Friday, 9 July 2021

DALAM TALIAN ATAU LUAR TALIAN, GURU TEKAD TERUSKAN PdPR DENGAN KREATIVITI

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Apabila bercakap mengenai Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), umum masih beranggapan ia hanya kaedah pendidikan secara dalam talian semata-mata seperti aplikasi Zoom, Google Meet, Google Classroom atau Skype.

Hakikatnya, PdPR juga boleh dilaksanakan secara manual, seperti pengedaran modul terus kepada murid terutamanya bagi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada peranti dan jaringan.

Seorang guru R. Viloshena, 37, berkata sewaktu awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, sekolahnya pernah menggunakan kaedah PdPR secara modular dengan guru mata pelajaran memberikan modul secara salinan lembut (softcopy) kepada guru kelas.

Guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pulau Carey Timur, Selangor itu berkata guru kelas kemudiannya mengumpul dan menghantar modul tersebut kepada Penolong Kanan Pentadbiran sekolah yang seterusnya akan mencetak dan meletakkan modul di pondok pengawal sekolah untuk diambil oleh ibu bapa murid.

Bagaimanapun, beliau berkata ada segelintir ibu bapa yang tidak mengambil modul tersebut, dan kerana itu, pada tahun ini guru-guru mencuba pendekatan berbeza dengan menyediakan dan menghantar sendiri modul ke rumah murid.

“Selain itu, saya juga ada merakamkan sesi mengajar saya dalam Powerpoint dan kemudian memuat naik ke dalam YouTube dan menghantar pautan tersebut kepada para murid supaya mereka dapat menontonnya pada bila-bila masa.

“Saya juga menggunakan Kahoot!, Quizziz dan liveworksheet.com untuk memberikan latihan interaktif kepada murid. Selain itu, saya ada juga menggunakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek yang memerlukan murid menyiapkan projek dan melaluinya,” katanya kepada Bernama.

Bagi Noor Azlinda Shuhaimi, 37, guru di Sekolah Kebangsaan Rtb Bukit Changgang di Banting, Selangor, beliau telah memulakan video semasa mengajar sejak awal PKP pada Mac tahun lepas memandangkan aplikasi dalam talian seperti Google Meet kurang berkesan berikutan masalah pemilikan peranti dan capaian internet.

Mengambil pendekatan memuat naik video di YouTube, guru Bahasa Inggeris itu merakamkan sendiri video cara penyampaian pengajaran supaya murid dapat merasai pengalaman seperti belajar di dalam bilik darjah bersama guru.

“Saya mulakan dengan tatabahasa asas untuk semua lapisan umur. Selepas itu apabila PKP berterusan, saya cuba buat bahan mengikut silibus buku teks. Semua video semasa mengajar saya muat naik ke rangkaian YouTube, kemudian saya sampaikan tugasan melalui WhatsApps kelas dan murid hantar semula kepada saya secara personal untuk disemak.

“Dengan adanya video semasa mengajar yang saya hasilkan dan muat naik ke YouTube, murid saya boleh mengulang kaji pelajaran pada bila-bila masa dan di mana-mana. Untuk menarik minat, saya pastikan video semasa mengajar dipelbagaikan, dan juga dari segi penyampaian.

“Saya juga ada selitkan kata laluan untuk setiap waktu mengajar di pertengahan dan di akhir video dan dengan cara itu saya boleh mengesan murid yang tidak mengikuti waktu mengajar sampai habis,” katanya yang dikenali sebagai ‘Teacher Linda’ di YouTube.

Beliau berkata penerimaan murid dengan kaedah PdPR sangat menggalakkan apabila murid masih meminta beliau menghasilkan video mengajar sebagai rujukan ketika sekolah dibuka sebelum ini.

Noor Azlinda juga pernah dipanggil menjadi panel di webinar untuk berkongsi cara penghasilan video semasa mengajar oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan pernah terlibat dengan rakaman TV Pendidikan semasa PKP tahun lepas.

“Cadangan saya kepada guru lain, kita kena teruskan meneroka pelbagai cara supaya murid dapat menangkap apa yang ingin kita sampaikan. Untuk buat pembelajaran secara langsung seperti Google Meet boleh, tetapi kena bergantung kepada latar belakang murid kita kerana tidak semua boleh sertai.

“Jadi, guru lebih tahu cara apa yang sesuai untuk murid masing-masing. Bagi saya, apa sahaja medium yang guru ada untuk sampai kepada pelajar, kita perlu gunakan sahaja semua,” katanya.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment