Zoo mini yang dikenali sebagai Rimba Kecil
CABARAN guru bertugas di pedalaman dan bandar ternyata berbeza walaupun matlamatnya satu iaitu mendidik anak bangsa.
Alfian Mansor, antara guru muda yang bertugas di sekolah penempatan Orang Asli sejak lapan tahun lalu. Sekali gus menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
Guru Cemerlang Prasekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong Pinang, Bandar Tenggara, Johor itu tidak jemu untuk menarik minat murid Orang Asli menuntut ilmu.
“Kehadiran ke sekolah menjadi masalah besar bagi anak-anak ini,” katanya ketika dihubungi Akademia Harian Metro, baru-baru ini.
Alfian mengakui, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai pendidik supaya masalah itu ditangani secara berhemah dan kreatif bagi memastikan anak-anak Orang Asli tidak tercicir dalam menuntut ilmu.
Bagi mengatasi masalah itu, beliau membina zoo mini dikenali Rimba Kecil yang menempatkan beberapa jenis haiwan peliharaan di sekolah berkenaan.
MURID gembira dapat memberi makan arnab.
Katanya, idea menempatkan 61 haiwan pelihara itu juga sesuai dengan naluri dan jiwa murid Orang Asli yang dekat dengan hutan dan semula jadi.
“Projek ini berjaya menggalakkan mereka untuk hadir ke sekolah setiap hari. Pada waktu cuti pun mereka rajin ke sekolah semata-mata ingin melihat dan bermain dengan haiwan di Rimba Kecil.
“Sejak dibuka awal persekolahan lalu, sekolah mencapai peratusan kehadiran murid yang cemerlang iaitu 98 peratus dan terbaik di Johor,” katanya.
Guru berusia 34 tahun itu berkata, idea membina Rimba Kecil juga tercetus apabila melihat anak muridnya banyak menghabiskan masa rehat dengan mengejar haiwan di padang.
KELETAH arnab yang comel menarik perhatian murid di Rimba Kecil.
“Selain membawa suasana berbeza, Rimba Kecil ini juga menjadi platform pembelajaran langsung kepada murid melalui pelbagai aktiviti penerokaan seperti mengenal ciri, habitat dan jenis haiwan.
“Hasilnya, projek ini berjaya merangsang kecenderungan pelbagai murid, khususnya yang bersifat semula jadi, kinestatik dan linguistik,” katanya.
Rimba Kecil yang dibina dengan kos bernilai RM2,000 menempatkan 12 arnab, enam kura-kura, sembilan burung baji, empat ikan koi dan 30 ikan emas.
Projek yang dimulakan pada 21 November lalu itu mendapat sokongan penuh daripada Guru Besar, Azmi Wahid.
ALFIAN bersama anak-anak muridnya.
Alfian berkata, haiwan yang terdapat di Rimba Kecil itu ada antaranya dibeli, selain sumbangan daripada pelbagai pihak. Selain sumbangan untuk menampung kos perbelanjaan makanan, pembersihan, penjagaan dan rawatan.
“Cabaran terbesar adalah untuk memastikan Rimba Kecil sentiasa bersih dan semua haiwan dalam keadaan sihat kerana tempat ini menjadi destinasi riadah untuk merehatkan diri bukan sahaja murid, tetapi juga penduduk kampung.
“Bagi memastikan kebersihan terjaga, kawasan Rimba Kecil dan kolam ikan akan dibersihkan dua kali seminggu manakala kerja pembuangan najis arnab dilakukan setiap hari selepas waktu persekolahan,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini, pihak sekolah masih menggunakan sistem cucian kolam secara manual.
“Kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk menyumbang sistem pengaliran dan pembersihan air kolam,” katanya.
HARIAN METRO ONLINE
No comments:
Post a Comment