Monday, 30 August 2021

KPM TERUS PERKASA EKOSISTEM PENDIDIKAN NEGARA - RADZI JIDIN

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin akan terus ikhtiarkan yang terbaik dan berusaha gigih dalam memperkasa ekosistem pendidikan negara.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, katanya dalam tempoh 18 bulan berada di Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini, banyak perkara yang telah dicapai dalam usaha menambahbaik pendidikan negara.

"Amanah yang diberi akan kami junjung sehabis baik,” katanya.

Selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini, Radzi terus mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah Pendidikan serta pengurusan tertinggi KPM.

Seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

BERNAMA ONLINE

Sunday, 22 August 2021

TMJ TITAH PENGARAH PENDIDIKAN JOHOR, GURU TOLAK VAKSIN MENGHADAP

JOHOR BAHRU, 22 Ogos (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menitahkan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan seramai 779 guru di negeri ini yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin COVID-19 menghadap baginda dalam masa terdekat.

Tunku Ismail menerusi hantaran dalam laman Twitter bertitah ini kerana keutamaan adalah untuk mengatasi pandemik itu secepat mungkin supaya rakyat dan negeri boleh kembali serta meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan guru-guru tersebut dalam masa terdekat. Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa," titah baginda.

Untuk rekod, jawatan Pengarah JPNJ kini dipangku Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembelajaran) Shahilon Abd Halim.

Baginda berkata demikian ketika mengulas lapoean berita mengenai seramai 779 guru di negeri itu telah menolak pemberian vaksin COVID-19.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terdapat golongan guru yang menolak pemberian vaksin.

Bagaimanapun, usaha kini dilakukan menerusi JPNJ dan Jabatan Agama Islam untuk memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin supaya golongan guru itu bersetuju menerima vaksin berkenaan.

Sehingga 19 Ogos, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor telah menerima dos pertama dan seramai 23,746 guru sudah lengkap menerima kedua-dua dos suntikan vaksin, kata ADUN Puteri Wangsa itu.

Anggota kumpulan pelaksana (AKP) seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan 2,816 atau 39.37 peratus telah lengkap dua dos vaksin.

Staf sokongan operasi pula seramai 9,236 atau 71.49 peratus telah menerima satu dos vaksin dan 7,030 atau 54.42 peratus telah menerima dua dos suntikan vaksin.

BERNAMA ONLINE

Thursday, 12 August 2021

AMINUDDIN MINTA KPM PERINCI SOP PERSEKOLAHAN

Aminuddin (tengah) bersama Pengarah Jabatan Penerangan negeri Shahnon Mohamad (kanan) dan Setiausaha Kerajaan, Datuk Dr Razali Ab Malik (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik perasmian Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan 2021, hari ini.

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memperincikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 1 September ini susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 harian serta kebimbangan kemunculan varian Delta dan Lambda.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya menyokong pembukaan sekolah secara bersemuka, namun beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mengelakkan penularan jangkitan lebih teruk membabitkan pelajar sekolah.

"Kita sedia maklum terdapat varian baharu seperti Delta dan Lambda yang cukup berbahaya. KPM harus bersedia dan mempunyai SOP lebih jelas mengenai hal ini.

"Paling penting anak-anak ini diberi suntikan vaksin terlebih dulu, barulah kita benarkan mereka menghadiri kuliah atau pembelajaran secara bersemuka," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan 2021, hari ini.

Pada 17 Julai lalu, KPM dalam kenyataan memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini, dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan hingga 31 Ogos.

Sementara itu, Aminuddin berkata, seramai 653,938 iaitu 80.3 peratus penduduk dewasa di Negeri Sembilan menerima dos pertama vaksin, manakala seramai 441,798 (54.25 peratus) lengkap divaksinasi setakat kelmarin.

Beliau berharap usaha vaksinasi ini dapat mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 bagi mengembalikan kehidupan seperti biasa, namun orang ramai diingatkan terus mematuhi SOP dalam usaha mengekang penularan wabak yang membawa maut itu.

Negeri Sembilan semalam merekodkan 1,015 kes baharu COVID-19 iaitu kes harian tertinggi, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini 81,571 kes.

BERNAMA ONLINE

KPM DIHARAP TANGGUH BUKA SEKOLAH 1 SEPTEMBER


SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) diharap dapat mengkaji semula cadangan pembukaan sekolah secara bersemuka pada 1 September ini berikutan kes COVID-19 yang masih tinggi di negara ini.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata majoriti ibu bapa melahirkan kebimbangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah ketika penularan wabak itu belum menunjukkan pengurangan ketara.

Jika KPM kekal dengan keputusan pembukaan sekolah September ini, katanya, beberapa langkah wajar diambil, termasuk usaha memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP), selain menyelesaikan vaksinasi warga sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus.

PRESIDEN Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan. 

"Kami berharap KPM dapat mempertimbangkan dan mengkaji semula tarikh pembukaan sekolah memandangkan kes COVID-19 yang melepasi angka 20,000 ketika ini.

"Pandangan pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), wajar diperoleh mengenai perkara ini. Jika kes semakin meningkat, ia membimbang dan merisaukan ibu bapa untuk hantar anak ke sekolah," katanya, hari ini.

Beliau berkata pembukaan sekolah wajar ditangguh ke suatu tarikh yang bersesuaian sehingga menyakinkan semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar.

"Kami berharap KPM dapat membuat keputusan yang jelas dan tepat berdasarkan data dan sains. Sebaiknya perlu ada pelan dan agenda yang jelas jika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) perlu dilanjutkan sehingga hujung tahun untuk mengelak keciciran murid dan mengatasi kelesuan motivasi ketika PdPR," katanya.

Langkah lain yang perlu diambil jika pembukaan sekolah kekal seperti dijadualkan September ini, katanya, termasuk vaksinasi ibu bapa pelajar tahun peperiksaan membabitkan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sudah mencapai usia 18 tahun.

"Perlu juga membentangkan SOP khas untuk pelajar belum menerima vaksin yang berada di dalam dan luar kawasan sekolah," katanya.

Azizee berkata, pembukaan sekolah secara berfasa dengan keutamaan kepada sekolah di luar bandar dan pendalaman yang kurang murid serta di kawasan hijau dan kadar penerimaan vaksinnya melebihi had imuniti kelompok, wajar juga diambil kira.

Selain itu, katanya, melaksanakan penggiliran murid ke sekolah mengikut keutamaan seperti prasekolah dan Tahap 1 perlu diberikan keutamaan bagi menangani isu penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Katanya lagi, kuasa autonomi wajar diberikan kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam menentukan apa yang terbaik untuk sekolah dari sudut pembukaan dan pelaksanaan pengajaran ini.

"Tambahan pula, sudah ada petunjuk kes baharu harian COVID-19 yang semakin turun di sesetengah negeri dan tempat hingga ke paras munasabah untuk dibenarkan sekolah dibuka semula," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 11 August 2021

TANGGUH PEMBUKAAN SEKOLAH, FOKUS PEMULIHAN PENDIDIKAN


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran menangguh dulu pembukaan sekolah untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini dengan memberi tumpuan kepada membangunkan pelan pemulihan pendidikan negara secara menyeluruh.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata pelan itu boleh menjadi sumber utama kepada semua usaha dan tindakan kerajaan dalam memulihkan kembali sistem pendidikan negara yang 'rosak teruk' akibat pandemik COVID-19 sepanjang tempoh dua tahun ini.

Katanya, sekolah hanya wajar dibuka semula selepas pelan itu diluluskan Parlimen yang akan diselaraskan dengan Bajet 2022 untuk sektor pendidikan.

"Tanpa kelulusan Parlimen, pembukaan semula sekolah adalah tindakan yang tidak memberikan kesan positif secara menyeluruh kepada proses pendidikan, khususnya dalam usaha memulihkan kembali keciciran pembelajaran dalam kalangan murid.

"Ia perlu disusuli prinsip dan agenda khusus bagi pemulihan pendidikan melalui penambahbaikan proses penyampaian sistem pendidikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

KPM dalam satu kenyataan pada 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Anuar berkata, sekurang-kurangnya tiga agenda besar perlu diutamakan seperti memulihkan keciciran murid, meningkatkan pendigitalan pendidikan, mengubahsuai dan menambah prasarana atau infrastruktur pendidikan di sekolah.

"Begitu juga semakan kurikulum yang sedia ada. Contohnya, kurikulum dan amalan pembelajaran yang mementingkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan kebersihan perlu dijadikan satu daripada program dalam agenda pemulihan pendidikan negara.

"Satu daripada agenda penting dalam pelan pemulihan adalah pengurusan keciciran pembelajaran dialami murid sejak dua tahun lalu, khususnya murid Tahap Satu sekolah rendah.

"Begitu juga murid di kelas peralihan sekolah menengah. KPM perlu menyediakan program khas bagi membantu murid 'rentan pendidikan', terutama mereka daripada keluarga miskin dan B40," katanya.

Beliau berkata, KPM juga perlu memulakan program pembelajaran hibrid sebagai agenda utama penambahbaikan dalam pelan pemulihan dengan menambah baik akses internet di seluruh negara dan menyegerakan pemilikan peranti dalam kalangan murid.

"Perkenalkan secara meluas kemahiran pedagogi digital seperti sibergogi, heutagogi dan gamifikasi kepada guru untuk menjayakan pembelajaran hibrid," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 10 August 2021

MEMAHAMI TEKANAN PERASAAN DALAM KALANGAN PELAJAR


Kebelakangan ini, terdapat banyak laporan mengenai masalah tekanan perasaan dalam kalangan pelajar susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ada yang melihatnya sebagai hal remeh namun sebenarnya masalah tekanan perasaan adalah persoalan serius dan tidak benar untuk mengatakan ia sengaja diada-adakan atau mengada-ada.

Berdasarkan data dan analisis, tekanan perasaan atau tekanan hidup itu wujud dan perlu diberi perhatian. Ramai dalam kalangan individu yang berhadapan dengan masalah sebegini lebih cenderung membunuh diri berbanding berusaha mengatasinya. Keadaan ini menjelaskan mengapa bilangan kes membunuh diri adalah tinggi dalam kalangan remaja.

Hal ini juga dianggap sebagai jalan keluar kerana tekanan perasaan bukanlah perkara ringan yang mampu dilalui oleh seseorang. Ia menguasai minda dan bagi sebilangan individu keadaan itu amat sukar untuk dilalui secara bersendirian.


Bagaimanapun, masalah ini boleh ditangani dengan rawatan pakar. Ia boleh diurus dengan panduan yang betul daripada pakar psikologi selain menerusi terapi yang diberikan secara profesional.

Dalam persoalan PdPR, amat mudah untuk difahami mengapa ia menjadi beban psikologi kepada sesetengah murid. Ia tentunya disebabkan pembelajaran menerusi PdPR adalah perkara baharu. Mereka perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya belajar sendiri tanpa bantuan guru di depan mereka atau rakan sekelas seperti kebiasaannya. Pergerakan mereka juga terbatas kerana perlu duduk di hadapan komputer dari pagi hingga petang untuk sesi pembelajaran. Keadaan ini memberi tekanan kerana rasa 'terkurung' dan tidak bebas bergerak.

Selain itu ada sesetengahnya datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Ketiadaan peranti atau perlu berkongsi dengan adik beradik lain juga sebenarnya mendatangkan cabaran dan tekanan tersendiri.

Mungkin ada segelintir ahli masyarakat yang lebih tua merasakan permasalahan tekanan sebegitu hal biasa dan generasi hari ini kelihatan lebih lemah atau lembik berbanding mereka ketika berada dalam lingkungan usia serupa. Justeru tanggapan sedemikian mencetuskan pelbagai reaksi dan istilah seperti 'generasi jeli'. Sebenarnya, sebagai rakyat yang bertanggungjawab anggapan yang sebegitu tidak molek untuk dibuat kerana ia memberi kesan kepada mereka.

Namun, dari satu segi pandangan sedemikian menjelaskan bahawasanya masyarakat Malaysia kurang pengetahuan atau kesedaran mengenai permasalahan psikologi sebegini. Jika seseorang itu tahu akan apa yang dihadapi individu yang tertekan dengan masalah hidup, pasti ungkapan seperti generasi jeli ini tidak muncul.

Sebenarnya, masalah tekanan hidup ini sudah ada sejak sekian lamanya dalam masyarakat tetapi ia tidak diendahkan atau kita tidak menyedari mengenai kewujudannya.

Keadaan sedemikian mungkin disebabkan mereka yang berhadapan dengan masalah begini tidak mendapat diagnosis daripada pakar. Selain itu, ilmu mengenai kesihatan mental yang dicanangkan kini dan dulu amat berbeza menyebabkan permasalahan kesihatan mental lebih banyak dikesan ketika ini.


Justeru dalam konteks inilah kita tidak seharusnya mudah menyebut tekanan perasaan terjadi kerana generasi muda masa kini 'lembik' atau lemah. Ini kerana kita seharusnya menyedari PdPR itu adalah pembelajaran dalam talian yang belum dilaksanakan secara serius sebelum ini. Justeru memang terdapat potensi untuk seseorang itu berhadapan dengan gangguan mental jika mereka tidak berinteraksi dengan manusia atau rakan dalam tempoh yang lama.

Dalam hal ini, pihak sekolah juga harus berusaha memahami situasi yang dihadapi oleh semua pelajar. Pasti sahaja dalam sejumlah pelajar yang mengikuti PdPR terdapat murid yang tidak mempunyai kemudahan yang sepatutnya untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. Selain peranti, masalah seperti capaian internet, ruang belajar yang selesa atau keadaan keluarga yang berantakan turut menyumbang kepada ketidakupayaan mereka mengikuti pembelajaran dalam talian. Faktor itulah kemudiannya berpotensi untuk menjadi penyebab kepada tekanan.

Mungkin, PdPR bukanlah halangan untuk terus belajar bagi sekumpulan murid tetapi bagi kelompok yang lain mereka berpotensi berhadapan masalah tekanan perasaan.

Dr Zhooriyati Sehu Mohamad
Penulis adalah Ketua Jabatan Psikologi Universiti UCSI

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 4 August 2021

TANGANI SEGERA ISU MURID 'LESU' PdPR - AHLI AKADEMIK


KUALA LUMPUR: Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang kini diguna pakai oleh sistem persekolahan negara dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19, dilihat secara tidak langsung mencetuskan isu 'learning burnout' atau hilang motivasi untuk belajar dan membaca dalam kalangan pelajar, khususnya murid sekolah rendah.

Isu ini dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kadar ketinggalan dalam pembelajaran yang mana berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas kumpulan B40 di kawasan pangsapuri di sekitar ibu negara, didapati enam daripada 10 murid hilang motivasi untuk mengikuti PdPR.

Mengulas perkara itu, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata isu keciciran pembelajaran dan 'learning burnout' perlu ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai pelajar tertinggal dalam pelajaran dan seterusnya mewujudkan 'lost generation'.

'Lost generation' merujuk kepada kohort murid yang keciciran pendidikan sehingga menyebabkan tahap pencapaian pendidikan mereka lebih rendah berbanding kumpulan sebelumnya. Antara punca terjadi 'lost generation' ialah kehilangan waktu pembelajaran untuk tempoh yang lama akibat peperangan, bencana alam yang besar atau penularan wabak penyakit berjangkit berpanjangan)

PERLU KEMBALIKAN SEMANGAT PELAJAR

Menurut Dr Anuar, berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan (KPM) yang dikeluarkan pada 11 Okt 2020, kadar keciciran murid sekolah rendah meningkat kepada 0.13 peratus pada tahun berkenaan berbanding 0.12 peratus pada 2019, sementara kadar keciciran pelajar sekolah menengah pula meningkat daripada 1.14 peratus kepada 1.26 peratus bagi tempoh sama.

Bagaimanapun beliau yakin angka itu akan terus meningkat, mengambil kira keadaan pandemik yang semakin serius serta tidak ada tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.

"Di Malaysia, umum mengetahui ada pelbagai kaedah pembelajaran digunakan, iaitu secara dalam talian, luar talian (offline), edaran nota serta TV Pendidikan. Namun dalam situasi negara sekarang, PdPR dalam talian lebih diutamakan.

"Isu yang timbul ialah negara kita sebenarnya masih belum cukup bersedia untuk melaksanakan PdPR dalam talian. Ada dua sebab, iaitu ketidakmampuan dari segi penyediaan peranti yang sesuai dan mencukupi serta capaian Internet kurang memuaskan," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, KPM sendiri melaporkan masalah peranti adalah antara isu utama yang dihadapi oleh kira-kira 1.85 juta pelajar pada masa ini.

Selain itu, Dr Anuar berkata pelajar juga dikatakan tertekan dengan situasi pembelajaran semasa.

Kajian Fakulti Pendidikan UKM yang diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor bagi 2020 menunjukkan 70 hingga 80 peratus guru melaporkan antara cabaran utama melaksanakan PdPR ialah mendapatkan perhatian/fokus pelajar serta kadar kehadiran tidak mencapai 80 peratus.

Menurut kajian itu, masalah tumpuan pelajar tersebut dikaitkan dengan keadaan persekitaran rumah yang tidak kondusif.

UBAH PENDEKATAN

Bimbang potensi pelajar terbantut disebabkan tidak dapat mengikuti pembelajaran secara sempurna, Dr Anuar menyarankan agar pelaksanaan PdPR diubah daripada berbentuk sistem persekolahan kepada sistem pembelajaran, iaitu tidak ada lagi konsep kehadiran kelas secara seragam sebaliknya menekankan aspek 'engagement' atau pembabitan mengikut keperluan dan kemampuan pelajar.

"Keutamaan kini seharusnya diberikan kepada subjek teras sahaja bagi mengurangkan stres kepada murid dan guru, di samping mengurangkan bilangan subjek tertentu yang tidak penting. Ini dalam masa yang sama dapat merawat 'learning burnout' yang sedang berlaku dalam kalangan murid kita," jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar kaedah PdPR diuruskan secara lebih profesional dan teratur, iaitu semua maklumat aktiviti dan rekod pelaporan PdPR dipusatkan ke dalam satu sistem yang mudah diakses oleh semua pihak berkepentingan.

WUJUDKAN e-SEKOLAH

"Saya cadangkan supaya kita wujudkan satu web atau aplikasi e-Sekolah sebagai pusat segala aktiviti PdPR. Boleh mulakan di sekolah masing masing. Ini adalah sekolah maya (hanya fokus pada urusan PdPR). Wujudkan 'dashboard' yang mudah digunakan agar ibu bapa dan pelajar boleh menggunakan e-Sekolah. Ramai guru yang mahir bangunkan laman web. Ada juga ibu bapa yang boleh bantu bangunkan web ini, malah jika boleh dibangunkan dalam bentuk aplikasi lebih baik.

"Dalam web yang sama, kita juga boleh wujudkan 'button dashboard' mengikut mata pelajaran dan tingkatan. Pengumuman guru boleh dibuat mengikut kumpulan PdPR. Pelajar atau ibu bapa hanya perlu tekan 'button' nama guru untuk dapatkan maklumat atau apa juga makluman berkaitan aktiviti PdPR anak-anak mereka.

"Selepas selesai pengajaran secara dalam talian atau buat rakaman video untuk 'offline', guru-guru boleh masukkan pautan video pengajaran mereka dan soalan latihan dalam 'dashboard' berserta tarikh penghantaran. Berikan tempoh yang sesuai untuk pelajar menjawab soalan latihan. Jika murid-murid masih kurang faham mereka boleh ulang tonton video pengajaran guru. Masukkan juga pautan sumber-sumber tambahan pembelajaran untuk setiap topik. Jika sekolah menggunakan platform Google Classroom (GC), maka masukkan semua pautan GC dalam web e-Sekolah," cadang beliau.

Jelas beliau, e-Sekolah juga membolehkan pelajar berkongsi pautan video aktiviti harian mereka dengan rakan sekelas.

"e-Sekolah boleh menjadi alat membina persahabatan antara mereka sekalipun tidak hadir di sekolah," katanya yang berharap saranan itu dapat mengurangkan beban dan 'burnout' yang terpaksa ditanggung pihak berkenaan, khususnya murid, guru dan ibu bapa akibat kekangan dalam PdPR, serta mengembalikan semula semangat belajar dan membaca murid.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan berkata pemerhatian pihaknya mendapati semakin ramai guru berjaya menguasai kemahiran PdPR, selain ada antara mereka mempamerkan kreativiti dalam pengajaran.

"Kita gunakan PdPR demi keselamatan anak murid kita. Di sinilah kita lihat terserlah pelbagai cara kreatif guru dalam melaksanakan PdPR. Tapi nanti, jika sekolah dibuka (semula), guru-guru sebagai profesional sudah tentu akan terus memikirkan cara untuk menjalankan intervensi lain di samping langkah pemulihan bagi membantu anak didik," katanya.

Pada masa sama, Tan meminta KPM agar terus berganding bahu dengan masyarakat, khususnya persatuan ibu bapa dan guru, bagi mencari jalan terbaik dalam memastikan pelajar mempunyai akses yang mudah untuk berhubung dengan guru.

BERNAMAONLINE

Tuesday, 3 August 2021

AKTIVITI KOKURIKULUM MASIH RELEVAN SEIRING PdPR


RAMAI ibu bapa tertanya-tanya adakah kegiatan kokurikulum masih relevan ketika murid mengikuti pembelajaran secara dalam talian? Bukankah sebaiknya, tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ditumpukan kepada capaian akademik sahaja?

Hal ini disebabkan kokurikulum adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah. Ia bertujuan membantu murid menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran serta nilai murni yang dipelajari di dalam kelas.

Secara asasnya, penyertaan kegiatan kokurikulum di sekolah memerlukan pembabitan murid secara wajib dalam aktiviti sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta pasukan pakaian seragam.

Penyertaan kegiatan kokurikulum ini secara dasarnya membabitkan aspek kognitif, afektif dan psikomotor murid yang mengandungi elemen pengetahuan, pengalaman dan kemahiran baharu serta nilai-nilai murni.

Pandemik COVID-19 membuka revolusi baharu dalam sistem pendidikan dengan seribu satu cabaran antaranya isu liputan jaringan komunikasi.

Namun, semua cabaran ini alasan untuk menidakkan pelaksanaan kegiatan kokurikulum sewaktu musim PdPR. Hal ini perlu disedari kerana kombinasi pencapaian akademik dan kegiatan kokurikulum akan melahirkan murid yang bercirikan ketinggian ilmu pengetahuan dan akal budi.

Justeru, keperluan ini perlu dipenuhi oleh guru bagi mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebarang isu dan cabaran dalam pelaksanaan kegiatan kokurikulum melalui PdPR ini perlulah diurus dan diselesaikan dengan sebaiknya melalui persefahaman antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Pentingnya persefahaman ibu bapa

Persefahaman antara sekolah dan ibu bapa ini akan membantu kegiatan kokurikulum secara PdPR dapat diterjemahkan sehampir mungkin dengan pelaksanaannya sebelum ini.

Sekiranya kerjasama itu tidak tercapai dan aktiviti kokurikulum diabaikan, besar kemungkinan akan mewujudkan kepincangan dari sudut pembentukan insan seimbang. Ia susulan daripada ketidaksetaraan penekanan terhadap perkembangan mental dan perkembangan rohani murid. Selain itu, murid akan kurang kemahiran berkomunikasi dan pergaulan sesama rakan sebaya yang menyebabkan lenyapnya nilai kepimpinan, kebolehan membuat keputusan, kreativiti, kerjasama dan perpaduan.

Lebih teruk, pengabaian akan memadamkan minat serta bakat juga potensi mereka untuk terbabit dengan kegiatan di luar silibus peperiksaan. Kekurangan ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada pembentukan disiplin murid.

Hal ini kerana nilai murni yang sepatutnya diterap melalui aktiviti dalam pasukan pakaian seragam tidak dilaksanakan atas alasan kesukaran melaksanakan PdPR.

Sebenarnya, kita boleh melihat kegiatan kokurikulum sebagai medium untuk menghilangkan tekanan murid kerana ia bersifat merentas disiplin, bersepadu dan tidak bersifat eksklusif.

Oleh yang demikian, murid boleh berbincang mengenai pelbagai topik dan pada masa yang sama mengasah bakat dan potensi mereka ke tahap yang lebih cemerlang.

Justeru, walaupun ketika ini sesi persekolahan dijalankan secara PdPR, kegiatan kokurikulum ini sangat relevan dan diperlukan murid sebagai "penyembuh rohani".

Dalam hal inilah, kreativiti guru dalam merangka kaedah pengajaran PdPR kegiatan kokurikulum yang santai, bermaklumat, menarik dan penuh dengan elemen keseronokan sangat dituntut supaya komitmen pelajar akan berterusan dan seterusnya mencapai objektif pelaksanaan kegiatan kokurikulum.

Antara kaedah pengajarannya mungkin membabitkan tayangan video kemahiran sama ada bersumberkan YouTube atau koleksi rakaman guru boleh dijadikan sebagai kandungan pengajaran. Mengambil kira konsep "tiada murid tercicir" guru perlu lebih kreatif dan inovatif serta berupaya untuk memotivasikan murid yang kurang mengambil bahagian.

Tugasan yang dekat dengan kehidupan murid di rumah mungkin boleh dipertimbangkan untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada kerja sekolah. Sebagai contoh, meminta murid merakam kemahiran tendangan leret yang menggunakan gumpalan kertas sebagai bola dan penggunaan baldi bagi menggantikan kon.

Walaupun pengalaman yang diperoleh murid daripada kegiatan kokurikulum secara dalam talian mungkin tidak sebaik pengalaman secara bersemuka namun setidaknya objektifnya dapat dizahirkan oleh guru dan pelajar.

Fenomena global yang melanda dunia pada hari ini memaksa sistem pendidikan kita melalui perubahan drastik yang memberikan autonomi kepada guru untuk merangka pendekatan pengajaran.

Tanggungjawab besar ini perlu dilihat sebagai peluang untuk guru membawa perubahan kepada pendidikan negara melalui inisiatif kreatif memandangkan kita tidak pernah mempunyai pengalaman menghadapi pandemik COVID-19.

Dr Mazuki Mohd Yasim
Penulis adalah Pengerusi Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 2 August 2021

BICARA SANTAI BUKU : KONSEPSUALISASI SEMULA KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM


PROGRAM BICARA SANTAI BUKU 6/2021 Anjuran JAPIM & UPZ IPGKTB

Tajuk Buku :
Konsepsualisasi Semula Kurikulum Pendidikan Islam
Tarikh: 5 Ogos 2021 (Khamis)
Masa: 9.00 pagi- 11.00 pagi
Panel :
Dr. Noor Hisham bin Md Nawi
Fakuti Pengajian Bahasa & Pembangunan Insan
Universiti Malaysia Kelantan
Moderator :
Dr. Ahmad Sukari bin Mohamad
Jabatan Perancangan Penyelidikan & Inovasi
IPGK Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Kehadiran akan direkodkan dalam SPLKPM.
Semua dijemput hadir