Monday, 4 November 2019

ARAB SAUDI HANTAR GURU KE MALAYSIA HADAPI PENDIDIKAN ABAD KE-21


KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan Arab Saudi akan membuat pertukaran guru Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains mereka ke negara ini untuk dilatih bagi mempersiapkan sistem pendidikan mereka menghadapi Pendidikan Abad Ke-21.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai melalui pertemuan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bersama Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Mohammed Al Shaikh.

"Guru-guru mereka dari tiga subjek berkenaan dihantar ke Malaysia bagi mendapatkan pengalaman mengajar di sini. Pertemuan berkenaan diadakan bagi membincangkan pertukaran idea dan kemampuan antara kedua-dua negara.

"Hasil daripada pertemuan itu juga, kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk memberikan 300 biasiswa kepada mahasiswa dan mahasiswi Malaysia dalam bidang sains dan teknologi," menurut kenyataan itu.

Malaysia amat menghargai kesungguhan Arab Saudi dalam perbincangan berkenaan dan yakin kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan hubungan baik kedua-dua negara, tambah kenyataan itu.

Semalam Maszlee diutus secara khas oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud bagi membincangkan isu berkaitan yang melibatkan kedua-dua negara termasuk kerjasama dalam bidang pendidikan.


BERNAMA ONLINE

Sunday, 3 November 2019

DASAR KEBERSIHAN NEGARA

DASAR KEBERSIHAN NEGARA
Sumber : Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan

BELANJAWAN 2020 : MURID BERKEPERLUAN KHAS

BELANJAWAN 2020 : MURID BERKEPERLUAN KHAS
Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia

KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Pengisian Jawatan Guru Sehingga Oktober 2019 Adalah 97%


PEMBANGUNAN KOKURIKULUM TELITI UNTUK BANGUNKAN BAKAT, POTENSI MURID - KP PENDIDIKAN


KOTA KINABALU, 3 Okt (Bernama) -- Pentadbir sekolah perlu merancang pembangunan kokurikulum secara teliti dengan mengambil kaedah menyeluruh bagi membolehkan segala bakat dan potensi murid dapat dibangunkan dengan berkesan.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin berkata terdapat anak kurang dalam akademik tetapi mempunyai bakat semulajadi yang tinggi dalam seni.

"Kita perlu ingat bahawa sekolah bukan hanya tempat murid belajar untuk berjaya dalam peperiksaan tetapi sekolah juga tempat mengembangkan bakat mereka," katanya ketika merasmi dan menutup Karnival Kesenian Murid peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Penyelarasan dan Pengoperasian Dasar Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Suhaimi Sun Abdullah.

Karnival tiga hari itu berakhir hari ini disertai 19 sekolah mewakili negeri dan Wilayah Persekutuan.  

Dalam pada itu, Amin berkata penganjuran karnival kesenian itu antara usaha kementerian pendidikan mengetengahkan bakat semulajadi murid, yang akan melahirkan generasi pewaris kesenian anak bangsa yang memiliki semangat perpaduan dan kekitaan.


BERNAMA ONLINE

Saturday, 2 November 2019

KEKURANGAN GURU ISU SEMENTARA

KUALA LUMPUR: Kekurangan guru disifatkan isu sementara yang didorong faktor luar jangka seperti persaraan pilihan, meninggal dunia, cuti separuh gaji dan tanpa gaji melebihi setahun, ditamatkan perkhidmatan serta berhenti kerja atau letak jawatan.
Kementerian Pendidikan menjelaskan langkah pengisian guru adalah berdasarkan keperluan, sekali gus menolak dakwaan bahawa ia berupaya menjejaskan aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Selain itu, kerajaan melakukan pelantikan guru secara interim atau sementara dalam kalangan graduan pendidikan daripada universiti awam (UA), institusi pengajian tinggi swasta dan graduan pasaran terbuka bagi memenuhi permintaan warga pendidik bagi mata pelajaran tertentu.
“Kementerian memandang serius laporan berkaitan kekurangan guru di sekolah. Dakwaan yang mengatakan kekurangan guru berlaku kerana tiada unjuran keperluan guru adalah tidak tepat.
“Sehingga Oktober tahun ini, peratus pengisian jawatan guru adalah 97 peratus. Kementerian melaksanakan pengisian guru dari semasa ke semasa dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru atau UA.
“Ia tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran menerusi urusan pelantikan kendalian Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang dijalankan sepanjang tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 31 Oktober lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, dilaporkan berkata pihaknya berdepan kemelut kekurangan warga pendidik bagi memenuhi permintaan guru di sekolah di seluruh negara.
Polemik itu dikenal pasti berpunca daripada faktor ketidakpadanan kekosongan sedia ada di sekolah dan keluaran dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) setiap tahun.
Mengikut perangkaan, kekosongan guru sedia ada di sekolah kebangsaan direkodkan melebihi 6,000 orang, tetapi keluaran IPGM hanya membabitkan 1,676 guru yang akan ditempatkan pada November ini.
Bagi menangani kemelut itu, kementerian menjelaskan pengiraan unjuran sentiasa dilakukan untuk tempoh lima tahun dengan mengambil kira pelbagai opsyen dan jenis sekolah di seluruh negara.
“Pengambilan pelajar ke Program Ijazah Sarjana Muda Penguruan (PISMP) adalah berdasarkan pengiraan unjuran yang ditetapkan Kementerian Pendidikan,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 1 November 2019

BENGKEL APLIKASI DIGITAL BAHAN BACAAN

Bengkel Aplikasi Digital Bahan Bacaan telah berlangsung pada 31 Oktober 2019 bertempat di Makmal Komputer MBM-MBI. 

Bengkel yang dianjurkan oleh Perpustakaan Za'ba ini telah dihadiri oleh warga kerja IPG Kampus Tuanku Bainun. Bengkel ini bertujuan untuk mendedahkan kepada peserta mengenai kaedah pencarian bahan secara maya serta mempromosikan inisiatif Perpustakaan Negara Malaysia (u-Pustaka).

Bengkel ini telah disampaikan oleh Tn. Hj. Mohd Dariah (KU Perpustakaan) dan En. Huzairul Hezri (Pustakawan)