Thursday, 20 August 2020

PENTAKSIRAN BAHARU KE SBP DIUMUM DALAM MASA TERDEKAT

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin
KUALA LUMPUR: Pentaksiran baharu bagi kemasukan murid tahun enam dan pelajar tingkatan tiga ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diumum dalam masa terdekat.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata pentaksiran baharu itu diperkenal susulan keputusan Kementerian Pendidikan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.


Katanya, bagi murid dan pelajar lain, kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) akan terus digunakan dan sehingga kini, sekolah tidak berdepan masalah untuk menilai prestasi mereka.
"Pentaksiran ke asrama penuh bagi murid tahun enam dan tingkatan tiga, kita akan maklum dalam masa terdekat. Ketika saya umumkan batalkan UPSR dan PT3 tahun ini, memang kita ada kaedah yang sudah dilaksanakan. Ia dapat dilaksana dengan baik sepanjang tempoh ini.
"Sejak dia masuk darjah satu pun sudah dinilai. Perkembangannya pun kita sudah ikut. Kita sudah lihat rekodnya pun. Sudah ada banyak maklumat yang kita boleh rujuk. Selepas sekolah dibuka dan ada proses penilaian, itu boleh diadakan dalam bilik darjah," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Putrajaya.
Dalam pada itu, Radzi berkata, kementerian juga sedang menilai keberkesanan pemansuhan sistem peperiksaan pada murid tahap satu.
"Ini perkara yang sedang diteliti secara menyeluruh. Secara prinsipnya, apabila saya lihat sistem pendidikan di Australia dan kembali ke tanah air, (murid) darjah satu dua sudah pergi tuisyen, ambil peperiksaan dan sebagainya. Ini satu keadaan yang tidak kondusif untuk perkembangan anak-anak.
"Sebab pada umur terlalu muda ini, adalah ruang untuk anak-anak bina karakter. Kita tak boleh terus menekan mereka dengan peperiksaan. Sebab itu perkara ini saya sedang lihat secara menyeluruh. Dalam usia sebegini kita melihat minat mereka dalam konteks enrolmen dalam sains dan teknologi semakin tahun semakin kurang," katanya.
Beliau berkata, keadaan ini berbeza dengan sistem pendidikan di negara maju lain yang mana sains dan teknologi dilihat sebagai subjek yang diberi penekanan memandangkan ia berupaya memacu ekonomi masa depan.
"Dunia sedang melihat kepakaran dalam sains dan teknologi untuk memacu ekonomi pada masa depan tetapi enrolmen (murid) kita mengurang. Untuk membentuk generasi ke arah itu, ia mesti bermula dari awal.
"Kita lihat semua sistem untuk melihat kaedah yang terbaik namun apa-apa yang sedang dilaksanakan, bawa kebaikan kita akan teruskan," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 18 August 2020

QUOTE YB SAIFUDDIN ABDULLAH (MASA DEPAN NEGARA)


SUMBER : BERNAMA

AKTIVITI SUKAN DI SEKOLAH DIBENARKAN BERMULA 1 SEPTEMBER

- Foto hiasan
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mulai 1 September ini, aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah dibenarkan dengan garis panduan ketat termasuk mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga murid.
Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum di sekolah yang diluluskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menetapkan penggunaan bilik mandi atau persalinan dihadkan mengikut kapasiti.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata garis panduan itu juga menetapkan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik dan peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi.
Beliau berkata, garis panduan itu merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal.
Katanya, semua garis panduan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan (KPM) yang sedia ada.
"Kerajaan memahami psikologi pelajar ketika ini di mana semua aktiviti dilakukan di dalam kelas, jadi mereka dibenarkan melakukan aktiviti sukan di luar dengan garis panduan yang ketat," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.
BERITA HARIAN ONLINE

PdP AMALI TEKNIKAL DAN VOKASIONAL MULAI 1 SEPTEMBER

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meluluskan Garis Panduan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Amali Teknikal dan Vokasional berkuat kuasa 1 September ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata garis panduan yang perlu dipatuhi membabitkan lebih 89 Kolej Vokasional serta Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Teknik yang terpilih.
Katanya, garis panduan itu termasuklah menentukan bilangan pelajar berdasarkan kapasiti ruang, tempat dan peralatan amali dibersihkan dan disanitasi serta murid bergejala tidak dibenarkan untuk mengikut amali.
"Selain itu, terdapat sekolah membabitkan teknikal dan vokasional yang bukan saja terletak di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), ia juga ada di bawah kementerian, agensi dan institusi swasta lain, justeru mereka perlu mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang sama di bawah KPM," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.
BERITA HARIAN ONLINE

JENAYAH SEKSUAL KANAK-KANAK


SUMBER : KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA & MASYARAKAT


SUKUK PRIHATIN DILANCAR


SUMBER : KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA