Thursday 19 March 2020

COVID-19: PELAJAR IPG, KM TAK PULANG BOLEH TINGGAL DI ASRAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pelajar di Kolej Matrikulasi (KM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang belum pulang mesti kekal berada di asrama.
Dalam Soalan Yang Kerap Ditanya (FAQ), menurut kementerian itu, pengurusan kampus dan warden adalah pihak yang menguruskan pelajar di KM dan IPG di asrama.
Justeru, tindakan yang diambil selaras dengan arahan untuk mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.
“Berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan, pelajar di KM dan IPG yang belum pulang mesti kekal berada di asrama. Kebajikan pelajar di KM dan IPG diuruskan oleh pihak pengurusan kampus dan warden asrama,” menurut KPM.
Bagaimanapun, bagi pelajar yang sudah pulang ke rumah masing-masing, KPM menegaskan bahawa mereka perlu pulang semula ke asrama KM dan IPG pada 1 April 2020 atau tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.
Jika terdapat pelajar atau warga kampus di KM dan IPG, menurut KPM, pekerja kontrak kebersihan juga perlu bertugas di premis berkenaan.
Sekiranya tiada pelajar dan warga kampus, KPM memaklumkan bahawa pekerja kontrak terbabit perlu hadir pada 30 dan 31 Mac ini sahaja atau mengikut arahan dikeluarkan kementerian.
KPM turut memaklumkan bahawa semua premisnya ditutup membabitkan prasekolah, sekolah kerajaan dan sekolah swasta, sekolah harian serta sekolah berasrama penuh.
Selain itu, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat, pusat tahfiz, kolej dan pusat GENIUS dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah serta pra-universiti termasuk IPG ditutup sepenuhnya dalam tempoh berkenaan.
Namun begitu, KPM menegaskan, kemudahan asrama disediakan seperti biasa kepada semua pelajar KM dan IPG yang masih di asrama.
Semua bahagian dan agensi bawah KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pusat Pendidikan Daerah (PPD) juga ditutup.
Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, KPM turut melarang sebarang aktiviti seperti tuisyen, kelas tambahan, latihan sukan dan kegiatan kokurikulum.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment