KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia
(NUTP) meminta Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin melihat semula
isu pengisian Deskripsi Tugas dalam
kalangan guru-guru agar tidak membebankan mereka, yang sepatutnya
bertugas mendidik anak bangsa.
Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock
berkata pihaknya menerima aduan daripada ahli-ahli NUTP yang mana guru tidak
hanya terbeban dengan kerja-kerja tidak relevan yang masih belum selesai
sepenuhnya, malah ditambah dengan isu pengisian Deskripsi Tugas.
“Pihak NUTP berpendapat kerja-kerja
pengisian seperti ini adalah terbeban dan tidak relevan kerana tujuan dan
matlamat pengisian adalah tidak jelas.
Ia seumpama sekadar melengkapkan dokumen
dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) atau hanya untuk
kegunaan perkhidmatan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, antara masalah yang
dihadapi para guru adalah tempoh mengisi Deskripsi Tugas yang terhad dan
terlalu terperinci, selain guru perlu mengisi sembilan bahagian bagi setiap
gred, masalah teknikal iaitu butiran yang diisi dan disimpan hilang apabila
dibuka semula, serta kerja pengisian terganggu kerana sistem tergendala.
Katanya guru juga perlu mengisi gred-gred
hakiki semasa sehingga Deskripsi Tugas gred tertinggi (DG54), contohnya, guru
gred DG29 perlu mengisi Deskripsi Tugas gred DG29 sehingga DG54.
Selain itu, NUTP menerima aduan guru terpaksa mengisi Deskripsi Tugas di bahagian ‘Akauntabiliti-bahagian tugas utama’ sebanyak 11 kali kerana data yang diisi sebelum ini telah hilang.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment