Friday 4 September 2020

SISTEM PENDIDIKAN GAGAL TERAPKAN MAKNA RUKUN NEGARA

DR Teo Kok Seong dalam Program Bicara Kenegaraan Siri 1 sempena Hari Kebangsaan 2020 bagi mengupas topik "Intelektualisme dan Pembangunan Negara Bangsa : Di mana dan Ke Mana Kita" yang berlangsung di Dewan Zaaba Kementerian Pengajian Tinggi

PUTRAJAYA: Sistem pendidikan di negara ini dilihat gagal membekalkan pendidikan Rukun Negara kepada rakyat sehingga ada antara anggota masyarakat hanya menghafal tanpa mengetahui maksud sebenar yang terkandung dalamnya

Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata jika di Indonesia Rukun Negara dikenali sebagai Pancasila dihayati dan dijiwai rakyatnya.

"Kita tidak menolak negara ini meniru rukun negara Indonesia iaitu Pancasila. Selepas 50 tahun Rukun Negara diperkenalkan ia masih tidak memberi kesan kepada rakyat di negara ini kerana tidak pernah ada dalam kurikulum di sekolah atau sistem pendidikan.

"Jika di Malaysia, bila tanya mengenai Rukun Negara semua boleh laungkan satu-persatu kerana rakyat di negara ini memang sudah ditanamkan di dalam diri untuk menghafal rukun berkenaan.

"Sepatutnya, selepas ingat kita perlu faham, kemudian diikuti amal, analisis, nilai dan cinta. Namun, rakyat di negara ini berhenti ke tahap ingat sahaja dan tidak faham apa yang mereka laungkan itu," katanya.

Beliau berkata demkian ketika program Bicara Kenegaraan Siri 1, anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Turut menjadi ahli panel pada program berkenaan ialah Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz dan Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian manakala pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain sebagai moderator.

Dr Teo berkata, sepatutnya sistem pendidikan di negara ini menggunakan kurikulum di sekolah untuk menyebarkan prinsip Rukun Negara dan kefahamannya untuk dihayati oleh kanak-kanak sejak di Tadika.

"Patutnya gunakan Akademi Kenegaraan yang terletak di Bukit Petaling itu sebagai tempat untuk bekalkan pendidikan Rukun Negara. Pada pandangan saya itulah akademi yang berpotensi menyebarkan prinsip berkenaan.

"Di situlah kita boleh terapkan analisis dan cintakan negara menggunakan konsep mudah difahami oleh kanak-kanak tanpa perlu merumitkan pembelajaran berkenaan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment