Friday 27 March 2020

GUNA SMS ALTERNATIF PEMBELAJARAN DALAM TALIAN


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) turut membabitkan penutupan sekolah dan institusi pendidikan di negara ini. Ia memaksa pendidik tanpa mengira peringkat untuk bersama menggunakan teknologi sedia ada, iaitu internet untuk berkomunikasi dan menyambung aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Kementerian Pendidikan KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memulakan gerak kerja bagi memudahkan proses transisi dengan merancang dan mengadakan pelbagai sesi persidangan video. Ia mengetengahkan pelbagai tajuk, rata-ratanya berkisar cara guna pelbagai perkhidmatan dalam talian untuk tujuan pengajaran, pembelajaran dan penilaian serta tajuk bersifat teori dan praktikal.
Dalam usaha mendigitalkan pendidikan, kita juga harus peka dengan keupayaan dan kesediaan infrastruktur serta infostruktur bagi mendukung aktiviti pembelajaran atas talian. Kadar Penembusan Internet bagi Malaysia ialah pada kadar 83 peratus mengikut laporan Hootsuite and We Are Social Inc bagi 2020.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 3 peratus dari tahun sebelumnya. Walaupun angka ini tinggi berbanding negara di Asia Tenggara lain, ia juga bermaksud Malaysia secara kumulatifnya mempunyai 17 peratus bersamaan lebih kurang 56,000 kilometer persegi bahagian lagi yang tidak mendapat capaian internet.
Angka ini belum ditambah dengan jumlah kawasan mempunyai liputan capaian internet lemah dan tidak praktikal untuk menjalankan pembelajaran dalam talian berkualiti hingga keciciran pembelajaran boleh berlaku.
Masalah timbul apabila aplikasi digunakan menjalankan aktiviti pembelajaran dalam talian memerlukan jalur lebar besar untuk beroperasi. Teknologi dan sistem bersifat ‘synchronous’ seperti persidangan video atau ‘asynchronous’ seperti rakaman video memerlukan kadar pemindahan bit data tinggi.
Begitu juga proses paparan atau muat turun dokumen memerlukan jalur lebar pantas dan stabil bagi memastikan kesemua data sesebuah dokumen berjaya dipindahkan. Berada di lokasi yang capaian internet lemah akan menyebabkan proses pembelajaran pelajar terganggu.
Kesan ketiadaan atau kurangnya kualiti capaian internet mula dirasai pendidik di tempat terkesan. Ramai dalam kalangan pendidik mula bertanya dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah menyediakan aktiviti pembelajaran dan menggunakan aplikasi sesuai bagi pelajar di kawasan berkenaan.
Penggunaan alatan atau aplikasi berteknologi rendah sebenarnya ialah jalan penyelesaian permasalahan ini buat masa ini. Khidmat pesanan ringkas (SMS) boleh menjadi pilihan kepada pendidik yang mahu meneruskan pembelajaran bagi pelajarnya di kawasan tiada capaian internet atau mempunyai kadar capaian lemah.
SMS suatu ketika dahulu pernah menjadi aplikasi utama digunakan untuk berbual, kini berpotensi membantu pendidik dalam meneruskan pembelajaran terbatas kerana PKP.
Terdapat pelbagai variasi teknologi SMS namun pada dasarnya, ia menggunakan perkhidmatan rangkaian selular GSM dan bukannya internet untuk menghantar dan menerima pesanan mesej. Oleh itu, SMS antara teknologi wajar digunakan dalam konteks ini.
Terdapat beberapa perkara perlu diambil perhatian semasa menggunakan SMS sebagai medium pembelajaran. Pertama, had aksara setiap mesej kerana biasanya ia boleh mengandungi hingga 160 aksara. Jika berlebihan, pesanan berkenaan akan dipecah-kecilkan kepada beberapa mesej berangkai.
Kedua, bahan multimedia seperti gambar pula akan dihantar melalui perkhidmatan Multimedia Messaging Service atau mudah dikenali sebagai khidmat pesanan multimedia (MMS). Perkhidmatan MMS memerlukan capaian rangkaian data internet. Oleh itu, jika pelajar di kawasan mempunyai capaian internet, i aboleh menjadi pilihan.
Ketiga, mod pembelajaran akan menjadi ‘asynchronous’. Apabila menggunakan perkhidmatan SMS, ada kalanya mesej akan lewat diterima. Oleh itu, pendidik dan pelajar perlu faham serta merendahkan jangkaan kepantasan membalas SMS terbabit kerana kelajuan penghantarannya di luar kawalan mana-mana pihak.
Keempat, ketiadaan notifikasi penerimaan. Tidak seperti aplikasi pesanan mesej seperti WhatsApp dan Telegram yang mempunyai mekanisma menunjukkan sama ada penerima menerima atau membuka mesej dihantar, majoriti perkhidmatan SMS tidak mempunyainya. Terdapat segelintir sahaja perkhidmatan SMS mempunyai fungsi seperti ini.
Bagaimanapun, kos setiap penghantaran SMS di negara ini tinggi bagi sesetengah syarikat rangkaian telekomunikasi, iaitu antara 9 hingga 20 sen, bergantung jenis perkhidmatan dilanggan. Kos tinggi itu akan menjadi batu penghalang usaha pendidik untuk merapatkan jurang pendidikan bagi pelajar di kawasan lemah atau tiada capaian internet.
Diharapkan syarikat telekomunikasi dapat membantu dengan merendahkan kadar caj SMS di kawasan terbabit sepanjang tempoh PKP ini.
Usaha membantu pendidik wajar diberi perhatian khusus bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkualiti kepada semua pelajar. Pihak industri khususnya syarikat rangkaian telekomunikasi perlu mengambil langkah drastik bagi memudahkan kerja pendidikan yang menjadi tunjang utama kepada keberhasilan modal insan negara, agar ia tidak terputus dalam tempoh PKP ini.
Dr Mohd Hafiz Md Hanif
Pengarah, Akademi Pendidikan/Sekolah Makmal,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment