Tuesday 29 September 2020

TUGAS GURU 'JAGA' PELAJAR TAMAT SELEPAS WAKTU SEKOLAH - NUTP

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyelar dakwaan pihak mempersoal keberadaan guru bagi memantau kepatuhan pelajar terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 selepas waktu sekolah.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock menegaskan tugas guru menjaga pelajar tamat apabila semua urusan di sekolah selesai dilaksanakan.

Justeru, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa yang sepatutnya membawa anak-anak mereka pulang dan bukan melepaskan tanggungjawab itu kepada guru semata-mata.

“Urusan antara guru dan pelajar hanya bermula di pintu pagar utama dan berakhir di tempat yang sama mengikut waktu yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini

Semalam, tular keratan sebuah akhbar tempatan mengenai pendapat seorang pembaca yang mempersoalkan keberadaan guru untuk mengawal dan memantau kepatuhan SOP pelajar selepas waktu persekolahan.

Harry berkata adalah tidak adil untuk menghukum golongan pendidik atas perkara yang di luar bidang tugas mereka.

Jelasnya, dalam keadaan negara yang dilanda wabak COVID-19, tugas guru semakin mencabar kerana bukan sahaja melakukan tugasan hakiki malah kini ditambah dengan tugas berkaitan pematuhan SOP pandemik COVID-19.

“Awal pagi, guru sudah tunggu depan pagar untuk rekod suhu pelajar, selain itu semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) rancak berjalan pula guru juga terpaksa menyelesaikan beberapa perkara penting seperti kes ponteng dan disiplin pelajar,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday 22 September 2020

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KOMITED SEDIA KEMUDAHAN KONDUSIF UNTUK SEKOLAH DI SABAH

KOTA KINABALU, 22 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan amat komited untuk memberi kemudahan pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada para pelajar dan warga sekolah di Sabah.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata pihaknya sentiasa bekerja keras merangka dan menyusun perancangan yang terbaik untuk pendidikan anak-anak di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara paling utama ialah rancangan itu perlu dilaksana dengan pantas dan lancar.

"Oleh sebab itu, adalah amat penting kerajaan negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan.

"Guru-guru perlu membantu kementerian memastikan supaya perancangan untuk anak-anak di Sabah dapat dilaksanakan dengan cepat dan baik," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandaraya di sini hari ini.

Radzi berkata kewujudan hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan akan memberi impak yang baik kepada masa depan anak-anak di Sabah.

Beliau juga berkata terdapat sejumlah 41,271 guru di Sabah dan daripada jumlah itu, seramai 34,724 berdaftar sebagai pemilih yang layak mengundi.

Sebanyak 689 sekolah digunakan sebagai pusat mengundi di seluruh Sabah dan seramai 7,684 guru terlibat dalam pengurusan Pilihan Raya Negeri Sabah.

Sementara itu, dalam kenyataan yang diedarkan selepas sidang media, Kementerian Pendidikan memaklumkan setakat ini, terdapat sejumlah 466 sekolah di Sabah yang mempunyai bangunan daif berskala impak enam dan tujuh iaitu tidak selamat diduduki.

Bagi tahun ini, kementerian telah memberi peruntukan bagi menaik taraf sejumlah 65 sekolah daif dan daripada jumlah itu, tender untuk 25 sekolah telah diiklankan manakala tender untuk 40 lagi akan dikeluarkan secara berperingkat.

BERNAMA ONLINE

LIHAT SEMULA ISU PENGISIAN DESKRIPSI TUGAS GURU - NUTP

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia  (NUTP) meminta Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin melihat semula isu pengisian Deskripsi Tugas dalam  kalangan guru-guru agar tidak membebankan mereka, yang sepatutnya bertugas mendidik anak bangsa.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya menerima aduan daripada ahli-ahli NUTP yang mana guru tidak hanya terbeban dengan kerja-kerja tidak relevan yang masih belum selesai sepenuhnya, malah ditambah dengan isu pengisian Deskripsi Tugas.

“Pihak NUTP berpendapat kerja-kerja pengisian seperti ini adalah terbeban dan tidak relevan kerana tujuan dan matlamat pengisian adalah tidak jelas.

Ia seumpama sekadar melengkapkan dokumen dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) atau hanya untuk kegunaan perkhidmatan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, antara masalah yang dihadapi para guru adalah tempoh mengisi Deskripsi Tugas yang terhad dan terlalu terperinci, selain guru perlu mengisi sembilan bahagian bagi setiap gred, masalah teknikal iaitu butiran yang diisi dan disimpan hilang apabila dibuka semula, serta kerja pengisian terganggu kerana sistem tergendala.

Katanya guru juga perlu mengisi gred-gred hakiki semasa sehingga Deskripsi Tugas gred tertinggi (DG54), contohnya, guru gred DG29 perlu mengisi Deskripsi Tugas gred DG29 sehingga DG54.

Selain itu, NUTP menerima aduan guru terpaksa mengisi Deskripsi Tugas di bahagian ‘Akauntabiliti-bahagian tugas utama’ sebanyak 11 kali kerana data yang diisi sebelum ini telah hilang.

BERNAMA ONLINE 

Monday 14 September 2020

COVID-19: RADZI INGATKAN GURU, PENTADBIR SEKOLAH LEBIH BERHATI-HATI, LAKSANA SOP

KUDAT, 14 Sept (Bernama) -- Guru, pengetua dan pentadbir sekolah di Sabah diingatkan supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan penularan virus COVID-19 di sekolah susulan peningkatan jumlah kes baharu di beberapa kawasan di negeri itu.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata ini termasuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan baik.

“Kita kena pastikan SOP sentiasa digunakan dengan baik kerana (sekiranya) kalau sekolah ditutup semula maka proses nak buka kembali sekolah itu agak rumit.

“Jika berlaku sebarang kes (positif) kita perlu berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan untuk melihat sama ada sekolah tersebut perlu ditutup atau tidak,” katanya berucap pada majlis ramah mesra di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kudat II di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keperluan penutupan sekolah akibat penularan COVID-19, Radzi berkata pihaknya pernah mengambil langkah itu di Kuching, Sarawak apabila lebih 200 sekolah ditutup.

“Kami pernah lakukan di Kuching, Sarawak apabila berlaku wave (gelombang), kami tutup 200 sekolah. Ini kaedah yang kami ambil, namun kita kena pertahankan sekolah yang dibuka supaya ia kekal dalam keadaan selamat,” katanya.

Sehingga semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 4,666 orang telah disaring dalam Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah dan jumlah keseluruhan kes positif bagi kluster itu ialah 403 kes.

BERNAMA ONLINE 

Wednesday 9 September 2020

BICARA BUKU : PRASEJARAH DAN PROTOSEJARAH TANAH MELAYU

Klik imej untuk paparan sebenar

Program Bicara Buku akan berlangsung pada 15 September 2020 (8.15 hingga 11.45pagi) bertempat di tingkat bawah Perpustakaan Za'ba. Program ini merupakan usahasama sinergi antara Perpustakaan Za'ba , IPG Kampus Tuanku Bainun dan  Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara.

Judul buku yang akan dikupas dan dikongsi pada kali ini ialah buku Prasejarah dan Protosejarah Tanah Melayu.

Buku ini akan diulas oleh panel berpengalaman dalam bidang sejarah iaitu Prof. Madya Dr. Nazarudin bin Zainun (USM), Dr. Hashima binti Sulaiman (IPGKTB). Manakala Dr. Sivarajan A/L Ponniah (IPGKTB) pula akan bertindak sebagai moderator bagi program ini.

Program ini akan bersiaran secara langsung dari fb rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan fb rasmi IPG Kampus Tuanku Bainun.

Jom sama-sama kita menonton untuk mengetahui tentang sejarah Tanah Melayu sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Sunday 6 September 2020

KPM CARI PENDEKATAN TERBAIK PEMBELAJARAN DALAM TALIAN

Radzi ketika melawat SMK Nambayan di Tambunan.

TAMBUNAN: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti pendekatan lebih holistik dan komprehensif bagi mengatasi kekangan pemilikan peranti elektronik dalam kalangan pelajar untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian di rumah berjalan lancar pada masa akan datang.

Menterinya, Dr Radzi Jidin berkata kaji selidik KPM berhubung pembelajaran dalam talian membabitkan 900,000 pelajar di seluruh negara mendapati sebanyak 36 peratus daripadanya tidak mempunyai sebarang peranti elektronik.

"Masih terlalu ramai pelajar yang tidak mempunyai sebarang peranti elektronik untuk digunakan dalam konteks pembelajaran di rumah termasuk pembelajaran secara dalam talian.

"Atas sebab itu, kami di KPM sedang melihat secara holistik pendekatan terbaik bagi membolehkan para pelajar mendapat akses sewajarnya sekali gus melaksanakan satu sistem menyeluruh yang dapat memberi manfaat optimum kepada golongan terbabit," katanya.

Radzi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kupi-Kupi bersama warga pendidik, ibu bapa dan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nambayan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin dan Pengetua SMK Nambayan Soffrie Aniar Abdullah

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Radzi berkata KPM juga komited untuk memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur pendidikan di Sabah termasuk menaik taraf bangunan sekolah memandangkan masih banyak sekolah daif di negeri ini.

Justeru, KPM akan menyusun senarai bangunan sekolah daif terbabit bagi melihat keutamaan untuk menyegerakan kerja-kerja naik taraf berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya, katanya.

Beliau juga mahu Jabatan Pendidikan Sabah, guru-guru dan ibu bapa menyokong setiap usaha dilaksanakan kementerian, kerana menurutnya, kerjasama erat antara semua entiti akan mampu membentuk ekosistem pendidikan yang lebih baik.

Pada majlis itu, Radzi turut menyampaikan replika cek bernilai RM91,800 untuk tujuan elaun murid berkeperluan khas 2020 Fasa Dua (Julai - Disember 2020) kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan.

Beliau turut menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Tambunan di SMK Tambunan.

BERITA HARIAN ONLINE

Friday 4 September 2020

SISTEM PENDIDIKAN GAGAL TERAPKAN MAKNA RUKUN NEGARA

DR Teo Kok Seong dalam Program Bicara Kenegaraan Siri 1 sempena Hari Kebangsaan 2020 bagi mengupas topik "Intelektualisme dan Pembangunan Negara Bangsa : Di mana dan Ke Mana Kita" yang berlangsung di Dewan Zaaba Kementerian Pengajian Tinggi

PUTRAJAYA: Sistem pendidikan di negara ini dilihat gagal membekalkan pendidikan Rukun Negara kepada rakyat sehingga ada antara anggota masyarakat hanya menghafal tanpa mengetahui maksud sebenar yang terkandung dalamnya

Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata jika di Indonesia Rukun Negara dikenali sebagai Pancasila dihayati dan dijiwai rakyatnya.

"Kita tidak menolak negara ini meniru rukun negara Indonesia iaitu Pancasila. Selepas 50 tahun Rukun Negara diperkenalkan ia masih tidak memberi kesan kepada rakyat di negara ini kerana tidak pernah ada dalam kurikulum di sekolah atau sistem pendidikan.

"Jika di Malaysia, bila tanya mengenai Rukun Negara semua boleh laungkan satu-persatu kerana rakyat di negara ini memang sudah ditanamkan di dalam diri untuk menghafal rukun berkenaan.

"Sepatutnya, selepas ingat kita perlu faham, kemudian diikuti amal, analisis, nilai dan cinta. Namun, rakyat di negara ini berhenti ke tahap ingat sahaja dan tidak faham apa yang mereka laungkan itu," katanya.

Beliau berkata demkian ketika program Bicara Kenegaraan Siri 1, anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Turut menjadi ahli panel pada program berkenaan ialah Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz dan Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian manakala pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain sebagai moderator.

Dr Teo berkata, sepatutnya sistem pendidikan di negara ini menggunakan kurikulum di sekolah untuk menyebarkan prinsip Rukun Negara dan kefahamannya untuk dihayati oleh kanak-kanak sejak di Tadika.

"Patutnya gunakan Akademi Kenegaraan yang terletak di Bukit Petaling itu sebagai tempat untuk bekalkan pendidikan Rukun Negara. Pada pandangan saya itulah akademi yang berpotensi menyebarkan prinsip berkenaan.

"Di situlah kita boleh terapkan analisis dan cintakan negara menggunakan konsep mudah difahami oleh kanak-kanak tanpa perlu merumitkan pembelajaran berkenaan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday 1 September 2020

TABUNG COVID-19


SUMBER : MENTERI KANAN (KLUSTER KESELAMATAN)
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB