Tuesday 22 September 2020

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KOMITED SEDIA KEMUDAHAN KONDUSIF UNTUK SEKOLAH DI SABAH

KOTA KINABALU, 22 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan amat komited untuk memberi kemudahan pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada para pelajar dan warga sekolah di Sabah.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata pihaknya sentiasa bekerja keras merangka dan menyusun perancangan yang terbaik untuk pendidikan anak-anak di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara paling utama ialah rancangan itu perlu dilaksana dengan pantas dan lancar.

"Oleh sebab itu, adalah amat penting kerajaan negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan.

"Guru-guru perlu membantu kementerian memastikan supaya perancangan untuk anak-anak di Sabah dapat dilaksanakan dengan cepat dan baik," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandaraya di sini hari ini.

Radzi berkata kewujudan hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan akan memberi impak yang baik kepada masa depan anak-anak di Sabah.

Beliau juga berkata terdapat sejumlah 41,271 guru di Sabah dan daripada jumlah itu, seramai 34,724 berdaftar sebagai pemilih yang layak mengundi.

Sebanyak 689 sekolah digunakan sebagai pusat mengundi di seluruh Sabah dan seramai 7,684 guru terlibat dalam pengurusan Pilihan Raya Negeri Sabah.

Sementara itu, dalam kenyataan yang diedarkan selepas sidang media, Kementerian Pendidikan memaklumkan setakat ini, terdapat sejumlah 466 sekolah di Sabah yang mempunyai bangunan daif berskala impak enam dan tujuh iaitu tidak selamat diduduki.

Bagi tahun ini, kementerian telah memberi peruntukan bagi menaik taraf sejumlah 65 sekolah daif dan daripada jumlah itu, tender untuk 25 sekolah telah diiklankan manakala tender untuk 40 lagi akan dikeluarkan secara berperingkat.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment