Wednesday, 7 July 2021

SINERGI GURU, PELAJAR DAN IBU BAPA JAYAKAN PdPR

SIBU, 7 Julai (Bernama) -- Sinergi antara guru, pelajar dan ibu bapa menjadi nadi yang dapat menjayakan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagaimana yang dibuktikan oleh dua orang pendidik di sebuah sekolah luar bandar di sini.

Andy Janang, 40, dan Mackie Juing, 51, telah melalui lebih sedekad pengalaman mendidik pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Sibu, namun mereka tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran baharu pelaksanaan PdPR.

Namun mereka tetap komited biarpun dalam keadaan masa yang agak singkat untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran kerana menyedari harapan tinggi yang diletakkan di bahu guru untuk membimbing anak-anak didik sehingga berjaya.

“Memang ada kekangan dan kekurangan yang kami hadapi untuk melaksanakan PdPR ini, tetapi kami mempunyai pendekatan tersendiri untuk memastikan anak didik kami mendapat input dan maklumat yang cukup sebelum menghadapi peperiksaan,” katanya kepada Bernama.

Mengajar subjek Matematik Tambahan di sekolah itu sejak 15 tahun lepas, Andy mengenal pasti pelajar yang menghadapi masalah untuk mendapatkan capaian internet, selain kesulitan kewangan dihadapi ibu bapa di luar bandar yang kurang bermampuan menyediakan telefon pintar untuk anak-anak mereka.

Andy yang berasal dari Kuching telah merangka strategi dengan membawa beberapa orang pelajarnya yang memiliki telefon pintar untuk berinteraksi secara langsung dengannya bagi meneruskan proses pembelajaran dan pengajaran ini.

Pelajar-pelajar ini kemudiannya akan menyebarkan maklumat yang diperoleh menerusi interaksi ini kepada rakan-rakan lain yang tidak mempunyai akses internet.

Selain hubungan rapat dengan para pelajar, beliau mengambil pendekatan berhubung terus dengan ibu bapa bagi memantau prestasi anak-anak didiknya dari semasa ke semasa menerusi komunikasi yang konsisten.

“Pada peringkat awal ini, PdPR (secara dalam talian) mungkin dilihat kurang sesuai untuk diaplikasikan di sekolah luar bandar, namun itu bukan alasan pelajar tidak dapat terus mengikuti pembelajaran sebab banyak alternatif lain boleh digunakan.

“Misalnya penggunaan modul pembelajaran mengikut topik, bila kerja rumah untuk satu-satu topik sudah siap, pelajar boleh hantar ke pondok pengawal keselamatan di sekolah dan diambil oleh guru kemudian hari,” katanya yang turut mengambil inisiatif mengadakan kelas tambahan kepada pelajar-pelajarnya.

Mackie pula mengambil strategi serampang tiga mata yang melibatkan hubungan rapat, menggalak dan mencabar pelajar-pelajarnya bagi membina keyakinan dan meningkatkan persiapan mereka menghadapi peperiksaan.

Guru Kimia di SMK Luar Bandar Sibu sejak 14 tahun lepas itu berkata strategi tersebut mendorong pelajar agar tidak malu atau takut untuk bertanya sesuatu topik yang kurang difahami atau soalan yang tidak dapat dijawab,

“Dengan menyemai semangat mencintai subjek Kimia membolehkan mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan gembira serta menyediakan soalan-soalan yang boleh mencabar kebolehan mereka untuk menjawab,” katanya.

Pendekatan Mackie ini ternyata membawa kesan dan hasilnya, apabila seorang bekas pelajar sekolah itu, Irwin Vincent, 17, yang telah berpindah ke sekolah lain kerana mengikut keluarganya berpindah ke Sibu, masih terus menagih ilmu darinya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebagai seorang guru, saya tidak dapat menolak permintaannya untuk menyertai kelas tambahan yang saya adakan dan saya juga terharu dengan sokongan ibu bapanya yang mahu melihat anak mereka berjaya,” katanya.

Semasa keputusan SPM 2020 diumumkan baru-baru ini, Irwin memperoleh 9A sekali gus muncul antara pelajar cemerlang di Bahagian Sibu.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment