Thursday, 16 March 2023

FOKUS SELESAIKAN MASALAH ASAS PRASARANA SEKOLAH, KEMUDAHAN KESIHATAN DULU - ANWAR

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan pada tahun ini mengutamakan untuk menyelesaikan masalah infrastruktur sekolah dan kemudahan kesihatan yang begitu mendesak dan menyentuh kehidupan setiap rakyat.

Namun, Perdana Menteri berkata, itu tidak bermakna masalah lain tidak dianggap penting untuk diselesaikan, termasuk mengenai pengangkutan awam dan kesesakan jalan raya, yang mana akan diberi perhatian secara berperingkat pada tahun berikutnya.

"Dengan kekangan kewangan, hutang begitu banyak dan defisit, tentunya kita tidak boleh selesaikan semua masalah dalam masa yang singkat.

"Pada tahun ini, kita nak ambil langkah yang lebih tegas dan berani, belanja yang lebih tinggi untuk selesaikan masalah asas prasarana sekolah, tandas dan kelengkapan awal di sekolah serta klinik kesihatan dan perubatan.

"Sebab itu, dapat dilihat peningkatan yang agak mendadak bagi peruntukan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

"Saya tidak bermaksud untuk meremehkan atau mengurangkan tekanan mengenai aspek ini (pengangkutan) tetapi dalam strategi kita, tentulah apa kita mampu lakukan tahun demi tahun, selain meningkatkan prestasi semua kementerian, saya mahu masalah sekolah di negara kita dan kemudahan kesihatan yang menyentuh semua orang disegerakan, " katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; menteri Kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim.

Perdana Menteri berkata, soal pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas boleh menjejaskan produktiviti rakyat dan negara, yang membawa kepada kerugian kepada pendapatan, justeru akan diberi tumpuan melalui belanjawan tahun depan.

"Terpulang kepada Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan keutamaan. Selain daripada MRT laluan Putrajaya yang dilancarkan hari ini, ada beberapa keperluan lain yang mendesak," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengelak ketirisan dalam proses perolehan membabitkan projek pengangkutan, seperti MRT dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang membabitkan kos berbilion ringgit.

Katanya, kerosakan dan ketirisan bukan hanya membabitkan elit politik tetapi bidang pengurusan di pelbagai peringkat, yang perlu dipantau dengan lebih rapi.

"Jika tidak diurus dengan baik dan telus, ratusan juta itu bocor ke akaun lain, sama ada akaun parti atau perseorangan, yang menyebabkan negara mengalami ketirisan, tapi kalau dapat jimat dengan ketelusan pelaksanaan, kemudahan awam akan dapat diperbaiki," katanya.

Selain itu, beliau turut memberi contoh mengenai sebuah yayasan, yang diminta membuat pendekatan berbeza untuk membantu rakyat di bawah pentadbirannya, berbanding kerajaan sebelum ini.

Katanya, jika sebelum ini yayasan berkenaan menyalurkan wang sebanyak RM200 juta kepada parti politik, namun di bawah Kerajaan Perpaduan, yayasan itu diminta menyerahkan RM60 juta dan 30 peratus keuntungan kepada pesawah padi.

"Jadi, rakyat termasuk petani dan pesawah yang miskin di utara seperti di Kedah dan Seberang Prai serta Selangor boleh buat pilihan.

"Kita mahu pilih satu sistem, di mana wang daripada syarikat besar dialih kepada individu dan tokoh politik atau diserah secara langsung kepada pesawah padi yang miskin," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 15 March 2023

'PERUNTUKAN SEKTOR PENDIDIKAN TIDAK AKAN DIKURANGKAN'

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan peruntukan perbelanjaan pada tahun ini, termasuk penyelenggaraan untuk sekolah tidak akan dikurangkan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata walaupun peruntukan untuk KPM menerusi Belanjawan 2023 belum diluluskan di peringkat jawatankuasa, keperluan sekolah terutama dalam kategori daif tetap menjadi keutamaan.

"Peruntukan perbelanjaan tidak akan dikurangkan, tetapi dari semasa ke semasa, kita punya formula adalah (melihat) kepada keperluan sekolah, melihat kepada keutamaan kita seperti sekolah daif.

"Kemudian kita bagi (pengagihan) peruntukan itu seperti biasa… tiada pengurangan sebab kita nak pastikan sekolah itu selamat, sekolah itu selesa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menjelang sesi baharu persekolahan minggu depan, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan harga makanan di institusi pendidikan itu kerana ia termaktub dalam garis panduan dan terma ditetapkan oleh KPM.

"Sebenarnya isu harga makanan di kantin ini tidak timbul kerana ia berdasarkan garis panduan dan perjanjian antara kantin dan sekolah dan sekiranya terdapat isu terbabit, mereka (pengusaha kantin) boleh merujuk kepada terma itu dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, kita mengambil perhatian mengenai isu kos yang dibangkitkan dan sebagainya tetapi kena berbalik kepada garis panduan itu dan berbincang dengan pihak sekolah," katanya.

Ditanya sama ada KPM mempunyai perancangan untuk menyelaras harga makanan di kantin sekolah, Fadhlina berkata, ruang perbincangan itu terbuka namun perlu melihat kepada kontrak dan terma antara kantin serta sekolah.

"Kita dari semasa ke semasa melihat kontrak dan terma antara kantin dan sekolah. Seperti yang saya sebut tadi, ada ruang perbincangan itu dan kalau ada keperluan untuk selaras, kita akan lihat dari semasa ke semasa.

"Cuma untuk sekarang, setiap sekolah sudah ada perjanjian tersendiri, ia berdasarkan lokaliti dan sekolah berkenaan, jadi pandangan itu kita ambil perhatian cuma ruang itu adalah antara sekolah dan pihak kantin," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 26 February 2023

BELANJAWAN 2023: KPM GALAS TANGGUNGJAWAB BESAR KEPADA PEMBANGUNAN PENDIDIKAN NEGARA

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023 memberi impak optimum kepada pembangunan pendidikan negara menerusi tujuh teras digariskan bagi melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata peruntukan tertinggi diterima iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas akan memacu komitmen berterusan KPM untuk meningkatkan lagi kualiti infrastruktur sedia ada di sekolah-sekolah.

KPM berkata antara fokus utama kementerian dalam Belanjawan 2023 adalah meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan guru serta murid-murid.

Katanya Belanjawan 2023 juga menyaksikan sektor pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan dan mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.

Antara peruntukan Belanjawan 2023 adalah RM2.3 bilion untuk membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di sekolah-sekolah termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur 380 sekolah daif seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas, selain RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sebanyak RM560 juta juga diperuntukkan untuk pembinaan tujuh sekolah baharu antaranya SK Paya Dusun di Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Peruntukan itu juga bagi melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), selain RM15 juta untuk menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.

KPM juga menerima peruntukan RM777 juta berbanding RM625 juta tahun lepas untuk menyediakan makanan berkhasiat di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan 700,000 murid.

Selain itu, RM108 juta diperuntukkan untuk Program Makanan Prasekolah di bawah KPM yang akan memanfaatkan lebih 240,000 murid.

Menurut KPM, pemantauan ke atas penyedia makanan akan dibuat bagi memastikan makanan disediakan berkualiti dan berkhasiat selain komited untuk mengatasi isu kemiskinan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah melalui program-program tersebut.

Selari dengan arus pemodenan, KPM berkata keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital, justeru kerajaan juga akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 komputer riba pada tahun ini yang juga selaras dengan teras ketujuh KPM dalam meningkatkan keupayaan digital di sekolah.

Bagi memupuk perpaduan di samping mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan NGO dalam pembangunan anak-anak di sekolah, KPM berkata RM20 juta diperuntukkan bagi perlaksanaan program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada tiga buah agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di bawah KPM.

BERNAMA ONLINE

BELANJAWAN 2023: KEMENTERIAN PENDIDIKAN (KPM)

Saturday, 25 February 2023

BELANJAWAN 2023 ATASI KEMISKINAN DALAM PENDIDIKAN - FADHLINA

Fadhlina Sidek - Foto Arkib NSTP

KOTA KINABALU, 25 Feb (Bernama) -- Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, dilihat mampu mengatasi isu kemiskinan secara multidimensi melibatkan pelbagai perkara dan bukan hanya tertumpu kepada kemiskinan pendapatan semata-mata.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata belanjawan itu, dilihat berada pada landasan tepat untuk mengatasi kemiskinan dalam pendidikan, termasuk kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar, kemiskinan peranti bagi pembelajaran digital, dan kemiskinan infrastruktur melibatkan sekolah daif.

“Kemiskinan multidimensi kita tidak bercakap mengenai satu sahaja kemiskinan pendapatan, tetapi ia merentas pelbagai kemiskinan memerlukan wajah solusi juga secara multidimensi. Salah satu aspirasi saya (selaku Menteri Pendidikan) adalah bagaimana mengatasi kemiskinan multidimensi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Konvensyen Pembelajaran Digital 2023 di Universiti Malaysia Sabah di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.

Fadhlina berkata kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar terutama melibatkan golongan kurang berkemampuan, diberi perhatian kerajaan antaranya melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah yang sedang ditambah baik.

Beliau berkata selain RMT, kerajaan juga akan melaksana program untuk mengatasi isu kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar di peringkat lebih awal, antaranya di peringkat prasekolah melalui Belanjawan 2023.

“Melihat anak-anak kita kekurangan nutrisi adalah sesuatu yang amat menyayat hati, justeru apabila kita buat belanjawan ini, salah satu yang kita perjuangkan adalah nutrisi untuk anak-anak kita,” katanya.

Fadhlina berkata kemiskinan peranti pula boleh menjejaskan pembelajaran dalam kalangan pelajar, dengan sesi pembelajaran pada masa ini semakin pantas menuju pembelajaran secara digital pada pascapandemik COVID-19.

“Dalam Belanjawan 2023 sebanyak 50,000 peranti akan diberikan kepada pelajar di insitusi pendidikan dan sekolah, untuk memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran secara digital, kami akan agihkan peranti tersebut kepada negeri-negeri,” katanya.

Fadhlina berkata kemiskinan infrastruktur terutama melibatkan sekolah daif diberi penumpuan penuh kerajaan melalui Belanjawan 2023, terutama di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pelajar menuntut ilmu dalam persekitaran selesa juga kondusif.

Belanjawan 2023 antara lain memperuntukkan RM1.2 billion bagi menyiapkan segera pembaikan 400 klinik daif dan 380 sekolah daif; selain meningkatkan had sebut harga perolehan kerja pembaikan itu kepada RM1 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.

HARIAN METRO ONLINE

Friday, 24 February 2023

BELANJAWAN 2023 TELUS, DENGAR PANDANGAN RAKYAT UNTUK SEKTOR PENDIDIKAN

Gambar hiasan

NUTP berharap peruntukan RM2.3 bilion untuk penyediaan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah dapat menyelesaikan segala isu berkaitan yang dihadapi ketika ini.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat disifatkan sebagai telus serta mengambil pandangan rakyat terutamanya dari sektor pendidikan negara.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, peruntukan sebanyak RM2.3 bilion untuk penyediaan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah, diharap dapat menyelesaikan segala isu berkaitan yang dihadapi ketika ini.

“(Bagaimanapun), NUTP amat berharap pemilihan kontraktor haruslah dalam kalangan syarikat yang kompeten. Selain daripada itu, pemantauan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan juga harus dititikberatkan.

“Pemilihan kontraktor juga harus dibuat secara telus dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada masa yang sama, NUTP turut mengucapkan terima kasih di atas peruntukan naik taraf infrastruktur di 380 buah sekolah-sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk disegerakan serta berharap ia dapat menyelesaikan segala isu yang dihadapi.

Selain itu, beliau juga berharap agar kerajaan dapat mempertingkatkan kapasiti dan melihat kepada nisbah murid dan kelas keperluan khas kerana didapati terdapat kelas di sesetengah sekolah tidak mengikut nisbah murid yang ditetapkan.

Keadaan itu, katanya, berkemungkinan disebabkan permintaan yang tinggi daripada ibu bapa atau disebabkan kelas berkeperluan khas amatlah terhad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat memaklumkan KPM terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada 2022.

Daripada peruntukan itu, sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk infrastruktur dan kemudahan sekolah, merangkumi RM920 juta untuk naik taraf 380 buah sekolah yang daif, khususnya di Sabah dan Sarawak dan RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah.

Sementara itu, aktivis pendidikan, Mak Chee Kin berkata, tindakan kerajaan untuk memberi perhatian segera kepada sekolah-sekolah yang uzur berdasarkan keperluan dan mengurangkan kerenah birokrasi adalah satu langkah yang wajar.

Justeru, beliau mencadangkan prosedur berkaitan sepatutnya datang terus daripada kementerian kepada sekolah terbabit tetapi Jabatan Pendidikan Negeri perlu dimaklumkan dalam proses itu.

SINAR HARIAN ONLINE