KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi pelajar sekolah wajar diteruskan sehingga situasi semasa jangkitan COVID-19 di negara ini berada dalam keadaan selamat, sebelum sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka dapat dilaksanakan.
Walaupun sesi bersemuka masih diakui sebagai kaedah pendidikan terbaik, namun PdPR yang boleh ditingkatkan lagi pelaksanaannya sama ada secara dalam talian atau luar talian, diakui sebagai kaedah paling sesuai bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan, tatkala COVID-19 masih menjadi ancaman besar negara.
Seorang guru yang ingin dikenali sebagai Din berkata melihat kepada kes positif harian yang masih mencecah lima angka ketika ini, sesi PdPR yang sudah masuk tahun kedua pelaksanaannya adalah inisiatif terbaik dan selamat bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.
"Eloklah sesi PdPR diteruskan sehingga keadaan betul-betul selamat. Walaupun amalan prosedur operasi standard (SOP) boleh diperketatkan (jika sesi bersemuka dimulakan), kita masih berdepan ancaman varian baharu. Ia agak merisaukan komuniti guru kerana ada dalam kalangan kami dan ahli keluarga yang berisiko," katanya ketika dihubungi Bernama.
Guru Matematik di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru Melaka itu berkata sesi PdPR yang telah dilaksanakan sejak tahun lepas kini telah dapat diperkasa dalam kalangan guru melalui penggunaan pelbagai kaedah agar sesi PdP berlangsung secara lebih efektif.
Katanya, golongan pendidik juga telah diberi pelbagai taklimat, input serta tunjuk ajar tentang pelaksanaan PdPR yang berkesan.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.
Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Zulkifli Muhammad di Slim River, Perak, Noraini Osman berkata pengumuman KPM yang menyambung sesi persekolahan secara PdPR sehingga 31 Ogos itu pastinya demi keselamatan pelajar ekoran situasi kes COVID-19 di Malaysia yang masih tinggi.
"Dalam keadaan COVID-19 ketika ini, saya akur pada arahan KPM kerana PdPR adalah untuk memastikan murid-murid selamat dan (pada masa sama) tidak tercicir daripada pembelajaran. Guru-guru mungkin kebanyakan sudah lengkap dua dos suntikan vaksin namun murid-murid masih belum (suntik vaksin). Perkara ini juga dapat mengelakkan daripada kluster pendidikan atau kluster sekolah timbul,” katanya.
Seorang ibu dari Taman Kenanga, Melaka Tengah, Shahidah Abdul Jalil, 34, berkata setelah hampir dua tahun kaedah PdPR dijalankan, terdapat banyak manfaat diperoleh anak-anaknya dan beliau sendiri dapat berperanan memantau sesi PdPR mereka.
“Saya dah mula teliti dan ambil berat tentang hal sekolah anak-anak. Ada ketika sama-sama bantu mereka selesaikan tugasan atau kerja rumah yang diberikan cikgu mereka terutama subjek yang kurang difahami…sama-sama cari penyelesaian, duduk berbincang dan secara tidak langsung dapat meluangkan masa belajar bersama mereka," kata ibu kepada empat anak berusia sembilan hingga 15 tahun itu.
Shahidah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut bersyukur kerana guru sekolah anaknya sentiasa prihatin dengan semua sesi PdPR yang dijalankan mengikut kemampuan pelajar, dan pelajar tidak terlalu dibebankan dengan tugasan di luar kemampuan, khususnya melibatkan peralatan perbelanjaan tertentu.
Seorang pelajar SMK Lahat di Ipoh, Perak, Nurhaziqah Adilah Razmi, 16, berkata beliau kini sudah biasa dengan PdPR walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk subjek yang memerlukan uji kaji dan penggunaan makmal.
“Guru banyak membantu dengan berkongsi video tambahan,” katanya sambil menambah guru juga akan memberikan pelajar permainan dalam talian seperti kuiz agar interaksi dan pembelajaran menjadi lebih menarik.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment