Saturday, 7 October 2023

KPM KOMITED TINGKATKAN KUALITI, KESAKSAMAAN, AKSES PENDIDIKAN UNTUK SEMUA MURID - FADHLINA

PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk meningkatkan kualiti, kesaksamaan ekuiti dan akses pendidikan bagi semua murid, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata tiada siapa akan dipinggirkan dalam arus pendidikan di negara ini selari dengan hasrat membangun Malaysia MADANI.

“Pendidikan berkualiti adalah milik semua tanpa mengira batasan kaum, agama atau politik,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Exco Pendidikan Negeri (MJEPN) KPM Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipetik KPM dalam kenyataan semalam.

Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata ia merupakan platform untuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di negeri-negeri mendapat maklumat berkaitan perkembangan pendidikan khususnya melibatkan dasar pendidikan negara terkini.

Katanya ia juga memberi peluang kepada Exco berkenaan mengetengahkan perkara-perkara berkaitan pendidikan di negeri masing-masing secara spesifik.

Menurut Fadhlina, MJEPN itu juga merupakan usaha untuk menjadikan komunikasi antara KPM dengan pihak berkepentingan termasuk Exco Pendidikan negeri-negeri seluruh negara menjadi lebih cekap dan telus.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 3 October 2023

BELANJAWAN 2024: PERUNTUKAN KHUSUS PERLU UNTUK PACU PENDIGITALAN PENDIDIKAN

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan perlu memberi tumpuan khusus dalam meningkatkan fasiliti dan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi memastikan agenda pendigitalan pendidikan dalam sistem pendidikan negara dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun hadapan

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara Dr Anuar Ahmad berkata untuk tujuan itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Okt ini untuk memacu usaha pendigitalan pendidikan ini.

“Dalam usaha memacu agenda pendigitalan pendidikan, setiap sekolah perlu mempunyai capaian internet yang baik bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan pedalaman bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

“Selain itu, untuk melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran, penyediaan peranti yang bersesuaian juga perlu diberi keutamaan selain perluasan skim bantuan peranti bagi memastikan lebih ramai murid daripada keluarga miskin mendapat manfaat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Anuar yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata selain itu guru juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran pedagogi berteraskan teknologi maklumat.

“Bagi tujuan itu kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan khas untuk program latihan meningkatkan kemahiran pedagogi guru-guru. Selain itu peruntukan bagi menyediakan lebih banyak kandungan digital juga perlu diperuntukan,” katanya.

Anuar berkata bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga harus diangkat sebagai satu aliran perdana dalam sistem pendidikan negara dan bukan lagi sebagai pilihan kedua memandangkan bidang itu hari ini melibatkan aspek teknologi tinggi seperti teknologi kecerdasan buatan termasuk robotik.

“Program TVET juga perlu dipelbagaikan bentuk kursus yang ditawarkan sesuai dengan keperluan semasa seperti memperkenalkan kemahiran teknologi teknikal dalam bidang pengajian TVET pertanian dan penternakan.

“Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang pengajian TVET dan teknikal untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia selain membina lebih banyak institusi TVET dan teknikal yang baharu. Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu menyediakan insentif untuk menarik dan melibatkan lebih banyak pihak swasta dalam menyediakan peluang kerjaya dalam bidang TVET dan teknikal,” katanya.

Turut senada pensyarah Kaunseling dan Psikologi Fakulti Pendidikan (UKM) Prof Dr Salleh Amat yang berharap agar infrastruktur ke arah pendigitalan pendidikan khususnya di kawasan luar bandar diberikan perhatian utama bagi mengelakkan pelajar dari kawasan ini terus tercicir daripada perkembangan teknologi semasa.

“Infrastruktur kena tambah baik, kemas kini apa yang sepatutnya, itu paling penting khususnya di kawasan luar bandar kerana bila sebut soal digitalisasi ini yang berkait dengan teknologi selalunya bergerak pantas.

“Kalau betul kerajaan mahu melaksanakan pendigitalan dalam sistem pendidikan negara itu satu usaha yang sangat bagus tetapi kawasan luar bandar jangan dipinggirkan,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM berkata peruntukan perlu disediakan bukan sahaja untuk menyediakan fasiliti berteknologi tetapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik yang perlu ditambah baik.

“Isu bekalan elektrik terputus di sekolah masih lagi dilaporkan berlaku dan perkara itu boleh mengganggu kelancaran proses pembelajaran murid-murid. Kadang-kadang ada cikgu sekolah macam di Sabah dan Sarawak memaklumkan apabila waktu petang sahaja, bekalan elektrik terputus dan ini menyebabkan anak-anak belajar dalam suasana yang tidak selesa dan panas,” katanya.

Menurutnya selain itu terdapat juga sekolah yang tidak dilengkapi dengan alat pembelajaran seperti projektor sedangkan peralatan asas pengajaran seperti itu sepatutnya sudah tersedia di setiap sekolah bukan sahaja di sekolah bandar tetapi juga luar bandar.

Sementara itu, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) Prof Dr Ahmad Ismail berkata sektor pendidikan tinggi boleh memainkan peranan mereka dalam usaha mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.

Dalam hal itu, kerajaan perlu memberi peruntukan khas bagi memboolehkan pensyarah menjalankan kajian berkaitan seterusnya menyumbang semula hasil kajian kepada kerajaan untuk rujukan atau menjadi garis panduan dalam merangka dasar berkaitan.

“Selain itu, peruntukan juga diperlukan untuk menyediakan kemudahan pembantu seperti pasca doktoral dan pembantu penyelidik. Lebih ramai professor emeritus dalam kalangan profesor bersara yang masih aktif juga perlu dilantik dan menyediakan peruntukan kewangan untuk mereka meneruskan kajian berimpak tinggi.

“Dalam usaha untuk memasyarakatkan ilmu menara gading, peruntukan bagi menganjurkan seminar sekurang-kurangnya sekali setahun mengikut bidang juga adalah diperlukan untuk mengumpul maklumat semasa daripada penyelidik khususnya berkaitan isu semasa,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Wednesday, 13 September 2023

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KOMITED TANGANI ISU KECICIRAN SEKOLAH

KUNAK, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam menyelesaikan isu kanak-kanak keciciran pendidikan bagi memastikan semua penduduk negara ini memperoleh kesaksamaan pendidikan.

Untuk tujuan itu, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Sabah, Jabatan Imigresen Cawangan Sabah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi isu itu, sekali gus mencapai sasaran sifar keciciran persekolahan.

Di Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri melaksanakan pelbagai program bagi membantu menjayakan penyelesaian sifar keciciran, antaranya Operasi Sifar Cicir Sabah (OPSCIS) yang bermula 2018 di 24 Pejabat Pendidikan Daerah bagi meningkatkan enrolmen murid warganegara, murid warganegara tanpa dokumen dan kanak-kanak bukan warganegara yang layak bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Program OPSCIS melestarikan permuafakatan strategik iaitu penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (PIBKS) serta sejajar dengan hala tuju pelan strategik organisasi (PSO) Sepakat Sabah Hebat iaitu teras ketujuh - peratus kehadiran murid; menterjemahkan tujuh teras KPM iaitu yang keempat - keciciran murid serta program yang bersifat pusat sehenti serta berimpak tinggi dengan kos rendah.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kunak Ab Malek Abdul Rahim berkata pihaknya giat turun padang bagi meninjau dan membantu menyelesaikan isu kanak-kanak dan murid cicir pendidikan di daerah itu akibat rantaian masalah termasuk isu dokumentasi.

"Baru-baru ini pihak kita turun padang buat program OPSCIS ini di Padang Pekan Kunak, kita buat untuk jumpa para ibu bapa atau penjaga, untuk melihat dari segi dokumentasi mereka, kerana kebanyakan mereka ini menghadapi masalah dokumen pengenalan diri.

"Kita berusaha supaya anak-anak mereka ini boleh dibantu, untuk bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Hasil OPSCIS ini kita berjaya membantu lima anak-anak untuk memasuki persekolahan," katanya kepada Bernama.

Sebagai rekod, kejayaan OPSCIS iaitu pada tahun 2020 hingga 2023 telah berjaya mengembalikan kanak-kanak dan murid cicir ke sekolah iaitu seramai 297 murid warganegara, warganegara tanpa dokumen (510) dan bukan warganegara (435).

Ab Malek berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta jabatan lain yang berkaitan untuk memeriksa dokumentasi berkenaan.

“Kesimpulannya, KPM dan JPN Sabah sangat komited untuk memberikan peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak yang layak bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan mengikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),” katanya.

Selain usaha menangani isu keciciran kanak-kanak warganegara dan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen, KPM turut mengambil berat masalah akses pendidikan kanak-kanak bukan warganegara dan tidak bernegara yang terpinggir daripada mendapat pendidikan, susulan masalah kemiskinan, kecelaruan status, tiada halatuju dan terdedah kepada masalah sosial.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mengadakan lawatan ke negeri ini menerusi Program Tindak Susul (PTS) Parlimen bagi akses pendidikan kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara Ogos lepas, berkata KPM menjalankan beberapa pendekatan supaya anak-anak bermasalah dokumentasi tidak terpinggir daripada ekosistem pendidikan.

Fadhlina turut meluangkan masa ke Pusat Pembangunan Modal Insan (PPMI) di Kampung Kabog yang diusahakan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Sabah, yang kini memberi pendidikan kepada 179 anak-anak bukan warganegara serta tiada kewarganegaraan.

Penyelaras PPMI Kunak Lajamuddi Lajahidi berkata selain di kampung berkenaan, sebuah lagi pusat pendidikan di bawah NGO itu telah dibuka di Kampung Kunak Laut yang memberi bimbingan kepada 69 pelajar yang rata-rata daripada komuniti Pala'u.

"Di PPMI, kita mengadakan pembelajaran akademik dan juga agama, akademik ini kita guna pakai kurikulum yang KPM gunakan sekarang, cuma kita rendahkan aras subjek sedikit bersesuian dengan tahap minda pelajar kita yang tidak boleh memasuki sekolah aliran perdana, manakala bagi subjek agama, kita menggunakan kurikulum Kafa (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) sepenuhnya diajarkan kepada pelajar tahun satu hingga enam dan mereka menduduki ujian penilaian khas Kafa pada tahun lima serta menduduki peperiksaan Sijil Rendah Ugama Kerajaan Negeri pada tahun enam.

"Kita terpanggil untuk membuat kelas ini bagi menangani isu kanak-kanak tercicir pelajaran, memandangkan mereka tidak boleh bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan kerana masalah dokumen, di PPMI Kabog kita hanya ada tiga kelas (pagi) untuk murid tahun satu sehingga tahun tiga manakala tiga kelas lagi sebelah petang (gabungan tahun satu hingga enam)," katanya.

Menurut Lajamuddi, pihaknya hanya berniat untuk membantu masyarakat, selain membantu kerajaan menangani isu keciciran persekolahan.

Katanya terdapat permintaan tinggi untuk memasuki pusat itu namun pengambilan yang diadakan setiap tahun, terpaksa dihadkan berikutan keadaan kelas sempit.

“Misalnya, kelas di PPMI Kabog ini sebenarnya hanya boleh menampung 25 pelajar tetapi ketika ini ada kelas menampung sehingga 40 pelajar," katanya.

PPMI dibuka pada 2011 bertujuan memberi pendidikan kepada komuniti Pala'u sekali gus menangani isu peminta sedekah dalam kalangan mereka.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kunak Norazlinah Arif berkata kolaborasi Pejabat Pendidikan Daerah bersama Haluan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak bukan warganegara atau tiada kewarganegaraan, membantu golongan itu menjalani kehidupan yang lebih baik.

BERNAMA ONLINE

Monday, 11 September 2023

KERAJAAN CAKNA ISU KECICIRAN MURID DALAM PENDIDIKAN, AKAN DITANGANI SECARA TUNTAS - PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan cakna dengan isu keciciran murid dalam sistem pendidikan dan ia akan ditangani secara tuntas melalui pembangunan Sistem Pengesanan Murid Cicir Bersepadu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11) akan diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada anak-anak dalam kalangan peribumi dan Orang Asli serta dari kawasan pedalaman dan pulau terpencil mendapat akses kepada pendidikan.

"Inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) untuk kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tiada dokumen pengenalan diri juga akan diperluas," katanya ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata pendidikan karakter yang menyokong konsep karamah insaniah akan diperkenalkan melalui pendekatan sistemik dan holistik, yang diharapkan dapat membangunkan jati diri murid ke arah menjadi bakat global yang dilengkapi dengan ilmu, beretika dan berakhlak mulia.

Beliau berkata kerajaan beriltizam untuk mengislahkan sistem pendidikan bagi melahirkan bakat tersedia negara di masa hadapan, dengan konsep karamah insaniah akan memberi penekanan kepada aspek pembentukan akhlak dan pembangunan sahsiah bagi membentuk jati diri dan melahirkan generasi yang berdaya tahan serta berdaya saing.

Bagi meningkatkan mutu pendidikan negara, Perdana Menteri berkata Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan dilancarkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.

"Matlamat DPD adalah untuk melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital," katanya.

Beliau berkata pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik akan disokong dengan pembentukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), manakala pendidikan Tingkatan 6 akan terus diperkasa melalui penjenamaan semula kepada Kolej Pra-Universiti.

“Kerajaan akan terus memastikan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dalam sistem pendidikan sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping mempertingkatkan penguasaan bahasa asing sebagai wahana pembinaan tamadun,” katanya.

Anwar berkata kerajaan juga komited untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan tenaga pengajar bidang berkenaan akan digalakkan menjalani latihan kemahiran dan latihan kemahiran semula sekali gus melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang seiring dengan perkembangan teknologi baru muncul.

"Bagi meningkatkan kerjasama antara kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta dalam transformasi program TVET, inisiatif menggalakkan penglibatan industri dalam pelaksanaan program TVET telah diberikan keutamaan," katanya.

Beliau berkata sehingga Julai lepas sebanyak 43 memorandum persefahaman telah dimeterai antara kerajaan dengan 14 GLC dan 29 syarikat swasta melibatkan 12 kementerian berkaitan TVET, merangkumi skop kerjasama seperti sumbangan kepakaran, peralatan, pembangunan kurikulum dan penajaan latihan.

Di samping itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi Program Bina Kerjaya iaitu program peningkatan kemahiran (upskilling) untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.

"Kerajaan percaya keputusan untuk mengkaji peningkatan gaji lepasan TVET mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET sebagai laluan kerjaya," katanya.

Menyedari hampir 50 peratus lepasan SPM tidak menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi, kerajaan turut membuka ruang kepada anak muda untuk mula menceburkan diri lebih awal dalam sektor pembuatan sebagai pekerja berkemahiran dengan gaji berpatutan.

"Melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI), kerajaan akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta bagi melaksanakan usaha ini termasuk penyediaan insentif elaun penempatan. Seramai 50,000 anak muda kita disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12," katanya.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 9 September 2023

KERJASAMA KESATUAN GURU PENTING SALUR AGENDA PENDIDIKAN NEGARA

NILAI, 9 Sept (Bernama) -- Kerjasama kesatuan guru penting bagi memastikan agenda pendidikan negara dapat disampaikan lebih menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata ini kerana Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menggunakan saluran kesatuan khususnya melalui Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyampaikan maklumat dan dasar KPM.

“Kesatuan guru juga sentiasa komited memperjuangkan isu pendidikan khususnya menyokong serta membantu kementerian dalam melaksanakan agenda pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan MADANI Memartabatkan 'Karamah Insani' Membangun Generasi MADANI di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.

Mengenai seminar itu, Fadhlina berkata Karamah Insani adalah konsep yang menyatukan segmen Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara holistik dan bersepadu.

"Citra peribadi keunggulan guru itu harus bermula dengan mempunyai sifat insani untuk melaksanakan agenda pendidikan manusiawi Malaysia MADANI," katanya.

Katanya nilai insani perlu diterapkan dalam kalangan pelajar seperti empati, rahmah, adil dan ihsan antara satu sama lain.

Seminar itu disertai 350 peserta terdiri daripada ahli kesatuan gabungan Kongres, pensyarah USIM, Pensyarah Kolej PERMATA Insan serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam dan IPG Kampus Pendidikan Teknik Nilai.

Sementara itu, Fadhlina sekali lagi mengulangi bahawa kementerian perlu memberi perhatian terhadap cabaran dalam sektor pendidikan terutama isu buli, jenayah seksual dan perkauman.

Justeru, menurutnya nilai cinta perlu diterapkan untuk menghakis segala perkara negatif yang wujud sama ada di luar atau dalam sektor pendidikan negara.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 26 August 2023

KURIKULUM BAHARU BUKTI KOMITMEN KPM LAKSANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA - NGO

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Usaha Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan kurikulum persekolahan baharu dengan menilai semula subtopik yang berat dan tidak selari dengan keperluan murid, membuktikan komitmennya dalam melaksanakan transformasi pendidikan negara.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata pembangunan kurikulum yang turut mengambil kira pandangan pakar, pihak berkepentingan dan masyarakat umum itu juga sebagai usaha memastikan sistem pendidikan negara lebih relevan dan berdaya tahan.

“Pendidikan adalah penentu masa depan negara dan sebab itu kita mahu kurikulum yang dibangunkan adalah benar-benar memenuhi kehendak negara, di samping kandungan pembelajaran yang tidak membebankan murid.

“Dalam hal ini subjek yang diajar tidak boleh terlalu banyak teori sahaja terutama mata pelajaran matematik dan sains, sebaliknya perlu ditekankan dalam bentuk amali supaya murid memahami dan berupaya menghayati prinsip yang diajar,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Ali turut mencadangkan rombakan bagi subjek agama supaya ia lebih menekankan pembangunan karakter dan insani, berbanding pengisian kandungan mata pelajaran semata-mata kerana subjek itu berperanan membentuk jati diri dan nilai murni murid.

Sebelum ini KPM memaklumkan sedang melaksanakan tindakan segera bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran, dijalankan secara efektif dengan menilai semula subtopik yang berat dan tidak selari dengan keperluan murid.

Menurut KPM, seramai 1,600 orang termasuk guru, pensyarah, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri, telah dilibatkan dalam 21 sesi libat urus dan pelaksanaan Konvensyen Kurikulum bagi membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.

KPM juga akan melaksanakan satu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian, mulai 25 Ogos hingga 15 Sept ini menerusi pautan: https://bit.ly/KurikulumKita2027 bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mengemukakan pandangan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon menyifatkan usaha menilai semula subtopik dalam kurikulum sekolah adalah wajar, memandangkan silibus yang diperkenalkan kini dilihat agak tinggi dan tidak bersesuaian dengan tahap murid.

Katanya, unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan untuk membentuk kemahiran intelek tinggi dalam kalangan pelajar telah memberi cabaran dalam meningkatkan daya pemikiran murid.

“Justeru NUTP mengalu-alukan langkah yang diambil KPM yang menjalankan tinjauan pelaksanaan kurikulum sekolah itu supaya penjaga yang tidak berpuas hati dengan silibus yang terlalu tinggi dapat melontarkan idea masing-masing.

“Jika pihak jawatankuasa penilaian silibus dibentuk kami berharap guru pakar dan guru cemerlang dilibatkan sekali dalam usaha itu dan bukan dalam kalangan pensyarah universiti yang tidak pernah berada di sekolah sebagai guru,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 22 August 2023

SEKTOR PENDIDIKAN PERLU BERUBAH SEIRING PERKEMBANGAN STEM, BERTEPATAN IR4.0 - CHANG

SEREMBAN, 22 Ogos (Bernama) -- Sektor pendidikan perlu berubah dan lebih fokus seiring perkembangan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus mampu menepati tonggak Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata hal ini kerana pada masa kini, sistem pendidikan negara berdepan dengan cabaran untuk menghasilkan sumber manusia yang memiliki kemahiran sesuai dengan revolusi berkenaan.

“Suatu perkara yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini dan berkait dengan perkembangan STEM ialah IR4.0. Revolusi ini berorientasikan transformasi digital dalam pembangunan mesin dan proses bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

“Justeru, bagi berdepan dengan cabaran ini, bidang pendidikan perlu berubah, perkara ini bertepatan dengan sektor pekerjaan pada masa hadapan yang lebih luas, cepat dan saling berhubungan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutupan STEM Evolution peringkat negeri 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah Yew Boon Lye.

Chang berkata generasi muda juga perlu disiapsiagakan dengan kedinamikan ilmu, kemahiran dan keunggulan karakter yang kuat untuk menempuh cabaran masa hadapan yang sangat rumit.

Dalam pada itu, beliau berkata program STEM Evolution yang sudah memasuki tahun ketiga dianjurkan itu sangat relevan dalam menyokong agenda inovasi negara selain platform menyuburkan lagi pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam kalangan anak muda.

“Diharapkan program seumpama ini diperbanyak pada masa hadapan. Saya percaya, pelbagai acara dalam pertandingan ini memberi peluang dan ruang kepada peserta dan semua yang hadir untuk mengukuhkan pendidikan STEM seperti Drone Challange, Young Roboticists Challenge dan STEM Decathlon Challenge,” katanya.

BERNAMA ONLINE