Friday 27 March 2020

COVID-19: KPM SEDIA GARIS PANDUAN PdP SEPANJANG PKP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan garis panduan memperincikan peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru, ibu bapa serta murid bagi memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
KPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, garis panduan itu antaranya akses kepada teknologi komunikasi dalam kalangan guru, ibu bapa dan murid.
“Guru boleh menggunakan pelbagai platform dalam talian dan media sosial yang bersesuaian untuk merancang serta memberi arahan, tugasan dan kerja rumah.
“Selain itu, mengambil kira akses internet yang terhad, guru boleh meminta murid melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan buku teks, buku ulang kaji dan buku aktiviti tanpa perlu keluar dari rumah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, guru boleh merujuk kepada platform pembelajaran disediakan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah atau platform lain yang bersesuaian.
Katanya, platform pembelajaran yang disediakan oleh KPM iaitu MPE-DL boleh diakses melalui www.moe-l.edu.my.
“Platform ini menyediakan pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams untuk tujuan PdP, buku teks digital, video PdP (EduwebTV/CikgooTube) dan pautan aplikasi yang membantu PdP seperti Edpuzzle (aplikasi pengajaran menggunakan video secara interaktif), Quizizz (kuiz berbentuk permainan) dan Kahoot (pembelajaran berasaskan permainan).
“Selain itu, ibu bapa boleh mengakses EduwebTV (koleksi video) dan CikgooTube (perkongsian koleksi video daya usaha kreativiti guru) bagi membantu pembelajaran anak di rumah melalui eduwebtv.moe.edu.my dan bit.ly/cikgootube,” katanya.
Dalam pada itu, guru turut diberi fleksibiliti dari segi masa PdP, kaedah membimbing murid, menyemak dan memeriksa latihan, tugasan atau kerja rumah.
“Penghantaran dan pengambilan bahan cetak yang membabitkan pergerakan dalam tempoh perintah adalah dilarang sama sekali.
“Berkat kerjasama pentadbir, guru, ibu bapa dan murid, KPM yakin pembelajaran murid dapat dilaksanakan dengan berkesan walaupun dalam keadaan yang mencabar ini,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment