Thursday 26 March 2020

FOOD BANK MALAYSIA BANTU LEBIH 38,000 PELAJAR IPT

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid
KAJANG: Lebih 38,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara yang terpaksa berada di kampus masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi bantuan bekalan makanan di bawah program Food Bank Siswa.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata jumlah itu membabitkan 54 universiti awam (UA), politeknik dan institut pendidikan guru (IPG) yang dikenal pasti mempunyai fasiliti penyimpanan makanan.
Selain itu, katanya, Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) turut bekerjasama dengan agensi Insaf Malaysia bagi menyediakan makanan harian kepada 1,000 orang daripada golongan berpendapatan rendah, iaitu yang paling terjejas dengan pelaksanaan PKP.
“Sumbangan ini membabitkan 123 kawasan dan kita memberi tumpuan kepada golongan yang terjejas di Lembah Klang termasuk di bandar dan pinggir bandar.
“Kita tidak mahu rakyat berasa begitu terkesan dan berharap program Food Bank Malaysia ini dapat membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan YFBM di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, Ab Wahab Long.
Sementara itu, Rosol berkata, Food Bank Malaysia akan menghantar bekalan makanan ke Arab Saudi bernilai kira-kira RM20,000, sebagai tanda terima kasih kepada negara itu yang menyumbang kit ujian COVID-19 kepada Malaysia.
“Jumlah itu membabitkan lapan tan makanan termasuk makanan dalam tin, botol dan bungkusan. Mereka tidak mahu wang untuk pemberian kit ujian itu, maka kita lakukan timbal balik melalui makanan,” katanya.
Mengenai kegiatan peniaga menyorokkan topeng muka dengan tujuan menaikkan harga, Rosol berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang menangguk di air keruh ketika negara berdepan krisis ketika ini.
“Saya menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati membeli barangan itu secara atas talian kerana kita difahamkan ada yang tertipu seperti hanya mendapat kotak dan jumlah yang diterima tidak seperti yang dijanjikan,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment