Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia
Thursday, 19 March 2020
COVID-19: PELAJAR IPG, KM TAK PULANG BOLEH TINGGAL DI ASRAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pelajar di Kolej Matrikulasi (KM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang belum pulang mesti kekal berada di asrama.
Dalam Soalan Yang Kerap Ditanya (FAQ), menurut kementerian itu, pengurusan kampus dan warden adalah pihak yang menguruskan pelajar di KM dan IPG di asrama.
Justeru, tindakan yang diambil selaras dengan arahan untuk mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.
“Berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan, pelajar di KM dan IPG yang belum pulang mesti kekal berada di asrama. Kebajikan pelajar di KM dan IPG diuruskan oleh pihak pengurusan kampus dan warden asrama,” menurut KPM.
Bagaimanapun, bagi pelajar yang sudah pulang ke rumah masing-masing, KPM menegaskan bahawa mereka perlu pulang semula ke asrama KM dan IPG pada 1 April 2020 atau tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.
Jika terdapat pelajar atau warga kampus di KM dan IPG, menurut KPM, pekerja kontrak kebersihan juga perlu bertugas di premis berkenaan.
Sekiranya tiada pelajar dan warga kampus, KPM memaklumkan bahawa pekerja kontrak terbabit perlu hadir pada 30 dan 31 Mac ini sahaja atau mengikut arahan dikeluarkan kementerian.
KPM turut memaklumkan bahawa semua premisnya ditutup membabitkan prasekolah, sekolah kerajaan dan sekolah swasta, sekolah harian serta sekolah berasrama penuh.
Selain itu, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat, pusat tahfiz, kolej dan pusat GENIUS dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah serta pra-universiti termasuk IPG ditutup sepenuhnya dalam tempoh berkenaan.
Namun begitu, KPM menegaskan, kemudahan asrama disediakan seperti biasa kepada semua pelajar KM dan IPG yang masih di asrama.
Semua bahagian dan agensi bawah KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pusat Pendidikan Daerah (PPD) juga ditutup.
Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, KPM turut melarang sebarang aktiviti seperti tuisyen, kelas tambahan, latihan sukan dan kegiatan kokurikulum.
BERITA HARIAN ONLINE
Wednesday, 18 March 2020
COVID-19: SOALAN LAZIM KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini mengeluarkan soalan lazim bagi kemudahan pelajar berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.
A. UNIVERSITI AWAM dan IPTS
1. Bagaimana dengan pengurusan pelajar bagi yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing?
1. Bagaimana dengan pengurusan pelajar bagi yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing?
Pelajar Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) termasuk pelajar antarabangsa yang masih berada di kampus (kolej kediaman, rumah sewa atau kediaman peribadi yang lain) perlu kekal berada di premis itu walaupun bagi pelajar yang telah membeli tiket pengangkutan ke kampung halaman. Pelajar tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman/negara asal masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Mereka hendaklah melaporkan kepada pihak pengurusan UA dan IPTS dan tertakluk kepada perintah yang berkuat kuasa. UA dan IPTS perlu bertanggungjawab ke atas keperluan asas, keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang keberadaan mereka di kampus.
2. Adakah operasi perkhidmatan diteruskan di kampus?
Semua operasi di UA dan IPTS adalah ditutup sepenuhnya kecuali perkhidmatan penting (atau essential services) seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, keselamatan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
Perkhidmatan penyediaan makanan di UA dan IPTS boleh beroperasi dengan hanya melalui pelaksanaan penghantaran makanan atau pembelian makanan secara bungkus sahaja.
3. Apakah Pengajaran dan Pembelajaran boleh dilaksanakan secara atas talian sepanjang tempoh arahan kawalan pergerakan?
Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil maklum akan tahap kesediaan beberapa UA dan IPTS dari segi infrastruktur dan pensyarah dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian sepenuhnya. KPT juga mengambil maklum terdapat IPTS yang didaftarkan sebagai institusi yang menawarkan PdP atas talian sepenuhnya.
UA dan IPTS yang menggunakan pembelajaran atas talian sepenuhnya dalam pelaksanaan PdP UA dan IPTS adalah dibenarkan untuk meneruskan pembelajaran dalam talian dengan syarat bahawa semua pelajar mendapat akses, kesediaan pensyarah dan infrastruktur dapat dipenuhi sepenuhnya.
Bagi UA dan IPTS yang tidak menggunakan pembelajaran atas talian secara sepenuhnya dalam pelaksanaan PdP adalah tidak dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pembelajaran secara atas talian dengan mengambil kira kepentingan pelajar supaya mereka tidak ketinggalan sekiranya mereka tidak mendapatkan akses kepada internet.
4. Bagaimanakah kami boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung Arahan Kawalan Pergerakan?
UA dan IPTS adalah disarankan agar sentiasa peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa. UA dan IPTS boleh mendapatkan maklumat terkini dengan melayari saluran aplikasi Telegram MKN Rasmi https://t.me/MKNRasmi .
B) POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI
1. Adakah penutupan institusi di Politeknik dan Kolej Komuniti adalah selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri?
Ya, penutupan kampus Politeknik dan Kolej Komuniti adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Untuk itu, setiap institusi wajib mengikuti arahan ini untuk membendung COVID-19 dari terus menular.
2. Bolehkah pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti tidak pulang ke kampung mereka dan terus tinggal di Kamsis?
Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti yang masih berada di kampus (Kamsis) perlu kekal berada di premis tersebut. Mereka tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan ternasuk pelajar yang telah membeli tiket pengangkutan bagi pulang ke kampung halaman.
Mereka hendaklah melaporkan kepada pihak pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti dan tertakluk kepada perintah yang berkuat kuasa. Pihak pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti perlu bertanggungjawab ke atas keperluan asas, keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang keberadaan mereka di kampus.
3. Bagaimanakah status pelajar yang menjalani latihan industri? Adakah mereka akan terus berada di syarikat mereka menjalani latihan atau dikuarantin juga?
Pelajar yang sedang mengikuti Latihan Industri (LI) atau latihan Work Based Learning (WBL) di industri ditangguhkan latihan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 kecuali bagi industri pemberi Perkhidmatan Penting Negara (rujuk kenyataan Majlis Keselamatan Negara pada 18 Mac 2020). Namun demikian, pihak institusi boleh mempertimbangkan kelulusan cuti kepada pelajar atas persetujuan pihak industri.
4. Adakah aktivti PnP dan program yang telah tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan ini perlu diganti atau terus dibatalkan?
Tidak perlu diganti.
5. Bagaimana pula dengan peperiksaan hujung semester, adakah ia akan ditangguh ke tarikh yang lain?
Ya. Penilaian Akhir dan Peperiksaan Akhir Politeknik Sesi Disember 2019 dipinda dari tarikh 6 April 2020 hingga 23 April 2020 kepada 13 April 2020 hingga 3 Mei 2020. Penilaian Akhir dan Peperiksaan Akhir Kolej Komuniti Sesi Disember 2019 dipinda dari tarikh 23 Mac 2020 hingga 11 April 2020 kepada 6 April 2020 hingga 17 April 2020.
6. Umum telah pun mengetahui tempoh penutupan institusi dan kampus adalah bermula 18-31 Mac 2020. Untuk itu, adakah para pelajar perlu terus melapor diri ke kampus masing-masing pada 1 April 2020, atau tidak?
Mohon sentiasa mengikuti sebarang pengumuman dan makluman terkini oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
7. Bolehkah sebarang tuntutan dibuat untuk lojing & logistik dibuat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?
Tidak boleh. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini mewajibkan warga untuk tidak ke mana-mana dan tinggal di kediaman masing-masing.
8. Adakah mana-mana premis Politeknik dan Kolej Komuniti digunakan sebagai pusat kuarantin?
Tidak.
9.Perlukah pensyarah dan staff hadir ke pejabat untuk ‘thumbprint’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?
Tidak perlu. Patuhi arahan perintah Perintah Kawalan Pergerakan dan sentiasa boleh dihubungi atau bekerja dari rumah. Rujuk Surat Arahan Bekerja dari Rumah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 17 Mac 2020.
10. Adakah PSH (Pekerja Sambilan Harian) layak dibayar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?
PSH yang skop kerjanya boleh dilaksanakan di rumah, adalah layak dibayar upah berdasarkan hari bekerja sepanjang tempoh tersebut. Rujuk kepada FAQ Urusan Perkhidmatan 17 Mac 2020.
BERITA HARIAN ONLINE
SOALAN LAZIM: KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM)
KUALA LUMPUR: Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, berikut adalah soalan lazim yang berkaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
1. Adakah pelajar perlu ke sekolah/Kolej Matrikulasi (KM)/Institut Pendidikan Guru (IPG)?
Tidak.
2. Adakah guru-guru/kakitangan KM dan IPG dikehendaki hadir ke sekolah/kampus?
Tidak perlu, kecuali jika berlaku kecemasan atau dengan arahan daripada KPM.
3. Adakah pengawal keselamatan perlu bertugas di sekolah/KM/IPG?
Mesti menjalankan tugas seperti biasa.
4a.Adakah pekerja kontrak kebersihan perlu bertugas di sekolah?
Perlu hadir pada 30 dan 31 Mac 2020 sahaja atau mengikut arahan KPM.
4b.Adakah pekerja kontrak kebersihan perlu bertugas di KM dan IPG?
Ya, sekiranya masih ada pelajar dan warga kampus. Jika tiada pelajar dan warga kampus, perlu hadir pada 30 dan 31 Mac 2020 sahaja atau mengikut arahan KPM.
5. Adakah pendaftaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 pada 23 Mac 2020 akan diteruskan?
Tidak. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 perlu melaporkan diri pada 6 April 2020.
6. Adakah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara lantikan kontrak bagi fasa satu tahun 2020 (SK dan SJKC) perlu melaporkan diri pada 6 April 2020?
Tidak. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara lantikan kontrak bagi fasa satu tahun 2020 (SK dan SJKC) perlu melaporkan diri pada 15 April 2020.
7. Bagaimana dengan guru-guru dan warga KPM lain yang tamat cuti khas (cuti belajar, cuti tanpa gaji dan sebagainya) sebelum 31 Mac 2020?
Guru-guru dan warga KPM yang terbabit hanya perlu memaklumkan kepada Bahagian Biasiswa dan Pembiayaan melalui e-mel dan melaporkan diri pada 1 April 2020.
8. Adakah sambutan Festival Hari Guru Malaysia 2020 akan diteruskan pada 28 Mac hingga 31 Mac 2020?
Tidak diteruskan.
9. Adakah majlis Gerakan Massa #Terimakasihcikgu diteruskan pada 1 April 2020?
Tidak diteruskan.
10.Apakah tindakan yang perlu dilaksanakan oleh warga KPM yang baru pulang dari luar negara?
Dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan sewaktu ketibaan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari.
11. Siapakah essential employees dalam konteks essential services di KPM?
Kakitangan yang mengendalikan hal ehwal kewangan, keselamatan dan kebersihan. Walau bagaimanapun, bilangan kehadiran hendaklah pada kadar minimum. Rujuk kepada jawapan 3, 4a dan 4b yang berkaitan pekerja kontrak keselamatan dan kebersihan.
12. Adakah penutupan sekolah semasa Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung ini perlu diganti?
Tidak.
13.Bilakah pelajar perlu kembali semula ke asrama sekolah/KM/IPG?
Pada 1 April 2020 atau pada tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.
14. Adakah pelajar di KM dan IPG yang masih menginap di asrama selepas tarikh berkuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (18 Mac 2020) boleh pulang ke rumah?
Berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan, pelajar di KM dan IPG yang belum pulang mesti kekal berada di asrama. Kebajikan pelajar di KM dan IPG diuruskan oleh pihak pengurusan kampus dan warden asrama. Tindakan ini juga selaras dengan arahan untuk mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.
15. Adakah murid boleh menghadiri aktiviti lain seperti tuisyen, kelas tambahan, latihan sukan dan kegiatan kokurikulum?
Tidak boleh.
16. Adakah semua premis KPM ditutup?
Ya. Semua prasekolah, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat, pusat tahfiz, kolej dan pusat GENIUS dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti serta Institut Pendidikan Guru ditutup sepenuhnya dalam tempoh tersebut.
Namun begitu, kemudahan asrama disediakan seperti biasa kepada semua pelajar KM dan IPG yang masih tinggal di asrama.
Semua bahagian dan agensi bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga ditutup.
BERITA HARIAN ONLINE
PERATURAN-PERATURAN PENCEGAHAN & PENGAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT
PERUTUSAN KHAS COVID-19 TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Tuesday, 17 March 2020
KULIAH DALAM TALIAN ELAK JANGKITAN
Keratan akhbar semalam
APABILA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik dan Malaysia menerima gelombang kedua wabak itu yang mencatatkan jumlah kes keseluruhan kepada 428 kes, universiti tempatan mula mengarahkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.
Beberapa kaedah boleh diambil kira bergantung kepada metodologi dan kandungan pengajaran dalam bidang masing-masing.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) membangunkan portal i-Learn yang memfokuskan pembangunan teknologi komunikasi untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan pendidikan serta menambah baik teknik pengajaran konvensional.
Portal i-Learn itu memberi peluang kepada pensyarah untuk mencipta kandungan pengajaran berasaskan web dan aktiviti pembelajaran dalam talian.
Bagi universiti yang mempunyai jumlah pelajar mencapai 175,200 di seluruh negara dengan 12 kampus negeri (tujuh ialah kampus negeri berautonomi); kampus satelit di Shah Alam (6); kampus satelit negeri (11) dan kolej bersekutu (21), UiTM memulakan inisiatif memperkenal e-pembelajaran bermula 2005.
Ia juga sentiasa menambah baik portal pendidikan dan penyelesaian itu menunjukkan kepentingan mewujudkan alternatif lain dalam proses PdP.
Dengan kebolehcapaian internet di negara, penularan wabak COVID-19 seharusnya tidak mengganggu proses PdP di institusi pengajian tinggi. Selain portal rasmi e-pembelajaran yang dibangunkan sesetengah universiti, pensyarah boleh menggunakan portal di platform atau web sedia ada seperti Zoom, Google Suite dan Google Classroom.
Google Meet, iaitu platform video konferensi juga aplikasi diintegrasi di dalam Google Suite. Namun, jika sesetengah pensyarah merasakan platform di atas agak rumit, apikasi Live Facebook, WhatsApp Business dan konferensi video Skype menjadi pilihan yang ada. Berfikiran kritis dan kreatif dalam situasi sebegini membantu kita menghadapi pandemik ini dengan lebih matang.
Pilihan lain lebih canggih adalah seperti Microsoft Team, iaitu platform komunikasi dan kolaborasi komunikasi maya untuk satu tempoh tertentu membabitkan pengajaran secara langsung, video mengenai kandungan silibus, storan fail tugasan kerja dan integrasi aplikasi lain.
Bagi pensyarah yang sudah lama berkecimpung dalam metodologi e-pembelajaran, arahan pelaksanaan PdP dalam talian daripada pihak pengurusan universiti memberi peluang menggunakan sepenuhnya kandungan pengajaran yang dibangunkan sebelum ini melalui Screencast-O-Matic.
Ia aplikasi web berasaskan Java yang boleh digunakan untuk menghasilkan video pendek yang dirakam bersama suara pengguna atau individu menghasilkan kandungan pembelajaran berkenaan dan pada masa sama, memaparkan segala pergerakan pada paparan monitor.
Namun diakui, tidak semua kandungan pembelajaran dan silibus menepati metodologi PdP di atas talian seperti saranan pengurusan universiti. Sebagai contoh, makmal, kerja lapangan, bengkel, studio, aktiviti padang atau kerja dapur.
Sebagai langkah pencegahan, beberapa prosedur pelaksanaan digariskan pihak pengurusan universiti.
Bagi sebarang penyampaian membabitkan keadaan bersemuka (face to face) dengan kumpulan besar, mereka disarankan untuk dipecahkan kepada kumpulan lebih kecil.
Mereka juga perlu memastikan jarak selamat satu meter dan mematuhi langkah keselamatan serta kesihatan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Kesihatan (PK) universiti masing-masing. Turut ditekankan, aktiviti penyeliaan pelajar perlu memastikan diadakan dalam jarak satu meter.
Institusi pengajian tinggi adalah kawasan ramai orang berkumpul hampir setiap hari. Diharapkan alternatif sesi PdP secara dalam talian mampu membendung penularan wabak COVID-19 antara warga universiti tanpa menjejaskan sektor pendidikan itu sendiri.
Kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan tertinggi universiti yang memberi kelonggaran dan juga pensyarah serta pelajar amatlah diperlukan.
Dr Noor Ayuni Che Zakaria
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam
BERITA HARIAN ONLINE
Subscribe to:
Posts (Atom)









