Wednesday, 28 July 2021

PERAK SEDIA STUDIO PdPR, BANTU GURU SIAPKAN BAHAN PENGAJARAN

IPOH, 28 Julai (Bernama) -- Lebih 20 unit studio akan disediakan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Perak bagi memberi kemudahan kepada para guru melakukan persiapan bahan-bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata inisiatif sebanyak RM125,000 daripada kerajaan negeri itu telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi tujuan penyediaan dua studio PdPR berkenaan di setiap 11 PPD.

“Inisiatif di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani ini bertujuan membantu warga pendidik menyediakan kelengkapan bagi PdPR yang kini menjadi amalan norma baharu ekoran pandemik COVID-19 selain boleh dimanfaatkan bagi sesi taklimat serta aktiviti sukan dalam talian atau E-sukan,” katanya pada sidang media secara maya melalui aplikasi Zoom Meeting di pejabatnya hari ini.

Turut berlangsung, majlis penyerahan cek kepada Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali oleh Saarani yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dilapor baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Selain itu, Saarani berkata JPN Perak turut menerima cek bernilai RM15,000 bagi melaksanakan Majlis Sukan Sekolah Perak eChallenge 2021 iaitu pertandingan yang melibatkan 24 jenis permainan sukan dalam talian.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri akan melaksanakan Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) untuk membantu golongan rentan yang terkesan oleh pandemik COVID-19 bermula 1 Ogos ini melibatkan 5,097 penerima wanita termasuk 1,104 daripada komuniti Orang Asli serta 20,000 tanggungan dalam kalangan golongan miskin dan miskin tegar.

Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John yang turut menyertai majlis menerusi aplikasi Zoom Meeting itu berkata bantuan Program KIDR diberi melalui kad tanpa tunai yang disediakan oleh Kiplepay Sdn Bhd boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas dan rawatan kesihatan di klinik swasta.

“Penerima bakal mendapat kad tanpa tunai bernilai RM250 sebulan untuk membeli barangan keperluan harian di kedai runcit yang disenaraikan berdekatan kediaman mereka,” katanya dan menambah bagi bantuan rawatan kesihatan pula, penerima akan menerima nilai RM250 untuk kegunaan seluruh ahli keluarga untuk tahun ini.

Para peserta Program KIDR telah dipilih dan disaring daripada sistem eKasih yang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan sistem iDamak milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), dengan mereka berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019.

NCIA memperuntukkan sebanyak RM7.4 juta bagi Fasa 1 program ini sebagai manfaat penerima Program KIDR dan penyerahan Kad KIDR kepada penerima telah bermula sejak 19 Julai lepas di seluruh 12 daerah di negeri Perak, dengan kerjasama semua Pejabat Daerah dan Tanah melalui penghulu-penghulu mukim manakala bagi penerima Orang Asli akan dilaksanakan oleh pihak Jakoa.

BERNAMA ONLINE

Monday, 26 July 2021

PdPR PERLU DITERUSKAN SEHINGGA SITUASI COVID-19 SELAMAT UNTUK PDP BERSEMUKA

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi pelajar sekolah wajar diteruskan sehingga situasi semasa jangkitan COVID-19 di negara ini berada dalam keadaan selamat, sebelum sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka dapat dilaksanakan.

Walaupun sesi bersemuka masih diakui sebagai kaedah pendidikan terbaik, namun PdPR yang boleh ditingkatkan lagi pelaksanaannya sama ada secara dalam talian atau luar talian, diakui sebagai kaedah paling sesuai bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan, tatkala COVID-19 masih menjadi ancaman besar negara.

Seorang guru yang ingin dikenali sebagai Din berkata melihat kepada kes positif harian yang masih mencecah lima angka ketika ini, sesi PdPR yang sudah masuk tahun kedua pelaksanaannya adalah inisiatif terbaik dan selamat bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.

"Eloklah sesi PdPR diteruskan sehingga keadaan betul-betul selamat. Walaupun amalan prosedur operasi standard (SOP) boleh diperketatkan (jika sesi bersemuka dimulakan), kita masih berdepan ancaman varian baharu. Ia agak merisaukan komuniti guru kerana ada dalam kalangan kami dan ahli keluarga yang berisiko," katanya ketika dihubungi Bernama.

Guru Matematik di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru Melaka itu berkata sesi PdPR yang telah dilaksanakan sejak tahun lepas kini telah dapat diperkasa dalam kalangan guru melalui penggunaan pelbagai kaedah agar sesi PdP berlangsung secara lebih efektif.

Katanya, golongan pendidik juga telah diberi pelbagai taklimat, input serta tunjuk ajar tentang pelaksanaan PdPR yang berkesan.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Zulkifli Muhammad di Slim River, Perak, Noraini Osman berkata pengumuman KPM yang menyambung sesi persekolahan secara PdPR sehingga 31 Ogos itu pastinya demi keselamatan pelajar ekoran situasi kes COVID-19 di Malaysia yang masih tinggi.

"Dalam keadaan COVID-19 ketika ini, saya akur pada arahan KPM kerana PdPR adalah untuk memastikan murid-murid selamat dan (pada masa sama) tidak tercicir daripada pembelajaran. Guru-guru mungkin kebanyakan sudah lengkap dua dos suntikan vaksin namun murid-murid masih belum (suntik vaksin). Perkara ini juga dapat mengelakkan daripada kluster pendidikan atau kluster sekolah timbul,” katanya.

Seorang ibu dari Taman Kenanga, Melaka Tengah, Shahidah Abdul Jalil, 34, berkata setelah hampir dua tahun kaedah PdPR dijalankan, terdapat banyak manfaat diperoleh anak-anaknya dan beliau sendiri dapat berperanan memantau sesi PdPR mereka.

“Saya dah mula teliti dan ambil berat tentang hal sekolah anak-anak. Ada ketika sama-sama bantu mereka selesaikan tugasan atau kerja rumah yang diberikan cikgu mereka terutama subjek yang kurang difahami…sama-sama cari penyelesaian, duduk berbincang dan secara tidak langsung dapat meluangkan masa belajar bersama mereka," kata ibu kepada empat anak berusia sembilan hingga 15 tahun itu.

Shahidah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut bersyukur kerana guru sekolah anaknya sentiasa prihatin dengan semua sesi PdPR yang dijalankan mengikut kemampuan pelajar, dan pelajar tidak terlalu dibebankan dengan tugasan di luar kemampuan, khususnya melibatkan peralatan perbelanjaan tertentu.

Seorang pelajar SMK Lahat di Ipoh, Perak, Nurhaziqah Adilah Razmi, 16, berkata beliau kini sudah biasa dengan PdPR walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk subjek yang memerlukan uji kaji dan penggunaan makmal.

“Guru banyak membantu dengan berkongsi video tambahan,” katanya sambil menambah guru juga akan memberikan pelajar permainan dalam talian seperti kuiz agar interaksi dan pembelajaran menjadi lebih menarik.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 24 July 2021

PdPR: PENAMBAHBAIKAN, STRATEGI BERKESAN UNTUK KURANGKAN TEKANAN

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) digesa melakukan beberapa penambahbaikan atau menggunakan strategi lebih berkesan, bagi mengurangkan tekanan dihadapi pelajar, guru dan ibu bapa ekoran pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Dr Hazli Zakaria berkata, walaupun sudah ada yang mula selesa dengan PdPR, perhatian tetap perlu diberikan kepada mereka yang masih berusaha menyesuaikan diri dengan kaedah itu.

Pakar Psikiatri Klinik Pakar Alaminda itu memberitahu Bernama, pihak yang bermasalah perlu dibantu dengan cara yang sesuai dan antara tindakan yang boleh diambil adalah dengan mendapatkan maklumat tepat, berhubung pengalaman mereka yang melalui PdPR.

“Kita kena ambil tahu daripada akar umbi yang merangkumi pelajar, ibu bapa, guru dan pentadbir. Kesemuanya kena beri maklumat, kerana inilah data yang amat berguna dan kaya dari segi potensi untuk diguna pakai, bagi penambahbaikan kualiti pembelajaran di negara kita,” katanya sambil menekankan pemberi maklumat mestilah dipastikan tidak terjejas.

Selain itu beliau berkata, KPM juga harus mengambil kira perbezaan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar, kerana setiap sekolah mempunyai situasi yang unik dan dengan hanya maklumat yang tepat, akan dapat melancarkan pelaksanaan PdPR.

Mengakui polisi digariskan KPM sudah cukup baik, namun pada pendapat beliau, pelaksanaan polisi itu haruslah lebih spesifik dan tepat kepada sasaran bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

“Saya pasti mereka (kerajaan) sedaya upaya memberikan perubahan yang terbaik untuk semua yang terlibat, tetapi saya rasa ia (bagi mencapai objektif) memerlukan platform yang lebih telus agar semua pihak boleh berkongsi.

“Kita melihat ini sebagai satu cara untuk kita bermuafakat daripada kita mencari kesalahan, dan menyebabkan tidak berlaku proses perubahan yang kita harapkan,” katanya.

Dr Hazli turut menasihati pihak yang terlibat dengan pelaksanaan PdPR, supaya tidak mengharapkan kerajaan sahaja untuk menyelesaikan masalah mereka, kerana usaha menambah baik pengajaran dan pembelajaran memerlukan kerjasama semua pihak.

Beliau berharap KPM tidak sensitif atau mudah terasa dengan keluhan pihak yang kurang senang dengan pelaksanaan PdPR, sebaliknya menerima kenyataan bahawa negara berada dalam keadaan yang belum pernah dialami sebelum ini, justeru sesuatu sistem baharu memerlukan banyak kaedah, bantuan serta sokongan.

Menurutnya, semua pihak termasuk KPM, perlu menggunakan peluang menerusi pelaksanaan PdPR untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi, bagi menghasilkan pelajar bermutu tinggi, tahu menggunakan ilmu dan bukan sekadar mendapat keputusan baik dalam peperiksaan.

“Sayangnya, walaupun dalam keadaan begini (pandemik COVID-19), kita masih taasub dengan keputusan berapa A yang perlu dihadiahkan kepada sekolah, guru dan ibu bapa. Kita kena lihat keadaan ini dan ambil kesempatan, cuba ubah tentang apa yang kita cuba capai pada masa ini,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept berdasarkan kadar vaksinasi guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Sehingga 16 Julai, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus), telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

BERNAMA ONLINE

Friday, 23 July 2021

GURU, PELAJAR DAN IBU BAPA SEMAKIN SESUAIKAN DIRI DENGAN PdPR

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Setelah lebih setahun negara dilanda pandemik COVID-19 yang turut menyebabkan perubahan drastik terhadap kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dari bersemuka kepada PdP di Rumah (PdPR), para guru dan pelajar serta ibu bapa kini dilihat semakin dapat menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Meskipun pada awalnya pelbagai halangan dan kesukaran dilaporkan untuk melaksanakan dan mengikuti PdPR ini, namun seiring waktu berlalu halangan itu dapat diatasi kini dengan inisiatif mewujudkan pelbagai kaedah PdP dan bukan lagi bergantung sepenuhnya terhadap PdPR secara dalam talian.

Perkara ini diakui Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sega, Rantau, Negeri Sembilan Intan Mardiana Roslan, 39, yang berasa lebih selesa untuk melaksanakan PdPR ketika ini berbanding ketika mula dilaksanakan secara mengejut sebelum ini.

“Kalau PdPR 1.0 (kali pertama) yang dilaksanakan pada Mac 2020, semua dilakukan secara dalam talian, ia bukan sahaja menyukarkan murid dan ibu bapa untuk mengikutinya malah turut memberi tekanan kepada guru untuk melaksanakan tugasan ditambah lagi dengan masalah ketiadaan gajet dan capaian internet.

“Namun atas pengalaman yang telah dilalui pada PdPR kali pertama, kita ambil inisiatif untuk tambah baik kaedah PdPR kali kedua bermula pada November 2020 dengan pelbagaikan kaedah pembelajaran dan tidak lagi bergantung sepenuhnya secara dalam talian dan hasilnya dapat dilihat dalam PdPR terbaru dilaksanakan sejak Mei 2021 berlangsung secara lebih tenang dan teratur,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Katanya, antara kaedah PdPR secara bukan dalam talian adalah penggunaan modul yang mengandungi beberapa subjek diambil sendiri oleh ibu bapa di sekolah untuk disiapkan dalam tempoh tertentu.

“Penggunaan modul ini kita beri sekali dalam seminggu tetapi tugasannya adalah untuk tempoh tiga minggu, selepas itu biasanya ibu bapa akan datang semula ke sekolah untuk menghantar tugasan anak-anak mereka dan begitulah seterusnya.

“PdPR kali ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar kerana kita sudah selaraskan ikut keperluan dan keselesaan ibu bapa, penjaga serta murid dan pihak sekolah yang mana untuk tugasan PdPR kali ni kita bagi mengikut keselesaan antara tiga pihak ini dengan pelbagaikan kaedah penyampaian termasuk menggunakan buku teks, latihan, Google Meet, YouTube, panggilan video, Telegram dan WhatsApp selain penggunaan modul,” katanya.

Turut menyatakan pendapat sama, penjawat awam Suzana Ismail, 40, yang kini lebih yakin untuk membantu ketiga-tiga anaknya berusia enam hingga 12 tahun mengikuti PdPR meskipun pada awalnya ia tidak teratur dan agak kelam-kabut.

“Selepas lebih setahun PdPR dilaksanakan, saya rasa ia sudah boleh disesuaikan dengan sistem pembelajaran anak-anak, mulanya memang agak kelam kabut tetapi kini pada saya ia lebih mudah dan teratur. Guru kelas akan memberi jadual kelas untuk seminggu dan ini membolehkan ibu bapa memantau dan memastikan anak-anak dapat ikuti setiap kelas.

“Biasanya video rakaman kelas dan kerja sekolah juga diberikan selepas tamat sesi PdPR yang akan dimasukkan dalam Google Classrom, ini membolehkan ibu bapa memantau tugasan atau kerja sekolah anak-anak yang diberikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneruskan PdPR hingga 31 Ogos depan berikutan kes COVID-19 masih menjadi ancaman di negara ini, adalah langkah tepat bagi mengelakkan wujudnya kluster berkaitan pendidikan.

Sementara itu, seorang guru di SK Kimanis, Papar, Sabah, Azizah Hasan, 40, berkata meskipun pada awal pelaksanaan sesi PdPR keadaan agak kelam kabut, dan dalam masa sama perlu membantu PdPR dua anaknya, semuanya kini semakin lancar selepas beliau dan anaknya sudah mula memahami pembelajaran dengan kaedah itu.

“Sebagai seorang ibu dan guru, mahu atau tidak perlulah menyesuaikan diri dengan PdPR walaupun pada awalnya agak terkejar-kejar, bayangkanlah pada waktu kita laksanakan PdPR dengan murid-murid, saya juga perlu bantu PdPR dua orang anak saya yang berusia lapan dan tujuh tahun.

“Situasi ini memang mencabar tetapi kita kena rasional kerana ia bukan pilihan yang boleh kita pilih mahu atau tidak...ia tetap perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam memastikan anak-anak murid dan anak saya sendiri tidak tercicir dari pelajaran,” katanya.

Meskipun sudah mula serasi dengan PdPR ini, Azizah berkata beliau amat mengharapkan sesi persekolahan dapat dijalankan seperti biasa dengan kehadiran fizikal sekiranya situasi semasa COVID-19 sudah mula reda.

“Saya pasti apa dilakukan KPM ini adalah yang terbaik demi menjaga kesihatan anak-anak murid dan para guru daripada dijangkiti. Saya sangat berharap sekiranya sesi persekolahan dapat dijalankan pada September nanti, kesemua kakitangan termasuk para guru sudah menerima dua dos vaksin sebagai langkah mengurangkan jangkitan terhadap anak-anak murid yang tidak mendapat vaksin,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

BERNAMA ONLINE

 

Tuesday, 20 July 2021

PDPR SEMAKIN TERATUR, PELBAGAI KAEDAH PELAKSANAAN IMBANGI KEPERLUAN PELAJAR

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Selepas lebih setahun pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kini ia semakin difahami pihak-pihak terlibat dengan penambahbaikan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, bagi memastikan keberkesanannya.

Memasuki tahun kedua pelaksanaannya yang terpaksa dilakukan berikutan ancaman pandemik COVID-19, semakin ramai juga yang menyedari bahawa PdPR bukan lagi hanya dilakukan secara dalam talian, sebaliknya turut dilaksanakan secara luar talian, seperti dengan kaedah menyediakan modul mengikut keperluan dan kemampuan pelajar.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, penambahbaikan sentiasa dilakukan oleh pihak guru, hasil daripada pengalaman pelaksanaan PdPR sejak tahun lepas.

“Pelaksanaan PdPR 1.0 (kali pertama) dahulu semua orang ‘zero’. Cikgu pun masa nak mula memang tidak ada pengalaman, semua orang masa itu tidak biasa kerana mereka (guru) dilatih mengajar dalam suasana normal, iaitu suasana mengajar di sekolah bukan untuk PdPR.

“Jadi inisiatif sendirilah yang mana mereka bina dan teroka ilmu, maklumat sendiri. Sekarang bila sudah masuk tahun kedua, saya rasa pengalaman hendak mengurus itu sudah ada, apatah lagi PdPR kini juga dilaksanakan (dengan kaedah seperti) menggunakan modul pembelajaran yang diedarkan kepada pelajar, sebelum menyerahkan hasil tugasan mengikut tempoh yang diberikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun Aminuddin berkata, masih terdapat kekangan dalam pelaksanaan PdPR menggunakan modul ini, apabila terdapat segelintir ibu bapa yang tidak datang ke sekolah untuk mengambil tugasan anak-anak mereka.

“Ada ibu bapa yang bagi kerjasama baik, tetapi ada juga ibu bapa yang sukar untuk berbuat demikian, mungkin kerana mereka terpaksa bergerak dalam keadaan COVID-19 yang membimbangkan lagi, jadi mereka abaikan sahaja modul yang telah guru-guru letakkan di pondok pengawal sekolah. Itulah antara halangannya,” katanya.

Aminuddin mengakui, impak PdPR mungkin tidak sebaik proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara bersemuka, namun sekiranya isu PdPR secara dalam talian dan ‘real time’ dapat ditangani sepenuhnya, kesannya akan lebih positif.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan khas dalam belanjawan akan datang, bagi menyediakan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan capaian internet yang baik.

“Penguasaan dan keupayaan melaksanakan dan mengikuti PdPR secara dalam talian sepenuhnya, akan lebih baik dengan syarat kena ada peranti dan capaian internet untuk sesuatu proses PdPR itu lengkap.

“Kita tidak tahu, mungkin pendidikan digital akan berterusan tahun hadapan, jadi kita harap ada peruntukan khas daripada kerajaan, untuk beri bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan memiliki sekurang-kurangnya telefon pintar, bagi memastikan tidak ada pelajar yang tercicir daripada PdPR secara dalam talian,” katanya.

Katanya di samping itu, NUTP juga berharap agar ada inisiatif kepada guru-guru mungkin dalam bentuk rebat, untuk membolehkan mereka membeli komputer riba sebagai motivasi mereka meneruskan PdPR mengikut normal baharu, memandangkan selama ini mereka hanya menggunakan kemudahan sendiri.

Pada 17 Julai lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi yang melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Sehingga 16 Julai, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus), telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 17 July 2021

PdPR DITERUSKAN SEHINGGA 31 OGOS - KPM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut KPM ketetapan berkenaan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Menurut kenyataan itu, KPM juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.

Kenyataan itu menyebut bahawa sehingga 16 Julai, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Mengambil kira kadar vaksinasi ini, KPM telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 Sept.

“KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM pihaknya akan mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN sekiranya terdapat keperluan perubahan terhadap tarikh itu dan sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal.

BERNAMA ONLINE

Friday, 16 July 2021

PdPR: PENGAJARAN PERLU DISESUAIKAN DENGAN KEADAAN PELAJAR

ALOR SETAR, 16 Julai (Bernama) -- Seorang guru itu perlu kreatif dalam mencari kaedah terbaik dan menukar cara pembelajaran mengikut kesesuaian pelajar, bagi memastikan kejayaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), ketika negara masih berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19.

Kaedah PdPR secara dalam talian, mungkin dilihat sebagai cara mudah untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan, ketika sekolah tidak dibuka untuk PdP secara bersemuka, namun kaedah secara ‘off line’ atau luar talian juga mampu memastikan murid atau pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Bagi Dr Abdul Ghani Jalil, guru subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Pokok Sena dekat sini, cara pembelajaran PdPR itu perlu disesuaikan, bagi memastikan pelajar terutamanya yang berada di kawasan luar bandar, tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Saya mengajar pelajar Tingkatan Empat dan Lima, dan kebiasaannya saya akan jalankan kelas mengikut jadual waktu yang telah diatur dengan menggunakan aplikasi 'Google Meet' atau 'WhatsApp',” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Namun, bagi pelajar yang berhadapan dengan masalah untuk menyertai sesi pembelajaran secara maya, beliau mengambil pendekatan menjalankan PdPR secara luar talian, iaitu pergi ke rumah pelajar dan membawa modul untuk mereka buat.

Abdul Ghani, 46, yang berasal dari Kuantan, Pahang dan sudah 17 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan ini berkata, walaupun sukar untuk mengajar dalam tempoh pandemik ini, dia sentiasa mencari jalan dan cara untuk membantu pelajarnya belajar menggunakan kaedah PdPR ini.

“Sebenarnya banyak cara untuk laksanakan PdPR ini sama ada secara dalam talian atau luar talian. Kalau pelajar itu minat tengok video, kita boleh buat modul menggunakan aplikasi 'TikTok' atau kalau talian internet di rumah mereka perlahan, kita boleh hantar modul berkenaan terus di rumah mereka.

“Carilah cara atau kaedah macam mana sekali pun, asalkan proses PdPR itu berlangsung. Saya juga tidak terlalu suka membebankan pelajar, kerana selain Bahasa Melayu mereka perlu belajar subjek lain juga, jadi biasanya saya akan bagi satu atau dua modul sahaja asalkan sukatan dan topik tidak ketinggalan,” katanya.

Abdul Ghani berkata dalam tempoh PdPR ini juga, guru perlu peka dan tahu apa masalah yang dihadapi oleh pelajar, sekiranya mereka tidak menyertai kelas atau tidak menghantar kerja sekolah yang telah diarahkan, oleh guru masing-masing.

“Kalau pelajar itu senyap, kadang-kadang mereka sendiri tidak faham benda apa yang mereka kena buat, jadi guru perlu mendekati pelajar terutamanya yang di kawasan luar bandar, sebab ada masalah-masalah lain yang menyebabkan kaedah PdPR itu kurang berkesan.

“Sukar macam mana sekali pun, saya akan pastikan semua pelajar dapat belajar dengan baik menggunakan kaedah PdPR ini, tidak kisah secara dalam talian atau luar talian, kerana yang paling penting adalah mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Sementara itu Mohd Azharuddin Shah Yaakap yang merupakan guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Muzik di Sekolah Kebangsaan (SK) Mergong di sini berkata, selain menggunakan medium aplikasi seperti Telegram dan WhatsApp untuk PdPR, guru-guru di sekolah itu turut menggunakan kaedah luar talian.

“Guru buat secara luar talian juga, iaitu dengan tinggalkan modul di dalam kotak khas yang diletakkan di hadapan pintu sekolah dan akan minta ibu bapa datang ambil. Kalau hantar modul ke rumah pelajar itu tiada sebab kita tidak mahu langgar arahan yang sudah ditetapkan.

“Memang banyak dugaan bila buat PdPR ini, terutamanya dengan murid sekolah rendah sebab mereka sukar beri fokus semasa kelas dalam talian,” katanya.

Guru berumur 38 tahun ini berkata, bagi menarik minat anak muridnya untuk belajar, beliau lebih banyak menggunakan pautan YouTube, kerana ia mempunyai suara dan gambar yang lebih jelas dan menarik.

“Murid-murid usia mereka ini lebih gemar lihat YouTube, jadi kita guna pendekatan ini asalkan mampu buat mereka belajar. Ada juga guru yang ambil inisiatif dengan buat laman YouTube sendiri, untuk ajar murid mereka,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 13 July 2021

BICARA SANTAI BUKU : MA OON RIZAL - CIKGU MALAYSIA DI FINLAND


PROGRAM BICARA SANTAI BUKU 5/2021


Tajuk Buku :
Mä Oon Rizal: Cikgu Malaysia di Finland


Tarikh & Masa :
16 Julai 2021 (Jumaat)  |  3.00 petang- 5.00 petang


Pelantar :
fb live : https://fb.watch/v/EHUJ6Ii6/

Youtube Channel : https://www.youtube.com/watch?v=1oHjtQpoxa4


Panel :
Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil
Penulis


Moderator :
Dr. Hamizul bin Mahmud
Ketua Unit Perpustakaan Za'ba IPG Kampus Tuanku Bainun.

Kehadiran akan direkodkan dalam SPLKPM.

Semua dijemput hadir

#ipgktbmembaca

#jombacadankongsi


 

Friday, 9 July 2021

DALAM TALIAN ATAU LUAR TALIAN, GURU TEKAD TERUSKAN PdPR DENGAN KREATIVITI

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Apabila bercakap mengenai Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), umum masih beranggapan ia hanya kaedah pendidikan secara dalam talian semata-mata seperti aplikasi Zoom, Google Meet, Google Classroom atau Skype.

Hakikatnya, PdPR juga boleh dilaksanakan secara manual, seperti pengedaran modul terus kepada murid terutamanya bagi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada peranti dan jaringan.

Seorang guru R. Viloshena, 37, berkata sewaktu awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, sekolahnya pernah menggunakan kaedah PdPR secara modular dengan guru mata pelajaran memberikan modul secara salinan lembut (softcopy) kepada guru kelas.

Guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pulau Carey Timur, Selangor itu berkata guru kelas kemudiannya mengumpul dan menghantar modul tersebut kepada Penolong Kanan Pentadbiran sekolah yang seterusnya akan mencetak dan meletakkan modul di pondok pengawal sekolah untuk diambil oleh ibu bapa murid.

Bagaimanapun, beliau berkata ada segelintir ibu bapa yang tidak mengambil modul tersebut, dan kerana itu, pada tahun ini guru-guru mencuba pendekatan berbeza dengan menyediakan dan menghantar sendiri modul ke rumah murid.

“Selain itu, saya juga ada merakamkan sesi mengajar saya dalam Powerpoint dan kemudian memuat naik ke dalam YouTube dan menghantar pautan tersebut kepada para murid supaya mereka dapat menontonnya pada bila-bila masa.

“Saya juga menggunakan Kahoot!, Quizziz dan liveworksheet.com untuk memberikan latihan interaktif kepada murid. Selain itu, saya ada juga menggunakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek yang memerlukan murid menyiapkan projek dan melaluinya,” katanya kepada Bernama.

Bagi Noor Azlinda Shuhaimi, 37, guru di Sekolah Kebangsaan Rtb Bukit Changgang di Banting, Selangor, beliau telah memulakan video semasa mengajar sejak awal PKP pada Mac tahun lepas memandangkan aplikasi dalam talian seperti Google Meet kurang berkesan berikutan masalah pemilikan peranti dan capaian internet.

Mengambil pendekatan memuat naik video di YouTube, guru Bahasa Inggeris itu merakamkan sendiri video cara penyampaian pengajaran supaya murid dapat merasai pengalaman seperti belajar di dalam bilik darjah bersama guru.

“Saya mulakan dengan tatabahasa asas untuk semua lapisan umur. Selepas itu apabila PKP berterusan, saya cuba buat bahan mengikut silibus buku teks. Semua video semasa mengajar saya muat naik ke rangkaian YouTube, kemudian saya sampaikan tugasan melalui WhatsApps kelas dan murid hantar semula kepada saya secara personal untuk disemak.

“Dengan adanya video semasa mengajar yang saya hasilkan dan muat naik ke YouTube, murid saya boleh mengulang kaji pelajaran pada bila-bila masa dan di mana-mana. Untuk menarik minat, saya pastikan video semasa mengajar dipelbagaikan, dan juga dari segi penyampaian.

“Saya juga ada selitkan kata laluan untuk setiap waktu mengajar di pertengahan dan di akhir video dan dengan cara itu saya boleh mengesan murid yang tidak mengikuti waktu mengajar sampai habis,” katanya yang dikenali sebagai ‘Teacher Linda’ di YouTube.

Beliau berkata penerimaan murid dengan kaedah PdPR sangat menggalakkan apabila murid masih meminta beliau menghasilkan video mengajar sebagai rujukan ketika sekolah dibuka sebelum ini.

Noor Azlinda juga pernah dipanggil menjadi panel di webinar untuk berkongsi cara penghasilan video semasa mengajar oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan pernah terlibat dengan rakaman TV Pendidikan semasa PKP tahun lepas.

“Cadangan saya kepada guru lain, kita kena teruskan meneroka pelbagai cara supaya murid dapat menangkap apa yang ingin kita sampaikan. Untuk buat pembelajaran secara langsung seperti Google Meet boleh, tetapi kena bergantung kepada latar belakang murid kita kerana tidak semua boleh sertai.

“Jadi, guru lebih tahu cara apa yang sesuai untuk murid masing-masing. Bagi saya, apa sahaja medium yang guru ada untuk sampai kepada pelajar, kita perlu gunakan sahaja semua,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Thursday, 8 July 2021

TAKLIMAT PERPUSTAKAAN ZA'BA & PENCARIAN MAKLUMAT APLIKASI DIGITAL (U-PUSTAKA, eLIB & BLOG KESEDARAN SEMASA)





 

KEDAH MOHON BUKA SEMULA 73 PIK BANTU PdPR - EXCO

ALOR SETAR, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah memohon supaya Pusat Internet Komuniti (PIK) di setiap daerah, dibuka semula bagi membantu sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), khususnya untuk pelajar kurang berkemampuan yang tinggal di luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia negeri Wan Romani Wan Salim berkata terdapat 73 PIK di negeri ini yang harus diberi pertimbangan agar dapat beroperasi semula bagi membolehkan pelajar-pelajar berkaitan memperoleh capaian Internet dengan mudah.

"Dalam mesyuarat Exco (semalam), saya mohon agar Majlis Keselamatan Negeri (MKN) mempertimbangkan isu ini, agar pusat Internet dapat dibuka semula bagi mempermudahkan pelajar mengikuti PdPR," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu kelulusan daripada MKN memandangkan dalam tempoh pandemik ini, prosedur operasi standard (SOP) khusus perlu ditetapkan jika PIK beroperasi semula.

Wan Romani berkata jika PIK beroperasi dengan baik, ia bukan sahaja dapat membantu pelajar, malah golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di luar bandar juga dapat memanfaatkannya untuk memperkembangkan perusahaan mereka.

"Para usahawan kecil boleh menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di pusat ini bagi menjana pendapatan yang lumayan dengan menjalankan perniagaan secara dalam talian," katanya.

BERNAMA ONLINE

 

Wednesday, 7 July 2021

SINERGI GURU, PELAJAR DAN IBU BAPA JAYAKAN PdPR

SIBU, 7 Julai (Bernama) -- Sinergi antara guru, pelajar dan ibu bapa menjadi nadi yang dapat menjayakan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagaimana yang dibuktikan oleh dua orang pendidik di sebuah sekolah luar bandar di sini.

Andy Janang, 40, dan Mackie Juing, 51, telah melalui lebih sedekad pengalaman mendidik pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Sibu, namun mereka tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran baharu pelaksanaan PdPR.

Namun mereka tetap komited biarpun dalam keadaan masa yang agak singkat untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran kerana menyedari harapan tinggi yang diletakkan di bahu guru untuk membimbing anak-anak didik sehingga berjaya.

“Memang ada kekangan dan kekurangan yang kami hadapi untuk melaksanakan PdPR ini, tetapi kami mempunyai pendekatan tersendiri untuk memastikan anak didik kami mendapat input dan maklumat yang cukup sebelum menghadapi peperiksaan,” katanya kepada Bernama.

Mengajar subjek Matematik Tambahan di sekolah itu sejak 15 tahun lepas, Andy mengenal pasti pelajar yang menghadapi masalah untuk mendapatkan capaian internet, selain kesulitan kewangan dihadapi ibu bapa di luar bandar yang kurang bermampuan menyediakan telefon pintar untuk anak-anak mereka.

Andy yang berasal dari Kuching telah merangka strategi dengan membawa beberapa orang pelajarnya yang memiliki telefon pintar untuk berinteraksi secara langsung dengannya bagi meneruskan proses pembelajaran dan pengajaran ini.

Pelajar-pelajar ini kemudiannya akan menyebarkan maklumat yang diperoleh menerusi interaksi ini kepada rakan-rakan lain yang tidak mempunyai akses internet.

Selain hubungan rapat dengan para pelajar, beliau mengambil pendekatan berhubung terus dengan ibu bapa bagi memantau prestasi anak-anak didiknya dari semasa ke semasa menerusi komunikasi yang konsisten.

“Pada peringkat awal ini, PdPR (secara dalam talian) mungkin dilihat kurang sesuai untuk diaplikasikan di sekolah luar bandar, namun itu bukan alasan pelajar tidak dapat terus mengikuti pembelajaran sebab banyak alternatif lain boleh digunakan.

“Misalnya penggunaan modul pembelajaran mengikut topik, bila kerja rumah untuk satu-satu topik sudah siap, pelajar boleh hantar ke pondok pengawal keselamatan di sekolah dan diambil oleh guru kemudian hari,” katanya yang turut mengambil inisiatif mengadakan kelas tambahan kepada pelajar-pelajarnya.

Mackie pula mengambil strategi serampang tiga mata yang melibatkan hubungan rapat, menggalak dan mencabar pelajar-pelajarnya bagi membina keyakinan dan meningkatkan persiapan mereka menghadapi peperiksaan.

Guru Kimia di SMK Luar Bandar Sibu sejak 14 tahun lepas itu berkata strategi tersebut mendorong pelajar agar tidak malu atau takut untuk bertanya sesuatu topik yang kurang difahami atau soalan yang tidak dapat dijawab,

“Dengan menyemai semangat mencintai subjek Kimia membolehkan mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan gembira serta menyediakan soalan-soalan yang boleh mencabar kebolehan mereka untuk menjawab,” katanya.

Pendekatan Mackie ini ternyata membawa kesan dan hasilnya, apabila seorang bekas pelajar sekolah itu, Irwin Vincent, 17, yang telah berpindah ke sekolah lain kerana mengikut keluarganya berpindah ke Sibu, masih terus menagih ilmu darinya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebagai seorang guru, saya tidak dapat menolak permintaannya untuk menyertai kelas tambahan yang saya adakan dan saya juga terharu dengan sokongan ibu bapanya yang mahu melihat anak mereka berjaya,” katanya.

Semasa keputusan SPM 2020 diumumkan baru-baru ini, Irwin memperoleh 9A sekali gus muncul antara pelajar cemerlang di Bahagian Sibu.

BERNAMA ONLINE

SPP DISARAN TURUT AMBIL GURU OKU

Datuk Ras Adiba Radzi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) disaran memastikan sekurang-kurangnya satu peratus atau 187 orang daripada 18,702 pengambilan khas guru secara 'one-off', dikhususkan kepada orang kurang upaya (OKU) berkelayakan.

Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, langkah itu akan membantu Kementerian Pendidikan (KPM) mencapai sasaran Dasar Satu Peratus peluang pekerjaan kepada golongan OKU dalam perkhidmatan awam, sekali gus menjadi teladan baik kepada sektor swasta.

"Ini juga selaras keperluan pembangunan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 iaitu untuk memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama akan tercapai.

"Selain itu, ia bertepatan dengan amalan di negara maju seperti Australia apabila golongan OKU diberi peluang seluas-luasnya menceburi pelbagai bidang termasuk pendidikan. Saya ingin tekankan OKU perlu mempunyai hak sama seperti orang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ras Adiba berkata, kekurangan yang ada tidak boleh dijadikan alasan untuk menidakkan hak golongan itu kerana mereka juga sebahagian daripada masyarakat.

Beliau berkata, Dasar Satu Peratus pekerja OKU dalam sektor awam diperkenal pada 1988 dengan pelaksanaannya melalui Perkhidmatan Pekeliling pada 2008 serta 2010, namun sehingga kini, hanya empat kementerian mempunyai kakitangan golongan OKU melebihi satu peratus.

Katanya, kementerian terbabit ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Perpaduan Negara.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 6 July 2021

HEBAHAN PENGAMBILAN KHAS GURU ESOK

Pada 20 Jun lalu, Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin membuat pengumuman berhubung pengambilan Khas guru baharu secara one-off membabitkan 18,702 perjawatan bermula 7 Julai 2021.

KUALA LUMPUR: Hebahan mengenai pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 secara 'one-off' pada tahun ini akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada jam 5.30 petang esok.

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dalam kenyataan hari ini berkata, pengambilan khas itu akan mengutamakan graduan pendidikan lepasan universiti awam, swasta atau luar negara.

"Urusan ini akan diperluas kepada graduan bukan iktisas pendidikan melalui kepelbagaian kaedah pelantikan pada fasa berikutnya jika masih terdapat kekosongan tidak dapat ditampung graduan pendidikan.

"Sehubungan itu, SPP menyarankan calon terbabit supaya bersedia dan sentiasa melayari laman sesawang serta platform media sosial rasmi SPP bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan urusan temu duga pengambilan khas ini," katanya.

Pada 20 Jun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan guru di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, dipetik berkata ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.

Iklan pengambilan itu akan disiarkan esok manakala penempatan secara berperingkat bermula pada Oktober nanti.

BERITA HARIAN ONLINE

58.3 PERATUS GURU SUDAH DIVAKSIN

Muslimin (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama pengurusan KiSTARP sempena lawatan kerja beliau, hari ini.

SABAK BERNAM: Sebanyak 58.3 peratus guru di seluruh negara telah menerima suntikan sekurang-kurang dos pertama vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi 39.98 peratus guru di Selangor yang telah divaksin dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan, termasuk di institusi pendidikan.

"Ada beberapa negeri didapati melepasi kadar 90 peratus vaksinasi golongan itu. Sebagai contoh, 94 peratus guru di Labuan sudah menerima vaksin kerana bilangannya tidak ramai.

"Bagaimanapun, ada negeri mencatat kadar pemberian vaksin yang masih rendah dalam kalangan guru, antara lain Melaka dengan 19 peratus, setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra (KiSTARP), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muslimin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi keutamaan vaksinasi kepada guru yang mengajar kelas peperiksaan, sebagai persediaan awal untuk pembukaan sekolah diumumkan kerajaan nanti.

"Misalnya, sebanyak 99 peratus guru di KiSTARP sudah menerima suntikan vaksin COVID-19," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

TEKANAN PdPR: IBU BAPA PERLU LENGKAPKAN DIRI DENGAN PENGETAHUAN

KANGAR, 6 Julai (Bernama) -- Selain menyediakan peralatan elektronik, ibu bapa juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi bagi melancarkan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak mereka.

Pengerusi Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Perlis Profesor Madya Dr Abdul Jalil Ramli berkata kebelakangan ini ramai ibu bapa mengadu bahawa mereka tertekan dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian itu.

“Pada sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah, guru yang akan menerangkan kepada murid tentang sesuatu topik yang tidak difahami murid.

“Namun, tugas guru itu terpaksa dipikul oleh ibu bapa sepanjang PdPR menyebabkan mereka rasa tertekan dengan bebanan baharu itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Jalil berkata antara faktor tekanan ialah tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk membantu anak, di samping kekurangan masa setelah penat bekerja seharian.

Bagi membantu ibu bapa, kita (PIBKS) mencadangkan agar pihak terlibat, sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) atau Jabatan Pendidikan Negeri, mengeluarkan modul pembelajaran atau nota bagi setiap mata pelajaran, untuk membantu ibu bapa memahami topik yang diajar pada sesi PdPR,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ibu bapa juga perlu meningkatkan pengetahuan agar dapat membantu anak-anak.

“Saya tidak nafikan bahawa ini bukan satu perkara yang mudah bagi ibu bapa, terutama bagi mereka yang kurang berpengetahuan, namun keadaan sekarang mendesak untuk mereka berkorban demi masa hadapan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perlis Naemah Ibrahim tidak menafikan pihaknya ada menerima panggilan daripada ibu bapa yang menzahirkan rasa tertekan dengan PdPR dan mendapatkan bantuan perkhidmatan tele kaunseling.

Beliau menjelaskan tekanan timbul kerana ibu bapa yang bekerja dari rumah terpaksa menguruskan dua perkara dalam satu masa, iaitu urusan kerja dan PdPR.

Di samping itu, terdapat juga keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan peranti yang sesuai untuk anak-anak mereka mengikuti pelajaran secara dalam talian, katanya.

Berkongsi pengalaman, seorang penjawat awam Norhafizah Saidin, 50, berkata beliau risau dengan kesihatan dan tekanan yang dihadapi anaknya sepanjang mengikuti PdPR, kerana melibatkan masa yang panjang berbanding kelas harian.

“Walaupun pembelajaran itu penting, kesihatan fizikal dan emosi juga penting...disebabkan pandemik COVID-19, saya tidak benarkan anak saya bermain di luar bersama rakan kerana bimbang risiko jangkitan.

“Banyak masa dihabiskan di rumah dengan mengikuti kelas PdPR, bermula seawal 7 pagi hingga lewat petang, saya bimbang situasi ini akan menjejaskan kesihatan mental anak kerana hanya terkurung di rumah,” kata ibu kepada seorang murid Tahun Enam itu.

Justeru, beliau berharap agar pihak sekolah dapat mengurangkan bebanan kerja rumah selain mewujudkan suasana pembelajaran yang kreatif bagi mengurangkan tekanan kepada murid.

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 4 July 2021

KEPUTUSAN PEMBELAJARAN BERSEMUKA SELEPAS CUTI PENGGAL

Gambar fail, Pelajar Tingkatan 5, Bihub Illah Jefri, 18 bersama jirannya, Nur Amyra Elyana Raimey, 18 mengulang kaji pelajaran serta mengikuti sesi pembelajaran menerusi DidikTV KPM di Putrajaya. Turut kelihatan Harith Iman Asni, 14 (kiri) dan adiknya Hazim Iskandar Asni, 13 (kanan) ketika membuat pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

KUALA LUMPUR: Takwim persekolahan Kementerian Pendidikan (KPM) 2021 bagi negeri yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kekal seperti diumumkan pada 6 Jun lalu.

Merujuk peralihan fasa bagi Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa esok, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid kelas peperiksaan kekal secara PdP di rumah (PDPR).

"Sesi PdP murid kelas peperiksaan di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara PdPR sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B," kata kementerian.

Makluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai bagi negeri Kumpulan B akan dibuat oleh KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan terbabit bermula.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenar beroperasi untuk sesi PdP bersemuka, tetapi terhad murid kelas peperiksaan, selain kebenaran rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan sekiranya sekolah dibuka.

Kenyataan itu memaklumkan, pemberitahuan lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai bagi negeri Kumpulan B akan dibuat KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan itu bermula.

BERITA HARIAN ONLINE

FASA DUA PPN DIHARAP ATASI ISU KECICIRAN MURID

Pembukaan semula sekolah untuk lima negeri yang beralih ke fasa kedua PPN membolehkan murid belajar secara bersemuka dengan guru.

KUALA LUMPUR: Kebenaran rentas daerah dan negeri bagi guru serta murid sekolah yang mengikuti kelas peperiksaan di negeri dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) diharap mampu menyelesaikan isu keciciran dalam kalangan murid terutama di luar bandar.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata pembukaan semula sekolah untuk kelas peperiksaan di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan membolehkan murid mengikuti sesi pembelajaran dengan lebih baik secara bersemuka.

"Jika kita lihat, kebanyakan murid di lima negeri ini berada di kawasan luar bandar, yang mana kebanyakannya terdiri daripada keluarga tidak berkemampuan dan berdepan isu akses capaian internet.

"Justeru, pembukaan semula sekolah untuk lima negeri ini adalah satu langkah yang tepat pada masanya untuk membolehkan mereka belajar secara bersemuka dengan guru," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kebenaran rentas daerah dan negeri bagi guru serta murid sekolah yang mengikuti kelas peperiksaan di lima negeri yang akan beralih ke Fasa Dua PPN esok.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan peralihan fasa PPN mengikut pencapaian nilai ambang negeri, dengan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang mencapai kriteria utama untuk beralih ke Fasa Dua.

Di bawah Fasa Dua, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan, kecuali bagi guru sekolah serta murid mengikuti kelas peperiksaan.

Susulan keputusan kerajaan itu, Mohd Azizee mencadangkan vaksinasi bagi guru dan murid di kawasan terbabit disegerakan bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan mereka lebih terjamin.

"Ketahanan daya imun yang dimiliki guru dan murid kelak membolehkan pembukaan sekolah dengan lebih meluas dilaksanakan, sekali gus murid dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih baik dan bersedia secukupnya untuk menghadapi peperiksaan nanti," katanya.

Beliau juga meminta semua guru dan murid di negeri Fasa Dua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

"SOP tambahan seperti ketika kehadiran dan penyuraian kelas perlu diperkemas terutama sekolah di bandar, yang mengalami kesesakan lalu lintas dan bilangan murid ramai, selain memastikan pemakaian pelitup muka, pengambilan suhu badan dan penjarakan fizikal," katanya.

Pada masa sama, Mohd Azizee berkata, i-Guru meminta Kementerian Pendidikan memberi autonomi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menentukan pembukaan sekolah berdasarkan maklum balas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Dengan langkah ini, tidak semua sekolah akan ditutup kerana ia akan perlu mengambil kira situasi semasa, lokaliti zon dan nasihat MKN serta KKM," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

OPERASI SEKOLAH: PDPR KEKAL DI NEGERI DALAM FASA DUA PPN - KPM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Sesi pengajaran dan pembelajaran bagi murid kelas peperiksaan di lima negeri yang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti pertengahan penggal.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuti pertengahan penggal ini akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B.

Menurutnya pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai akan dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan itu bermula.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi PdP secara bersemuka terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

“Bagaimanapun, KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) dalam sidang media pada 6 Jun lepas,” menurut kenyataan itu.

Radzi pada sidang media Jun lepas berkata PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing sehingga cuti pertengahan penggal.

Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN mulai esok.

Keputusan itu diambil berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

BERNAMA ONLINE

Thursday, 1 July 2021

'JANGAN BERI TEKANAN PADA GURU'

Presiden NUTP, Aminuddin Awang

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa perubahan besar dilaksanakan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang terlalu 'menekan' guru dengan pelbagai beban kerja tanpa mengambil kira keperluan serta masalah dihadapi mereka.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata PPD sepatutnya melihat realiti semasa dihadapi guru yang mengalami pelbagai tekanan menguruskan pembelajaran dalam tempoh sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"NUTP lihat punca tekanan guru disebabkan PPD. Kami mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan penstrukturan semula kerana kata kunci PdPR yang ditetapkan adalah keupayaan dan kesediaan murid.

"Bagaimanapun, di pihak PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), mereka (seolah) menekan guru, misalnya jika murid tidak masuk kelas dalam talian, guru juga dipersoalkan.

"Jadi, perkara ini antara punca tekanan, sepatutnya beri peluang guru melaksanakan dulu PdPR berasaskan keperluan murid bukan menetapkan dasar seragam," katanya kepada BH, hari ini.

Aminuddin berkata, kebanyakan tekanan datang daripada Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang ditugaskan PPD untuk menjadi pembimbing sekolah.

"Wakil SISC+ ini sepatutnya jadi pembimbing, tetapi nampaknya menambah tekanan guru pula apabila meminta mereka menyediakan laporan, intervensi dan sebagainya.

"Saya tidak melihat guru gagal memberikan komitmen melaksanakan PdPR, mereka tetap jalankan tugas walaupun terpaksa sediakan peranti dan data internet sendiri.

"Ambil kira juga masalah ekonomi dihadapi ibu bapa dalam waktu mendesak sekarang, ada ibu bapa di pedalaman lebih pentingkan survival hidup dan tidak berkemampuan menyediakan kelengkapan PdPR," katanya.

Mengulas isu tular di media sosial mengenai tangkap layar mesej guru didakwa melemparkan kata-kata kesat kerana ada murid tidak mengikuti pengajian PdPR dan gagal menghantar tugasan diberikan, Aminuddin berkata, perkara itu perlu tindakan sewajarnya oleh pihak berkepentingan.

"Jika PPD tidak ganggu guru, misalnya beri masa murid menghantar kedatangan atau tugasan secara fleksibel, isu tekanan ini tidak berlaku," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE