Saturday, 3 June 2023

ANWAR BANGKIT ISU TANDAS SEKOLAH ROSAK, KOTOR YANG TIADA KESUDAHAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membangkitkan mengenai isu tandas sekolah kotor yang disifatkannya sebagai tidak berkesudahan.

Katanya beliau tahu mengenai keadaan tandas sekolah yang kebanyakan rosak dan kotor namun kemudahan asas itu kekal tidak terjaga seolah-olah dibiarkan oleh pihak yang bertanggungjawab sehingga ada murid tidak ke tandas sepanjang waktu persekolahan.

"Saya telah arahkan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) semak, bahawa tandas di sekolah banyak yang rosak, berpuluh tahun tapi tidak ada siapa yang peduli. 

"Sekarang saya kata bagaimana nak hantar anak kita ke sekolah tapi tandas pun tidak ada," katanya ketika berucap merasmikan medan selera D'Anjung Selera MADANI di Bandar Tun Razak dekat sini hari ini.

Mengimbau kenangan ketika beliau menjawat Menteri Pendidikan pada 1986 sehingga 1991, Anwar berkata aspek kebersihan tandas merupakan antara perkara yang diberikan keutamaan antaranya mengarahkan sekolah melaksanakan giliran murid membersihkan tandas.

Anwar berkata langkah itu menyebabkan ada ibu bapa 'kelas atasan' menghantar telegram kepadanya yang mempersoalkan tindakan itu kerana pada mereka, anak-anak dihantar ke sekolah untuk belajar bukannya mencuci tandas.

Perdana Menteri berkata anak-anak di sekolah perlu dididik aspek kebersihan termasuk dilatih melaksanakan aktiviti mencuci tandas sebagai satu daripada aspek pembelajaran dan ia perlu dilaksanakan tanpa mengira kedudukan ibu bapa mereka. 

"Kalau anak kita dilatih untuk cuci tandas dia tahu bagaimana ibu bapa dia buat kerja di rumah. Dia akan hargai tukang cuci di jalanan atau di tandas-tandas awam bahawa ada nilai bagi setiap kerja yang dibuat," katanya.


BERNAMA ONLINE

Monday, 8 May 2023

CUACA PANAS: SEKOLAH DIARAH UTAMAKAN PENYELENGGARAAN KIPAS

Pkharuddin bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian MOU antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Bank Rakyat di Kementerian Pendidikan, Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA- Semua pengarah pendidikan negeri dan daerah diarah supaya memberi keutamaan terhadap kerja penyelenggaraan kipas di sekolah menerusi bajet disalurkan susulan fenomena cuaca panas serta kering berpanjangan yang melanda negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat diadakan secara berkala di mana yang terbaharu pada Rabu lepas iaitu melalui sesi libat urus memastikan tindakan segera diambil berkaitan cuaca panas.

“Apabila semua berada dalam bangunan sudah tentu pengudaraan dalam kelas perlu kita beri perhatian. Kita di KPM (Kementerian Pendidikan) sentiasa agihkan peruntukan khusus untuk penyelenggaraan ke peringkat negeri dan daerah.

“Pesan kita kepada pengarah pendidikan negeri dan daerah supaya membelanjakan peruntukan terbabit untuk sebarang kerja penyelenggaraan secepat mungkin.

“Beri keutamaan kepada keperluan, kalau hari ini kita berhadapan dengan situasi cuaca panas tentu aktiviti selenggara kipas adalah lebih penting dan diutamakan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman. (MoU) antara KPM dengan Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sini hari ini.

Terdahulu, keadaan cuaca panas yang melanda negara terutama di Kelantan mendorong murid-murid untuk membawa kipas mini elektrik ke sekolah.

Perkara itu dilakukan bagi membolehkan mereka selesa sepanjang berada di dalam kelas memandangkan setiap kelas hanya mempunyai dua kipas siling.

KOSMO ONLINE

Sunday, 7 May 2023

KPM TERUS NASIHAT SEKOLAH TIDAK JALANKAN AKTIVITI LUAR BILIK DARJAH

Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelajaran (KPM) sekali lagi menasihatkan semua sekolah agar tidak menganjurkan sebarang aktiviti luar bilik darjah antaranya merentas desa dan sukan memandangkan keadaan cuaca masih panas ketika ini, demi keselamatan dan kesihatan para pelajar.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama seluruh Jabatan Pendidikan negeri bagi memberikan panduan untuk memastikan sekolah tidak menjalankan aktiviti luar ketika ini.

Beliau berkata KPM menasihatkan pihak sekolah agar tidak menganjurkan aktiviti luar bilik darjah ketika ini memandangkan keadaan cuaca panas, namun penangguhan itu bersifat sementara dan berdasarkan keadaan cuaca semasa.

Beliau berkata setakat ini tiada sekolah yang ditutup susulan cuaca panas, namun pihaknya mengambil pelbagai pendekatan dan terus dalam keadaan berjaga-jaga serta bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan.

"Cuma untuk sementara ini, saya minta semua sekolah tangguh sebentar (aktiviti luar bilik darjah) sehingga cuaca benar-benar kembali seperti sediakala dan membolehkan pelajar kita melakukan aktiviti di luar kelas dengan lebih selamat kerana kita perlu ambil langkah berjaga-jaga," katanya Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh, Kampung Permatang Keling di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad.

SINAR HARIAN ONLINE

CUACA PANAS: PATUHI ARAHAN PEMAKAIAN BAJU SUKAN DI SEKOLAH - ARIFFIN

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Pemakaian baju sukan bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada murid, guru dan kakitangan pelaksana sekolah bagi menghadapi fenomena cuaca panas yang melanda kini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif.

Justeru, beliau meminta pihak pentadbir, pengetua dan guru besar sekolah agar melaksanakannya dengan baik, termasuk memastikan baju sukan yang dipakai oleh murid-murid adalah sopan dan tidak perlu menetapkan warna pakaian selain mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kebenaran khas (pemakaian baju sukan) yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) ini mengambil kira keadaan semasa bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan.

“Saya yakin pengetua dan guru besar dapat mengurus penyuraian murid semasa balik bagi mengelak suasana yang kritikal di waktu tengah hari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ariffin turut bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah, termasuklah merentas desa, kawad, sukan dan permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran memandangkan cuaca yang tidak menentu.

Baru-baru ini KPM memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan di bawah KPM untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.

THE SUN DAILY

Wednesday, 3 May 2023

CUACA PANAS: PIHAK SEKOLAH PERLU HENTIKAN AKTIVITI LUAR BILIK DARJAH

MURID sekolah menutup kepala dengan buku susulan cuaca panas ketika tinjauan di Kuala Terengganu

Alor Setar: Pihak sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah termasuk kokurikulum serta penganjuran sukan tahunan buat sementara waktu berikutan cuaca panas pada masa ini demi keselamatan warga sekolah termasuk pelajar dan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, meskipun tiada sekolah di negara ini ditutup ekoran cuaca panas setakat ini, namun pihak sekolah mesti mengambil langkah berhati-hati dalam keadaan cuaca sedemikian untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya menyeru anak-anak sekolah dan warga sekolah berhati-hati tentang cuaca yang panas (sekarang ini) dan (banyak) minum air, (dan) kita tidak akan adakan aktiviti di luar bilik darjah (termasuk kokurikulum)," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu, Hui Ying juga melawat tiga lagi sekolah di sini dalam lawatan kerjanya hari ini iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Min; SJKC Keat Hwa S dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Barathy.

Hui Ying berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa berhubung keadaan cuaca panas itu dalam usaha langkah berjaga-jaga selain usaha melaksanakan pendekatan berkesan bagi menangani isu itu.

"Garis panduan kita (yang telah ditetapkan) bagi suhu meningkat sehingga 37 darjah Celsius, JPN pantau dan akan tutup sekolah. (Pihak sekolah) mohon dengan JPN, JPN akan buat keputusan (berhubung penutupan sekolah)," katanya.

Selain itu, beliau berkata, JPN akan turut memantau di sekolah untuk melihat sejauh mana kebenaran khas untuk warga sekolah memakai pakaian atau baju sukan sopan ketika cuaca panas diguna pakai untuk mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah KPM diberi kebenaran khas untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.

KPM dalam laporan itu juga memaklumkan pemakaian tali leher tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.

Dalam pada itu, Hui Ying mengumumkan peruntukan daripada KPM untuk keempat-empat sekolah itu bagi kerja penyelenggaraan sekolah iaitu SJKC Peng Min dan SJKT Barathy masing-masing diberikan peruntukan sejumlah RM200,000 manakala SJKC Keat Hwa S serta SK Taman Rakyat masing-masing mendapat peruntukan RM150,000.

HARIAN METRO

Friday, 28 April 2023

STROK HABA: JEMAAH MENTERI PERLU BINCANG CADANGAN LANJUT CUTI SEKOLAH - TPM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan rakyat agar mengambil langkah berjaga-jaga susulan fenomena haba panas itu

PONTIAN, 28 April (Bernama) -- Jemaah Menteri harus berbincang sama ada cuti sekolah perlu dilanjutkan susulan fenomena haba panas yang melanda negara ketika ini sehingga menyebabkan dua kematian melibatkan kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sudah bermesyuarat dan melaksanakan usaha penyelarasan dengan pelbagai kementerian serta jabatan yang berkaitan.

“Saya fikir itu (pelanjutan cuti sekolah) harus dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri... Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, kita telah mengkoordinasikan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan bukan sahaja untuk memantau tetapi juga membantu mereka yang terkena strok haba disebabkan perubahan cuaca ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Pontian di Benut di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengingatkan rakyat agar mengambil langkah berjaga-jaga susulan fenomena haba panas itu.

Beliau berkata KKM juga telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah yang timbul susulan fenomena itu.

“Kita menasihati rakyat di kawasan yang dilanda haba panas agar minum air lebih banyak... tetapi saya dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi bahawa haba panas ini akan berakhir pada pertengahan Mei.

“Jadi saya berharap walaupun ini satu fenomena baharu tetapi kita perlu berjaga-jaga dan mengambil beberapa langkah kesihatan,” katanya.

Ahmad Zahid ditanya sama ada wujud keperluan untuk melanjutkan cuti sekolah susulan kejadian strok haba dan langkah kerajaan dalam mengatasi fenomena haba panas ketika ini.

Sejak Rabu, terdapat dua kematian di Kelantan dipercayai akibat strok haba melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan.

BERNAMA ONLINE