Tuesday, 10 March 2020

RADZI JIDIN IKRAR LONJAK KUALITI PENDIDIKAN NEGARA

Dr Mohd Radzi Md Jidin
KUALA LUMPUR: Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin mengakui memikul tanggungjawab berat sebagai Menteri Pendidikan dalam usaha melonjakkan kualiti pendidikan negara.
Mohd Radzi yang turut dilantik antara empat Menteri Kanan berkata, beliau sedar mengenai harapan tinggi rakyat yang mahukan generasi masa depan negara yang cemerlang dan berkualiti menerusi agenda pendidikan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diatas kepercayaan yang diberikan kepada saya sebagai Menteri Kanan yang juga Menteri Pendidikan.
”Sejujurnya pelantikan ini adalah satu tanggungjawab yang amat berat, terutamanya dalam usaha untuk memastikan kualiti pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya menyedari bahawa saudara-saudari meletakkan harapan tinggi agar sistem pendidikan negara dapat melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang dalam pelbagai aspek dan mampu bersaing di persada dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari.
Bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin itu turut meminta ruang dan doa daripada semua pihak untuk beliau menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
”Saya menerima amanah ini dengan penuh keinsafan. Berilah peluang dan ruang kepada saya untuk melakukan yang terbaik demi tanah air tercinta ini. Doakan saya, ya,” katanya.
Bekas pensyarah dan penyelidik dalam bidang perakaunan dan pengauditan serta perakaunan forensik dari University of Tasmania, Australia pernah berkhidmat di University of New South Wales dan The Australian National University.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment