Wednesday, 28 July 2021

PERAK SEDIA STUDIO PdPR, BANTU GURU SIAPKAN BAHAN PENGAJARAN

IPOH, 28 Julai (Bernama) -- Lebih 20 unit studio akan disediakan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Perak bagi memberi kemudahan kepada para guru melakukan persiapan bahan-bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata inisiatif sebanyak RM125,000 daripada kerajaan negeri itu telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi tujuan penyediaan dua studio PdPR berkenaan di setiap 11 PPD.

“Inisiatif di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani ini bertujuan membantu warga pendidik menyediakan kelengkapan bagi PdPR yang kini menjadi amalan norma baharu ekoran pandemik COVID-19 selain boleh dimanfaatkan bagi sesi taklimat serta aktiviti sukan dalam talian atau E-sukan,” katanya pada sidang media secara maya melalui aplikasi Zoom Meeting di pejabatnya hari ini.

Turut berlangsung, majlis penyerahan cek kepada Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali oleh Saarani yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dilapor baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Selain itu, Saarani berkata JPN Perak turut menerima cek bernilai RM15,000 bagi melaksanakan Majlis Sukan Sekolah Perak eChallenge 2021 iaitu pertandingan yang melibatkan 24 jenis permainan sukan dalam talian.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri akan melaksanakan Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) untuk membantu golongan rentan yang terkesan oleh pandemik COVID-19 bermula 1 Ogos ini melibatkan 5,097 penerima wanita termasuk 1,104 daripada komuniti Orang Asli serta 20,000 tanggungan dalam kalangan golongan miskin dan miskin tegar.

Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John yang turut menyertai majlis menerusi aplikasi Zoom Meeting itu berkata bantuan Program KIDR diberi melalui kad tanpa tunai yang disediakan oleh Kiplepay Sdn Bhd boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas dan rawatan kesihatan di klinik swasta.

“Penerima bakal mendapat kad tanpa tunai bernilai RM250 sebulan untuk membeli barangan keperluan harian di kedai runcit yang disenaraikan berdekatan kediaman mereka,” katanya dan menambah bagi bantuan rawatan kesihatan pula, penerima akan menerima nilai RM250 untuk kegunaan seluruh ahli keluarga untuk tahun ini.

Para peserta Program KIDR telah dipilih dan disaring daripada sistem eKasih yang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan sistem iDamak milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), dengan mereka berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019.

NCIA memperuntukkan sebanyak RM7.4 juta bagi Fasa 1 program ini sebagai manfaat penerima Program KIDR dan penyerahan Kad KIDR kepada penerima telah bermula sejak 19 Julai lepas di seluruh 12 daerah di negeri Perak, dengan kerjasama semua Pejabat Daerah dan Tanah melalui penghulu-penghulu mukim manakala bagi penerima Orang Asli akan dilaksanakan oleh pihak Jakoa.

BERNAMA ONLINE

Monday, 26 July 2021

PdPR PERLU DITERUSKAN SEHINGGA SITUASI COVID-19 SELAMAT UNTUK PDP BERSEMUKA

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi pelajar sekolah wajar diteruskan sehingga situasi semasa jangkitan COVID-19 di negara ini berada dalam keadaan selamat, sebelum sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka dapat dilaksanakan.

Walaupun sesi bersemuka masih diakui sebagai kaedah pendidikan terbaik, namun PdPR yang boleh ditingkatkan lagi pelaksanaannya sama ada secara dalam talian atau luar talian, diakui sebagai kaedah paling sesuai bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan, tatkala COVID-19 masih menjadi ancaman besar negara.

Seorang guru yang ingin dikenali sebagai Din berkata melihat kepada kes positif harian yang masih mencecah lima angka ketika ini, sesi PdPR yang sudah masuk tahun kedua pelaksanaannya adalah inisiatif terbaik dan selamat bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.

"Eloklah sesi PdPR diteruskan sehingga keadaan betul-betul selamat. Walaupun amalan prosedur operasi standard (SOP) boleh diperketatkan (jika sesi bersemuka dimulakan), kita masih berdepan ancaman varian baharu. Ia agak merisaukan komuniti guru kerana ada dalam kalangan kami dan ahli keluarga yang berisiko," katanya ketika dihubungi Bernama.

Guru Matematik di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru Melaka itu berkata sesi PdPR yang telah dilaksanakan sejak tahun lepas kini telah dapat diperkasa dalam kalangan guru melalui penggunaan pelbagai kaedah agar sesi PdP berlangsung secara lebih efektif.

Katanya, golongan pendidik juga telah diberi pelbagai taklimat, input serta tunjuk ajar tentang pelaksanaan PdPR yang berkesan.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Zulkifli Muhammad di Slim River, Perak, Noraini Osman berkata pengumuman KPM yang menyambung sesi persekolahan secara PdPR sehingga 31 Ogos itu pastinya demi keselamatan pelajar ekoran situasi kes COVID-19 di Malaysia yang masih tinggi.

"Dalam keadaan COVID-19 ketika ini, saya akur pada arahan KPM kerana PdPR adalah untuk memastikan murid-murid selamat dan (pada masa sama) tidak tercicir daripada pembelajaran. Guru-guru mungkin kebanyakan sudah lengkap dua dos suntikan vaksin namun murid-murid masih belum (suntik vaksin). Perkara ini juga dapat mengelakkan daripada kluster pendidikan atau kluster sekolah timbul,” katanya.

Seorang ibu dari Taman Kenanga, Melaka Tengah, Shahidah Abdul Jalil, 34, berkata setelah hampir dua tahun kaedah PdPR dijalankan, terdapat banyak manfaat diperoleh anak-anaknya dan beliau sendiri dapat berperanan memantau sesi PdPR mereka.

“Saya dah mula teliti dan ambil berat tentang hal sekolah anak-anak. Ada ketika sama-sama bantu mereka selesaikan tugasan atau kerja rumah yang diberikan cikgu mereka terutama subjek yang kurang difahami…sama-sama cari penyelesaian, duduk berbincang dan secara tidak langsung dapat meluangkan masa belajar bersama mereka," kata ibu kepada empat anak berusia sembilan hingga 15 tahun itu.

Shahidah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut bersyukur kerana guru sekolah anaknya sentiasa prihatin dengan semua sesi PdPR yang dijalankan mengikut kemampuan pelajar, dan pelajar tidak terlalu dibebankan dengan tugasan di luar kemampuan, khususnya melibatkan peralatan perbelanjaan tertentu.

Seorang pelajar SMK Lahat di Ipoh, Perak, Nurhaziqah Adilah Razmi, 16, berkata beliau kini sudah biasa dengan PdPR walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk subjek yang memerlukan uji kaji dan penggunaan makmal.

“Guru banyak membantu dengan berkongsi video tambahan,” katanya sambil menambah guru juga akan memberikan pelajar permainan dalam talian seperti kuiz agar interaksi dan pembelajaran menjadi lebih menarik.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 24 July 2021

PdPR: PENAMBAHBAIKAN, STRATEGI BERKESAN UNTUK KURANGKAN TEKANAN

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) digesa melakukan beberapa penambahbaikan atau menggunakan strategi lebih berkesan, bagi mengurangkan tekanan dihadapi pelajar, guru dan ibu bapa ekoran pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Dr Hazli Zakaria berkata, walaupun sudah ada yang mula selesa dengan PdPR, perhatian tetap perlu diberikan kepada mereka yang masih berusaha menyesuaikan diri dengan kaedah itu.

Pakar Psikiatri Klinik Pakar Alaminda itu memberitahu Bernama, pihak yang bermasalah perlu dibantu dengan cara yang sesuai dan antara tindakan yang boleh diambil adalah dengan mendapatkan maklumat tepat, berhubung pengalaman mereka yang melalui PdPR.

“Kita kena ambil tahu daripada akar umbi yang merangkumi pelajar, ibu bapa, guru dan pentadbir. Kesemuanya kena beri maklumat, kerana inilah data yang amat berguna dan kaya dari segi potensi untuk diguna pakai, bagi penambahbaikan kualiti pembelajaran di negara kita,” katanya sambil menekankan pemberi maklumat mestilah dipastikan tidak terjejas.

Selain itu beliau berkata, KPM juga harus mengambil kira perbezaan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar, kerana setiap sekolah mempunyai situasi yang unik dan dengan hanya maklumat yang tepat, akan dapat melancarkan pelaksanaan PdPR.

Mengakui polisi digariskan KPM sudah cukup baik, namun pada pendapat beliau, pelaksanaan polisi itu haruslah lebih spesifik dan tepat kepada sasaran bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

“Saya pasti mereka (kerajaan) sedaya upaya memberikan perubahan yang terbaik untuk semua yang terlibat, tetapi saya rasa ia (bagi mencapai objektif) memerlukan platform yang lebih telus agar semua pihak boleh berkongsi.

“Kita melihat ini sebagai satu cara untuk kita bermuafakat daripada kita mencari kesalahan, dan menyebabkan tidak berlaku proses perubahan yang kita harapkan,” katanya.

Dr Hazli turut menasihati pihak yang terlibat dengan pelaksanaan PdPR, supaya tidak mengharapkan kerajaan sahaja untuk menyelesaikan masalah mereka, kerana usaha menambah baik pengajaran dan pembelajaran memerlukan kerjasama semua pihak.

Beliau berharap KPM tidak sensitif atau mudah terasa dengan keluhan pihak yang kurang senang dengan pelaksanaan PdPR, sebaliknya menerima kenyataan bahawa negara berada dalam keadaan yang belum pernah dialami sebelum ini, justeru sesuatu sistem baharu memerlukan banyak kaedah, bantuan serta sokongan.

Menurutnya, semua pihak termasuk KPM, perlu menggunakan peluang menerusi pelaksanaan PdPR untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi, bagi menghasilkan pelajar bermutu tinggi, tahu menggunakan ilmu dan bukan sekadar mendapat keputusan baik dalam peperiksaan.

“Sayangnya, walaupun dalam keadaan begini (pandemik COVID-19), kita masih taasub dengan keputusan berapa A yang perlu dihadiahkan kepada sekolah, guru dan ibu bapa. Kita kena lihat keadaan ini dan ambil kesempatan, cuba ubah tentang apa yang kita cuba capai pada masa ini,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept berdasarkan kadar vaksinasi guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Sehingga 16 Julai, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus), telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

BERNAMA ONLINE

Friday, 23 July 2021

GURU, PELAJAR DAN IBU BAPA SEMAKIN SESUAIKAN DIRI DENGAN PdPR

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Setelah lebih setahun negara dilanda pandemik COVID-19 yang turut menyebabkan perubahan drastik terhadap kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dari bersemuka kepada PdP di Rumah (PdPR), para guru dan pelajar serta ibu bapa kini dilihat semakin dapat menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Meskipun pada awalnya pelbagai halangan dan kesukaran dilaporkan untuk melaksanakan dan mengikuti PdPR ini, namun seiring waktu berlalu halangan itu dapat diatasi kini dengan inisiatif mewujudkan pelbagai kaedah PdP dan bukan lagi bergantung sepenuhnya terhadap PdPR secara dalam talian.

Perkara ini diakui Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sega, Rantau, Negeri Sembilan Intan Mardiana Roslan, 39, yang berasa lebih selesa untuk melaksanakan PdPR ketika ini berbanding ketika mula dilaksanakan secara mengejut sebelum ini.

“Kalau PdPR 1.0 (kali pertama) yang dilaksanakan pada Mac 2020, semua dilakukan secara dalam talian, ia bukan sahaja menyukarkan murid dan ibu bapa untuk mengikutinya malah turut memberi tekanan kepada guru untuk melaksanakan tugasan ditambah lagi dengan masalah ketiadaan gajet dan capaian internet.

“Namun atas pengalaman yang telah dilalui pada PdPR kali pertama, kita ambil inisiatif untuk tambah baik kaedah PdPR kali kedua bermula pada November 2020 dengan pelbagaikan kaedah pembelajaran dan tidak lagi bergantung sepenuhnya secara dalam talian dan hasilnya dapat dilihat dalam PdPR terbaru dilaksanakan sejak Mei 2021 berlangsung secara lebih tenang dan teratur,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Katanya, antara kaedah PdPR secara bukan dalam talian adalah penggunaan modul yang mengandungi beberapa subjek diambil sendiri oleh ibu bapa di sekolah untuk disiapkan dalam tempoh tertentu.

“Penggunaan modul ini kita beri sekali dalam seminggu tetapi tugasannya adalah untuk tempoh tiga minggu, selepas itu biasanya ibu bapa akan datang semula ke sekolah untuk menghantar tugasan anak-anak mereka dan begitulah seterusnya.

“PdPR kali ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar kerana kita sudah selaraskan ikut keperluan dan keselesaan ibu bapa, penjaga serta murid dan pihak sekolah yang mana untuk tugasan PdPR kali ni kita bagi mengikut keselesaan antara tiga pihak ini dengan pelbagaikan kaedah penyampaian termasuk menggunakan buku teks, latihan, Google Meet, YouTube, panggilan video, Telegram dan WhatsApp selain penggunaan modul,” katanya.

Turut menyatakan pendapat sama, penjawat awam Suzana Ismail, 40, yang kini lebih yakin untuk membantu ketiga-tiga anaknya berusia enam hingga 12 tahun mengikuti PdPR meskipun pada awalnya ia tidak teratur dan agak kelam-kabut.

“Selepas lebih setahun PdPR dilaksanakan, saya rasa ia sudah boleh disesuaikan dengan sistem pembelajaran anak-anak, mulanya memang agak kelam kabut tetapi kini pada saya ia lebih mudah dan teratur. Guru kelas akan memberi jadual kelas untuk seminggu dan ini membolehkan ibu bapa memantau dan memastikan anak-anak dapat ikuti setiap kelas.

“Biasanya video rakaman kelas dan kerja sekolah juga diberikan selepas tamat sesi PdPR yang akan dimasukkan dalam Google Classrom, ini membolehkan ibu bapa memantau tugasan atau kerja sekolah anak-anak yang diberikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneruskan PdPR hingga 31 Ogos depan berikutan kes COVID-19 masih menjadi ancaman di negara ini, adalah langkah tepat bagi mengelakkan wujudnya kluster berkaitan pendidikan.

Sementara itu, seorang guru di SK Kimanis, Papar, Sabah, Azizah Hasan, 40, berkata meskipun pada awal pelaksanaan sesi PdPR keadaan agak kelam kabut, dan dalam masa sama perlu membantu PdPR dua anaknya, semuanya kini semakin lancar selepas beliau dan anaknya sudah mula memahami pembelajaran dengan kaedah itu.

“Sebagai seorang ibu dan guru, mahu atau tidak perlulah menyesuaikan diri dengan PdPR walaupun pada awalnya agak terkejar-kejar, bayangkanlah pada waktu kita laksanakan PdPR dengan murid-murid, saya juga perlu bantu PdPR dua orang anak saya yang berusia lapan dan tujuh tahun.

“Situasi ini memang mencabar tetapi kita kena rasional kerana ia bukan pilihan yang boleh kita pilih mahu atau tidak...ia tetap perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam memastikan anak-anak murid dan anak saya sendiri tidak tercicir dari pelajaran,” katanya.

Meskipun sudah mula serasi dengan PdPR ini, Azizah berkata beliau amat mengharapkan sesi persekolahan dapat dijalankan seperti biasa dengan kehadiran fizikal sekiranya situasi semasa COVID-19 sudah mula reda.

“Saya pasti apa dilakukan KPM ini adalah yang terbaik demi menjaga kesihatan anak-anak murid dan para guru daripada dijangkiti. Saya sangat berharap sekiranya sesi persekolahan dapat dijalankan pada September nanti, kesemua kakitangan termasuk para guru sudah menerima dua dos vaksin sebagai langkah mengurangkan jangkitan terhadap anak-anak murid yang tidak mendapat vaksin,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

BERNAMA ONLINE

 

Tuesday, 20 July 2021

PDPR SEMAKIN TERATUR, PELBAGAI KAEDAH PELAKSANAAN IMBANGI KEPERLUAN PELAJAR

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Selepas lebih setahun pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kini ia semakin difahami pihak-pihak terlibat dengan penambahbaikan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, bagi memastikan keberkesanannya.

Memasuki tahun kedua pelaksanaannya yang terpaksa dilakukan berikutan ancaman pandemik COVID-19, semakin ramai juga yang menyedari bahawa PdPR bukan lagi hanya dilakukan secara dalam talian, sebaliknya turut dilaksanakan secara luar talian, seperti dengan kaedah menyediakan modul mengikut keperluan dan kemampuan pelajar.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, penambahbaikan sentiasa dilakukan oleh pihak guru, hasil daripada pengalaman pelaksanaan PdPR sejak tahun lepas.

“Pelaksanaan PdPR 1.0 (kali pertama) dahulu semua orang ‘zero’. Cikgu pun masa nak mula memang tidak ada pengalaman, semua orang masa itu tidak biasa kerana mereka (guru) dilatih mengajar dalam suasana normal, iaitu suasana mengajar di sekolah bukan untuk PdPR.

“Jadi inisiatif sendirilah yang mana mereka bina dan teroka ilmu, maklumat sendiri. Sekarang bila sudah masuk tahun kedua, saya rasa pengalaman hendak mengurus itu sudah ada, apatah lagi PdPR kini juga dilaksanakan (dengan kaedah seperti) menggunakan modul pembelajaran yang diedarkan kepada pelajar, sebelum menyerahkan hasil tugasan mengikut tempoh yang diberikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun Aminuddin berkata, masih terdapat kekangan dalam pelaksanaan PdPR menggunakan modul ini, apabila terdapat segelintir ibu bapa yang tidak datang ke sekolah untuk mengambil tugasan anak-anak mereka.

“Ada ibu bapa yang bagi kerjasama baik, tetapi ada juga ibu bapa yang sukar untuk berbuat demikian, mungkin kerana mereka terpaksa bergerak dalam keadaan COVID-19 yang membimbangkan lagi, jadi mereka abaikan sahaja modul yang telah guru-guru letakkan di pondok pengawal sekolah. Itulah antara halangannya,” katanya.

Aminuddin mengakui, impak PdPR mungkin tidak sebaik proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara bersemuka, namun sekiranya isu PdPR secara dalam talian dan ‘real time’ dapat ditangani sepenuhnya, kesannya akan lebih positif.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan khas dalam belanjawan akan datang, bagi menyediakan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan capaian internet yang baik.

“Penguasaan dan keupayaan melaksanakan dan mengikuti PdPR secara dalam talian sepenuhnya, akan lebih baik dengan syarat kena ada peranti dan capaian internet untuk sesuatu proses PdPR itu lengkap.

“Kita tidak tahu, mungkin pendidikan digital akan berterusan tahun hadapan, jadi kita harap ada peruntukan khas daripada kerajaan, untuk beri bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan memiliki sekurang-kurangnya telefon pintar, bagi memastikan tidak ada pelajar yang tercicir daripada PdPR secara dalam talian,” katanya.

Katanya di samping itu, NUTP juga berharap agar ada inisiatif kepada guru-guru mungkin dalam bentuk rebat, untuk membolehkan mereka membeli komputer riba sebagai motivasi mereka meneruskan PdPR mengikut normal baharu, memandangkan selama ini mereka hanya menggunakan kemudahan sendiri.

Pada 17 Julai lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi yang melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Sehingga 16 Julai, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus), telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 17 July 2021

PdPR DITERUSKAN SEHINGGA 31 OGOS - KPM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut KPM ketetapan berkenaan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Menurut kenyataan itu, KPM juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.

Kenyataan itu menyebut bahawa sehingga 16 Julai, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Mengambil kira kadar vaksinasi ini, KPM telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 Sept.

“KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM pihaknya akan mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN sekiranya terdapat keperluan perubahan terhadap tarikh itu dan sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal.

BERNAMA ONLINE

Friday, 16 July 2021

PdPR: PENGAJARAN PERLU DISESUAIKAN DENGAN KEADAAN PELAJAR

ALOR SETAR, 16 Julai (Bernama) -- Seorang guru itu perlu kreatif dalam mencari kaedah terbaik dan menukar cara pembelajaran mengikut kesesuaian pelajar, bagi memastikan kejayaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), ketika negara masih berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19.

Kaedah PdPR secara dalam talian, mungkin dilihat sebagai cara mudah untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan, ketika sekolah tidak dibuka untuk PdP secara bersemuka, namun kaedah secara ‘off line’ atau luar talian juga mampu memastikan murid atau pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Bagi Dr Abdul Ghani Jalil, guru subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Pokok Sena dekat sini, cara pembelajaran PdPR itu perlu disesuaikan, bagi memastikan pelajar terutamanya yang berada di kawasan luar bandar, tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Saya mengajar pelajar Tingkatan Empat dan Lima, dan kebiasaannya saya akan jalankan kelas mengikut jadual waktu yang telah diatur dengan menggunakan aplikasi 'Google Meet' atau 'WhatsApp',” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Namun, bagi pelajar yang berhadapan dengan masalah untuk menyertai sesi pembelajaran secara maya, beliau mengambil pendekatan menjalankan PdPR secara luar talian, iaitu pergi ke rumah pelajar dan membawa modul untuk mereka buat.

Abdul Ghani, 46, yang berasal dari Kuantan, Pahang dan sudah 17 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan ini berkata, walaupun sukar untuk mengajar dalam tempoh pandemik ini, dia sentiasa mencari jalan dan cara untuk membantu pelajarnya belajar menggunakan kaedah PdPR ini.

“Sebenarnya banyak cara untuk laksanakan PdPR ini sama ada secara dalam talian atau luar talian. Kalau pelajar itu minat tengok video, kita boleh buat modul menggunakan aplikasi 'TikTok' atau kalau talian internet di rumah mereka perlahan, kita boleh hantar modul berkenaan terus di rumah mereka.

“Carilah cara atau kaedah macam mana sekali pun, asalkan proses PdPR itu berlangsung. Saya juga tidak terlalu suka membebankan pelajar, kerana selain Bahasa Melayu mereka perlu belajar subjek lain juga, jadi biasanya saya akan bagi satu atau dua modul sahaja asalkan sukatan dan topik tidak ketinggalan,” katanya.

Abdul Ghani berkata dalam tempoh PdPR ini juga, guru perlu peka dan tahu apa masalah yang dihadapi oleh pelajar, sekiranya mereka tidak menyertai kelas atau tidak menghantar kerja sekolah yang telah diarahkan, oleh guru masing-masing.

“Kalau pelajar itu senyap, kadang-kadang mereka sendiri tidak faham benda apa yang mereka kena buat, jadi guru perlu mendekati pelajar terutamanya yang di kawasan luar bandar, sebab ada masalah-masalah lain yang menyebabkan kaedah PdPR itu kurang berkesan.

“Sukar macam mana sekali pun, saya akan pastikan semua pelajar dapat belajar dengan baik menggunakan kaedah PdPR ini, tidak kisah secara dalam talian atau luar talian, kerana yang paling penting adalah mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Sementara itu Mohd Azharuddin Shah Yaakap yang merupakan guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Muzik di Sekolah Kebangsaan (SK) Mergong di sini berkata, selain menggunakan medium aplikasi seperti Telegram dan WhatsApp untuk PdPR, guru-guru di sekolah itu turut menggunakan kaedah luar talian.

“Guru buat secara luar talian juga, iaitu dengan tinggalkan modul di dalam kotak khas yang diletakkan di hadapan pintu sekolah dan akan minta ibu bapa datang ambil. Kalau hantar modul ke rumah pelajar itu tiada sebab kita tidak mahu langgar arahan yang sudah ditetapkan.

“Memang banyak dugaan bila buat PdPR ini, terutamanya dengan murid sekolah rendah sebab mereka sukar beri fokus semasa kelas dalam talian,” katanya.

Guru berumur 38 tahun ini berkata, bagi menarik minat anak muridnya untuk belajar, beliau lebih banyak menggunakan pautan YouTube, kerana ia mempunyai suara dan gambar yang lebih jelas dan menarik.

“Murid-murid usia mereka ini lebih gemar lihat YouTube, jadi kita guna pendekatan ini asalkan mampu buat mereka belajar. Ada juga guru yang ambil inisiatif dengan buat laman YouTube sendiri, untuk ajar murid mereka,” katanya.

BERNAMA ONLINE