023

Datuk Dr Radzi Jidin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memohon tiga perkara utama disenaraikan Kementerian Kewangan dalam pembentangan Bajet 2023 yang akan diumumkan pada 7 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata tiga perkara utama itu berkaitan pertambahan kadar Rancangan Malaysia Tambahan (RMT), peranti untuk guru serta pendidikan khas kepada murid.

"Sebenarnya banyak yang kita minta kepada Kementerian Kewangan, namun untuk hari ini kita hanya maklumkan mengenai tiga perkara ini. Pertama adalah RMT, kita mohon supaya kadar itu dilihat semula dan ditambah baik dengan harga yang sepatutnya. Sebelum ini kadar yang ditetapkan adalah sebanyak RM2.50 bagi setiap murid.

"Malah, perkara ini juga adalah antara rungutan yang diterima daripada pengusaha kantin, bila berlaku peningkatan kos namun dalam masa sama peruntukan yang diterima itu kecil dan ia memberi impak terutamanya untuk sekolah yang tidak mempunyai murid yang ramai," katanya dalam sidang media selepas program Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan, hari ini.

Pada pembentangan bajet sebelum ini, KPM menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.

Radzi berkata, beliau juga memohon peruntukan bagi peranti untuk guru kerana sebelum ini penjawat awam lain secara umumnya disediakan stesen kerja atau komputer riba kepada mereka jika bekerja di pejabat.

"Untuk guru ini mereka ada stesen kerja, namun dalam konteks ini mereka tidak disediakan peranti atau komputer untuk melaksanakan kerja. Jadi kita mohon untuk bajet kali ini dipertimbangkan supaya memberikan peranti kepada guru memandangkan kini negara sedang bergerak ke arah digitalisasi," katanya.

Perkara terakhir yang Radzi ingin pertimbangkan ialah mengenai pendidikan khas murid kerana masih terdapat jurang dengan negara lain.

"Sejak saya masuk ke kementerian ini dua tahun lalu, saya sedar bahawa pendidikan khas ini ada jurang dengan negara lebih terkehadapan. Jadi kita mohon supaya peruntukkan lebih bagi melonjakkan pendidikan khas ini ke tahap yang lebih tinggi.

"Ini kerana kita mahu, anak-anak dalam golongan itu apabila sudah besar nanti dapat berdikari dan ibu bapa pasti gembira dapat melihat anak mereka boleh hidup sendiri.

"Kita mahu pastikan pendidikan khas ini mendapat ruang secukupnya, jika dahulu ada sekolah keperluan khas ini tidak banyak infrastruktur dan hanya mempunyai minimum empat infrastruktur, jadi kita mahu perkara ini diberi penekanan khusus," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 21 September 2022

MALAYSIA KOMITED LAKSANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Malaysia komited melaksanakan transformasi melalui sistem pendidikan bagi memastikan tiada kanak-kanak di negara ini ketinggalan dalam mengikuti pembelajaran di sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan komitmen itu ketika berucap pada Sidang Kemuncak Transformasi Pendidikan 2022 (TES 2022) yang diadakan di New York, Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan melalui pelbagai program antaranya Sekolahku SEJAHTERA, komponen Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (ESD) dan Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED) ke dalam kurikulum kebangsaan.

Katanya, inisiatif sama juga dilaksanakan melalui Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMA) dan mengutamakan sistem data amaran awal untuk merancang intervensi yang disasarkan dan untuk mengurangkan kadar keciciran.

"Malaysia mengesahkan komitmen dalam menyokong, membabitkan diri dan bekerjasama dengan semua pemegang taruh untuk memastikan tiada kanak-kanak tertinggal.

"Oleh itu, Malaysia akan terus memastikan sistem pendidikannya lebih saksama, inklusif, relevan, dan berdaya tahan dalam menghadapi krisis seperti wabak baru-baru ini, selain berdepan sebarang pembaharuan pada masa hadapan.

"Salah satu langkah transformasi utama yang kami lakukan adalah untuk membentuk semula pendekatan terhadap pembelajaran awal dan perkembangan kanak-kanak.

"Kami ingin memupuk nilai, sikap dan tingkah laku yang positif sambil menangani keperluan asas kesihatan mental dan kesejahteraan untuk murid sekolah," katanya ketika berucap melalui rakaman video pada TES 2022.

TES 2022 yang diadakan bermula Jumaat hingga Isnin lalu memberi tumpuan kepada usaha untuk mewujudkan pendidikan terbaik kepada kanak-kanak global menerusi pelbagai kaedah bersesuaian.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, tanggungjawab global diperlukan bagi mengubah pendidikan demi mencapai matlamat pembangunan mampan untuk masa depan lebih baik kepada semua.

Beliau berkata, selaras dengan itu, Malaysia terus mengukuhkan perkongsian dengan institusi dan industri untuk berkongsi pengalaman serta melahirkan inovasi dalam bidang berkenaan.

Selain itu katanya, Malaysia juga menggalakkan pembangunan kebolehan pembelajaran sepanjang hayat, keupayaan inovasi yang mampan dalam sistem pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha transformasi.

"Melalui Sekolahku SEJAHTERA pada tahun 2021, Malaysia menggariskan 14 elemen yang membolehkan guru mengintegrasikan pembelajaran harian untuk menyemai nilai positif.

"Malaysia juga memasukkan komponen ESD dan GCED ke dalam kurikulum kebangsaan untuk menggalakkan budaya keamanan, tanpa kekerasan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia dalam kalangan pelajar kami dari muda.

"Selain itu melalui DELIMA, Malaysia akan terus membangunkan dan menaiktaraf struktur maklumat serta infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di semua sekolah.

"Kami juga sedang menggalakkan kurikulum bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menyediakan pelajar pengalaman pembelajaran holistik," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 8 September 2022

TEMPATKAN MURID DI ASRAMA, PENGANGKUTAN PERCUMA TANGANI ISU SEKOLAH KURANG MURID

Sekolah Kurang Murid kebanyakan berlaku di kawasan luar bandar dan estet getah atau kampung lama.

PUTRAJAYA: Seorang pakar pendidikan mencadangkan murid ditawarkan penginapan di asrama atau ditempatkan di sekolah lebih baik, dengan kemudahan pengangkutan ditanggung kerajaan bagi menangani isu Sekolah Kurang Murid (SKM), yang semakin serius ketika ini.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata pendekatan itu dapat memastikan murid terbabit tidak terus tercicir daripada peluang pendidikan berkualiti.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bersikap tegas dalam menangani isu SKM, termasuk menutup sekolah terbabit, bagi membolehkan murid di kawasan terbabit mendapat kualiti pendidikan sewajarnya .

"Murid yang dihantar ke sekolah yang lebih jauh boleh ditawarkan penginapan di asrama atau sediakan kemudahan pengangkutan secara percuma jika ditempatkan di sekolah yang jauh daripada kediaman, seperti yang dilakukan untuk murid Orang Asli.

"KPM perlu bersikap tegas dalam perkara ini kerana apa yang lebih penting, mutu pendidikan kepada kanak-kanak ini. Jika isu ini dibiarkan berterusan, murid terbabit akan tercicir daripada peluang pendidikan dan pelbagai kemudahan lain.

"Apabila ibu bapa tidak lagi menghantar anak ke SKM yang berdekatan dengan kediaman mereka, lama kelamaan ia akan terpaksa ditutup," katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan media hari ini, yang menyebut Kementerian Pendidikan mewujudkan jawatankuasa kecil di peringkat kementerian bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu SKM di SJKC yang semakin serius.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata langkah selari juga akan diambil untuk membantu menyelesaikan masalah SJKM di SJKT dan SK.

Ketika ini, katanya, terdapat 3,017 SKM di seluruh negara, dengan 367 sekolah atau 69.6 peratus daripada 527 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), diikuti 616 atau 47.3 peratus daripada 1,302 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 2,034 atau 34.6 peratus daripada 5,877 Sekolah Kebangsaan (SK).

Menyambut baik langkah penubuhan jawatankuasa itu, Anuar berkata, isu SKM sudah berlarutan sejak sekian lama dan yang menjadi mangsa adalah murid kerana tidak menikmati kualiti pendidikan terbaik berikutan bersekolah di SKM serba kekurangan.

Beliau berkata, perlu ada perundingan politik untuk menangani isu berkenaan, namun isu itu tidak akan dapat diselesaikan jika pemimpin politik tidak bersedia untuk menutup sekolah yang mengalami kekurangan murid.

"Isu SKM ini tidak seharusnya dipolitikkan dan dianggap sebagai tindakan kerajaan untuk menghapuskan sekolah aliran vernakular.

"Isu ini pernah dibawa oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika memegang jawatan Menteri Pelajaran, iaitu antara yang terawal membincangkan mengenai SKM. Sepatutnya ia boleh diselesaikan, tetapi menjadi sukar apabila turut membabitkan elemen politik," katanya.

Anuar berkata, masalah SKM kebanyakannya berlaku di kawasan luar bandar dan estet getah atau kampung lama.

"Apabila masyarakat Cina dan India serta generasi seterusnya tidak lagi tinggal di kampung atau estet dan berpindah ke bandar, anak mereka tidak lagi bersekolah di kawasan kampung baru dan penempatan lama.

"Namun, ada juga yang tidak mahu sekolah yang ada di kawasan mereka ditutup walaupun sudah tidak ramai murid ke sekolah itu," katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, kementerian perlu menetapkan tempoh sasaran pelaksanaan langkah menangani SKM itu bagi memastikan isu itu berlanjutan.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 7 September 2022

PAKAI PELITUP MUKA DALAM BANGUNAN KINI ATAS PILIHAN

KPM TUBUH JAWATANKUASA TANGANI ISU SEKOLAH KURANG MURID DI SJKC

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon bergambar bersama ahli jawatankuasa selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja SKM Cina di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Tiga jawatankuasa kecil sudah diwujudkan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu Sekolah Kurang Murid (SKM) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata ketika ini terdapat 3,017 SKM di seluruh negara dengan 367 atau 69.6 peratus daripada 527 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), diikuti 616 atau 47.3 peratus daripada 1,302 SJKC dan 2,034 atau 34.6 peratus daripada 5,877 Sekolah Kebangsaan (SK).

"Kita sudah menubuhkan jawatankuasa SKM membabitkan pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai masalah khususnya jumlah SKM di SJKC yang semakin serius.

"Beberapa jawatankuasa kecil diwujudkan yang pertama jawatankuasa kecil untuk mencari penyelesaian bagaimana untuk membantu, mengadakan interaksi dan mengumpul maklumat daripada lembaga pengurusan sekolah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja SKM Cina, di sini, hari ini.

Hang Soon berkata, jawatankuasa kecil kedua akan bertindak untuk menyediakan bahan bacaan bantuan serta aktiviti dan program untuk meningkatkan paras atau mutu pengajaran dan pembelajaran (PdP) di SKM berkenaan.

Beliau berkata, jawatankuasa kecil ketiga bertujuan untuk menjalankan kajian menyeluruh dan mendalam bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh SKM terbabit.

Katanya, ia bagi membolehkan satu pelan pembangunan dapat dikemukakan bagi membantu dan selaras dengan pelan pembangunan pendidikan untuk menaikkan taraf PdP di SKM SKJC.

"Selepas ini ketiga-tiga jawatankuasa kecil itu akan buat kerja dengan segera dan hasilnya akan dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

"Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pegawai dan selepas ini langkah selari akan dapat diambil untuk membantu menyelesaikan masalah di SKM di SJKT dan SK.

"Jawatankuasa ini adalah projek rintis yang boleh dikembangkan kepada sekolah aliran lain iaitu SJKT dan SK untuk menangani isu SKM," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bermesyuarat semula selepas tiga bulan bagi membentangkan dapatan kajian.

Ditanya faktor penyumbang kepada SKM, Hang Soon berkata, ia berkemungkinan membabitkan perubahan sosioekonomi serta demografi.

Beliau berkata, jika dilihat sejak kemerdekaan atau waktu zaman pra merdeka, ramai penduduk bertumpu di kawasan luar bandar, iaitu sebelum adanya urbanisasi namun perubahan zaman dengan pembangunan yang pesat di tempat tertentu membawa perubahan kepada demografi.

Pada masa sama, beliau berkata, faktor penularan COVID-19 sejak dua tahun lalu bukan penyumbang kepada kekurangan murid di SKM.

Selain itu, katanya, cadangan untuk menggabungkan SKM dengan sekolah lain turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Pun begitu, pihaknya perlu mengambil kira perasaan dan emosi masyarakat terhadap sekolah berkenaan.

"Kita kena lihat secara menyeluruh. Kita sedar bahawa masalah, cabaran yang dihadapi tetapi apa-apa langkah diambil perlu bertepatan dengan bukan sahaja dari segi PdP. Selain itu kita perlu memastikan ia bertepatan dengan kehendak masyarakat," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 1 September 2022

WARGA PENDIDIKAN TAWAN 11 PUNCAK GUNUNG, BUKIT

Peserta pendakian kalangan guru dan pelajar gembira selepas berjaya menawan puncak dalam aktiviti Misi Pendakian Merdeka i-Guru 2022.

SEREMBAN: Seramai 459 individu terdiri daripada guru, siswa jurusan pendidikan dan pelajar sekolah berjaya menawan 11 puncak gunung dan bukit secara berasingan di seluruh negara dalam Misi Pendakian Merdeka i-Guru 2022, semalam.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata pendakian secara serentak itu membabitkan gunung dan bukit antaranya Bukit Suling, Pulau Pinang; Bukit Semanggol, Perak; Shah Alam Backyard Trail, Selangor; Bukit Kiara, Kuala Lumpur; Gunung Datuk, Melaka dan Bukit Batu Putih, Negeri Sembilan.

"Manakala terdapat dua bukit lagi ditawan pada hari Sabtu dan Ahad lalu iaitu Bukit Kechubung, Kedah dan Bukit Tunggal, Perak.

"Antara aktiviti menarik yang dilaksanakan di lokasi adalah kibaran Jalur Gemilang serta laungan kemerdekaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, program pendakian itu dibuat sebagai simbolik kesungguhan warga guru mengangkat dunia pendidikan bagi mengukuhkan makna kemerdekaan negara.

"Ia adalah program yang julung kali diadakan bertujuan untuk mengajak warga guru dan pelajar bagi menghargai nikmat kemerdekaan negara di samping kesedaran terhadap kepentingan menjaga kecergasan fizikal," katanya.

Mohd Azizee berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan aktiviti sebagai acara tahunan setiap kali sambutan Hari Kebangsaan pada masa depan dengan pembabitan lebih ramai peserta.

BERITA HARIAN ONLINE