Thursday, 23 March 2023

KPM KAJI WUJUDKAN PEMBANTU GURU, ATASI BEBAN TUGAS CIKGU

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan yang perlu digalas guru ketika ini.

Selain itu, Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, berkata KPM juga melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan tahun ini.

Beliau berkata, antara langkah berkenaan termasuk memansuhkan pertandingan, sambutan atau majlis pada semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid dan pelaksanaan penilaian kendiri sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2023 yang membabitkan guru kepada setahun sekali saja.

"Selain itu, kita juga melaksanakan penetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel dalam sistem e-kehadiran sekolah KPM iaitu jam 12 tengah hari untuk sesi pagi dan jam 5 petang untuk sesi petang; pelantikan pengawas peperiksaan awam terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pengajian tinggi.

"Penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan dihadkan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah saja. Selain itu, autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah diperkukuh dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Arman Azha Abu Hanifah mengenai rangka perancangan kementerian bagi menyelesaikan permasalahan beban kerja guru yang membawa kepada persaraan awal golongan pendidik, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Hui Ying berkata, tindakan guru bersara awal akan mengurangkan tenaga guru berpengalaman, namun perkara itu tidak dapat dihalang kerana ia hak setiap guru.

"Kita tidak boleh memaksa untuk mereka terus berkhidmat, namun KPM akan cuba sedaya-upaya menggalakkan guru terus mengajar sehingga tibanya waktu mereka bersara wajib pada usia 60 tahun," katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 21 March 2023

KPM TELITI KEMBALI MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN JANUARI - FADHLINA

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti cadangan mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula Januari berbanding Mac ketika ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, bagaimanapun berkata perkara itu masih belum boleh dilaksanakan pada tahun hadapan memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi berdasarkan pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

"Perubahan semula kalendar akademik persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina berkata, sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 masih dikekalkan pada Mac untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021.

Katanya, peraturan ini menetapkan jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang 190 hari.

"KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

KPM pada 2021 mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun itu dilanjutkan sehingga Februari 2022, dengan sesi persekolahan baharu akan bermula Mac.

Sebelum itu, kali terakhir sesi persekolahan baharu diubah secara drastik pada 1991 apabila ia diawalkan daripada Januari ke Disember bagi mengelak tarikh peperiksaan SPM dan STPM bertembung banjir besar yang biasa melanda Pantai Timur pada November dan Disember.

Perubahan itu dilakukan selepas peperiksaan SPM dan STPM 1988 terpaksa ditangguhkan beberapa minggu berikutan banjir besar yang melanda Kelantan.

Bagaimanapun, pada 1996, permulaan sesi persekolahan baharu dikembalikan kepada asal iaitu bermula Januari selepas mendapat bantahan pelbagai pihak kerana permulaan sesi persekolahan pada Disember dikatakan mengganggu perancangan keluarga untuk bercuti.

Pada 2015, Kementerian Pendidikan juga menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara ketika itu.

BERNAMA ONLINE

Sunday, 19 March 2023

KPM TANGANI ISU KEKURANGAN GURU 4 MATA PELAJARAN

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali mengadakan lawatan di SJK (C) Chung Hwa di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menangani isu kekurangan guru bagi empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata bagaimanapun pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk membuat pengambilan.

Beliau berkata, pada masa sama, KPM juga mencadangkan beberapa kaedah serta sudah mengadakan perbincangan bagi memperhalusi satu persatu keadah yang dicadangkan.

"Dalam masa terdekat, kita akan membuat proses pengambilan dan tawaran untuk guru-guru yang berjaya secara berfasa.

"Insya Allah, kekurangan guru yang sedang dihadapi akan kita tangani peringkat demi peringkat dan sudah tentu ia tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat, sebaliknya memerlukan masa dua atau tiga tahun.

"Kita juga akan bersama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan pihak universiti awam untuk meningkatkan pengambilan pelajar dalam bidang berkenaan," katanya selepas Perasmian Pengoperasian Minggu Pertama Pembukaan Sekolah Sesi Akademi 2023/2024 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada KPM akan mengubah semula takwim sesi persekolahan tahun depan, Pkharuddin berkata, pihaknya tetap berusaha untuk melihat ruang dan peluang untuk tempoh itu diawalkan.

Katanya, takwim persekolahan perlu mengambil kira jumlah hari persekolahan selama 190 hari setahun sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

"Bagaimanapun, mungkin ada kelebihan apabila sesi persekolahan dikekalkan pada Februari atau Mac kerana mungkin Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dielakkan pada musim Monsun Timur Laut.

"Dalam masa sama, tempoh menunggu untuk mendapat keputusan peperiksaan dan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) atau pusat latihan tidak terlalu panjang sekali gus mengelakkan pembaziran waktu," katanya.

Pkharuddin berkata, pihaknya memahami hasrat masyarakat, ibu bapa dan mungkin sebahagian daripada guru yang inginkan suasana pembelajaran bermula pada bulan Januari atas faktor yang tertentu.

"Namun mungkin mengambil sedikit masa serta ruang dan kalau kita hendak ia diawalkan lagi, maka kita perlu korbankan cuti.

"Bagaimanapun cuti ini juga penting untuk memberi rehat kepada pelajar, ibu bapa dan guru, tetapi kalau cuti itu boleh dipendekkan mungkin pada tahun 2024, nanti persekolahan akan bermula awal seminggu berbanding pada tahun ini," katanya.


BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 16 March 2023

FOKUS SELESAIKAN MASALAH ASAS PRASARANA SEKOLAH, KEMUDAHAN KESIHATAN DULU - ANWAR


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan pada tahun ini mengutamakan untuk menyelesaikan masalah infrastruktur sekolah dan kemudahan kesihatan yang begitu mendesak dan menyentuh kehidupan setiap rakyat.

Namun, Perdana Menteri berkata, itu tidak bermakna masalah lain tidak dianggap penting untuk diselesaikan, termasuk mengenai pengangkutan awam dan kesesakan jalan raya, yang mana akan diberi perhatian secara berperingkat pada tahun berikutnya.

"Dengan kekangan kewangan, hutang begitu banyak dan defisit, tentunya kita tidak boleh selesaikan semua masalah dalam masa yang singkat.

"Pada tahun ini, kita nak ambil langkah yang lebih tegas dan berani, belanja yang lebih tinggi untuk selesaikan masalah asas prasarana sekolah, tandas dan kelengkapan awal di sekolah serta klinik kesihatan dan perubatan.

"Sebab itu, dapat dilihat peningkatan yang agak mendadak bagi peruntukan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

"Saya tidak bermaksud untuk meremehkan atau mengurangkan tekanan mengenai aspek ini (pengangkutan) tetapi dalam strategi kita, tentulah apa kita mampu lakukan tahun demi tahun, selain meningkatkan prestasi semua kementerian, saya mahu masalah sekolah di negara kita dan kemudahan kesihatan yang menyentuh semua orang disegerakan, " katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; menteri Kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim.

Perdana Menteri berkata, soal pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas boleh menjejaskan produktiviti rakyat dan negara, yang membawa kepada kerugian kepada pendapatan, justeru akan diberi tumpuan melalui belanjawan tahun depan.

"Terpulang kepada Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan keutamaan. Selain daripada MRT laluan Putrajaya yang dilancarkan hari ini, ada beberapa keperluan lain yang mendesak," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengelak ketirisan dalam proses perolehan membabitkan projek pengangkutan, seperti MRT dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang membabitkan kos berbilion ringgit.

Katanya, kerosakan dan ketirisan bukan hanya membabitkan elit politik tetapi bidang pengurusan di pelbagai peringkat, yang perlu dipantau dengan lebih rapi.

"Jika tidak diurus dengan baik dan telus, ratusan juta itu bocor ke akaun lain, sama ada akaun parti atau perseorangan, yang menyebabkan negara mengalami ketirisan, tapi kalau dapat jimat dengan ketelusan pelaksanaan, kemudahan awam akan dapat diperbaiki," katanya.

Selain itu, beliau turut memberi contoh mengenai sebuah yayasan, yang diminta membuat pendekatan berbeza untuk membantu rakyat di bawah pentadbirannya, berbanding kerajaan sebelum ini.

Katanya, jika sebelum ini yayasan berkenaan menyalurkan wang sebanyak RM200 juta kepada parti politik, namun di bawah Kerajaan Perpaduan, yayasan itu diminta menyerahkan RM60 juta dan 30 peratus keuntungan kepada pesawah padi.

"Jadi, rakyat termasuk petani dan pesawah yang miskin di utara seperti di Kedah dan Seberang Prai serta Selangor boleh buat pilihan.

"Kita mahu pilih satu sistem, di mana wang daripada syarikat besar dialih kepada individu dan tokoh politik atau diserah secara langsung kepada pesawah padi yang miskin," katanya.


BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 15 March 2023

'PERUNTUKAN SEKTOR PENDIDIKAN TIDAK AKAN DIKURANGKAN'

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan peruntukan perbelanjaan pada tahun ini, termasuk penyelenggaraan untuk sekolah tidak akan dikurangkan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata walaupun peruntukan untuk KPM menerusi Belanjawan 2023 belum diluluskan di peringkat jawatankuasa, keperluan sekolah terutama dalam kategori daif tetap menjadi keutamaan.

"Peruntukan perbelanjaan tidak akan dikurangkan, tetapi dari semasa ke semasa, kita punya formula adalah (melihat) kepada keperluan sekolah, melihat kepada keutamaan kita seperti sekolah daif.

"Kemudian kita bagi (pengagihan) peruntukan itu seperti biasa… tiada pengurangan sebab kita nak pastikan sekolah itu selamat, sekolah itu selesa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menjelang sesi baharu persekolahan minggu depan, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan harga makanan di institusi pendidikan itu kerana ia termaktub dalam garis panduan dan terma ditetapkan oleh KPM.

"Sebenarnya isu harga makanan di kantin ini tidak timbul kerana ia berdasarkan garis panduan dan perjanjian antara kantin dan sekolah dan sekiranya terdapat isu terbabit, mereka (pengusaha kantin) boleh merujuk kepada terma itu dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, kita mengambil perhatian mengenai isu kos yang dibangkitkan dan sebagainya tetapi kena berbalik kepada garis panduan itu dan berbincang dengan pihak sekolah," katanya.

Ditanya sama ada KPM mempunyai perancangan untuk menyelaras harga makanan di kantin sekolah, Fadhlina berkata, ruang perbincangan itu terbuka namun perlu melihat kepada kontrak dan terma antara kantin serta sekolah.

"Kita dari semasa ke semasa melihat kontrak dan terma antara kantin dan sekolah. Seperti yang saya sebut tadi, ada ruang perbincangan itu dan kalau ada keperluan untuk selaras, kita akan lihat dari semasa ke semasa.

"Cuma untuk sekarang, setiap sekolah sudah ada perjanjian tersendiri, ia berdasarkan lokaliti dan sekolah berkenaan, jadi pandangan itu kita ambil perhatian cuma ruang itu adalah antara sekolah dan pihak kantin," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 26 February 2023

BELANJAWAN 2023: KPM GALAS TANGGUNGJAWAB BESAR KEPADA PEMBANGUNAN PENDIDIKAN NEGARA

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023 memberi impak optimum kepada pembangunan pendidikan negara menerusi tujuh teras digariskan bagi melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata peruntukan tertinggi diterima iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas akan memacu komitmen berterusan KPM untuk meningkatkan lagi kualiti infrastruktur sedia ada di sekolah-sekolah.

KPM berkata antara fokus utama kementerian dalam Belanjawan 2023 adalah meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan guru serta murid-murid.

Katanya Belanjawan 2023 juga menyaksikan sektor pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan dan mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.

Antara peruntukan Belanjawan 2023 adalah RM2.3 bilion untuk membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di sekolah-sekolah termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur 380 sekolah daif seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas, selain RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sebanyak RM560 juta juga diperuntukkan untuk pembinaan tujuh sekolah baharu antaranya SK Paya Dusun di Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Peruntukan itu juga bagi melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), selain RM15 juta untuk menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.

KPM juga menerima peruntukan RM777 juta berbanding RM625 juta tahun lepas untuk menyediakan makanan berkhasiat di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan 700,000 murid.

Selain itu, RM108 juta diperuntukkan untuk Program Makanan Prasekolah di bawah KPM yang akan memanfaatkan lebih 240,000 murid.

Menurut KPM, pemantauan ke atas penyedia makanan akan dibuat bagi memastikan makanan disediakan berkualiti dan berkhasiat selain komited untuk mengatasi isu kemiskinan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah melalui program-program tersebut.

Selari dengan arus pemodenan, KPM berkata keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital, justeru kerajaan juga akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 komputer riba pada tahun ini yang juga selaras dengan teras ketujuh KPM dalam meningkatkan keupayaan digital di sekolah.

Bagi memupuk perpaduan di samping mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan NGO dalam pembangunan anak-anak di sekolah, KPM berkata RM20 juta diperuntukkan bagi perlaksanaan program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada tiga buah agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di bawah KPM.

BERNAMA ONLINE

BELANJAWAN 2023: KEMENTERIAN PENDIDIKAN (KPM)