Tuesday, 3 August 2021

AKTIVITI KOKURIKULUM MASIH RELEVAN SEIRING PdPR


RAMAI ibu bapa tertanya-tanya adakah kegiatan kokurikulum masih relevan ketika murid mengikuti pembelajaran secara dalam talian? Bukankah sebaiknya, tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ditumpukan kepada capaian akademik sahaja?

Hal ini disebabkan kokurikulum adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah. Ia bertujuan membantu murid menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran serta nilai murni yang dipelajari di dalam kelas.

Secara asasnya, penyertaan kegiatan kokurikulum di sekolah memerlukan pembabitan murid secara wajib dalam aktiviti sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta pasukan pakaian seragam.

Penyertaan kegiatan kokurikulum ini secara dasarnya membabitkan aspek kognitif, afektif dan psikomotor murid yang mengandungi elemen pengetahuan, pengalaman dan kemahiran baharu serta nilai-nilai murni.

Pandemik COVID-19 membuka revolusi baharu dalam sistem pendidikan dengan seribu satu cabaran antaranya isu liputan jaringan komunikasi.

Namun, semua cabaran ini alasan untuk menidakkan pelaksanaan kegiatan kokurikulum sewaktu musim PdPR. Hal ini perlu disedari kerana kombinasi pencapaian akademik dan kegiatan kokurikulum akan melahirkan murid yang bercirikan ketinggian ilmu pengetahuan dan akal budi.

Justeru, keperluan ini perlu dipenuhi oleh guru bagi mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebarang isu dan cabaran dalam pelaksanaan kegiatan kokurikulum melalui PdPR ini perlulah diurus dan diselesaikan dengan sebaiknya melalui persefahaman antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Pentingnya persefahaman ibu bapa

Persefahaman antara sekolah dan ibu bapa ini akan membantu kegiatan kokurikulum secara PdPR dapat diterjemahkan sehampir mungkin dengan pelaksanaannya sebelum ini.

Sekiranya kerjasama itu tidak tercapai dan aktiviti kokurikulum diabaikan, besar kemungkinan akan mewujudkan kepincangan dari sudut pembentukan insan seimbang. Ia susulan daripada ketidaksetaraan penekanan terhadap perkembangan mental dan perkembangan rohani murid. Selain itu, murid akan kurang kemahiran berkomunikasi dan pergaulan sesama rakan sebaya yang menyebabkan lenyapnya nilai kepimpinan, kebolehan membuat keputusan, kreativiti, kerjasama dan perpaduan.

Lebih teruk, pengabaian akan memadamkan minat serta bakat juga potensi mereka untuk terbabit dengan kegiatan di luar silibus peperiksaan. Kekurangan ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada pembentukan disiplin murid.

Hal ini kerana nilai murni yang sepatutnya diterap melalui aktiviti dalam pasukan pakaian seragam tidak dilaksanakan atas alasan kesukaran melaksanakan PdPR.

Sebenarnya, kita boleh melihat kegiatan kokurikulum sebagai medium untuk menghilangkan tekanan murid kerana ia bersifat merentas disiplin, bersepadu dan tidak bersifat eksklusif.

Oleh yang demikian, murid boleh berbincang mengenai pelbagai topik dan pada masa yang sama mengasah bakat dan potensi mereka ke tahap yang lebih cemerlang.

Justeru, walaupun ketika ini sesi persekolahan dijalankan secara PdPR, kegiatan kokurikulum ini sangat relevan dan diperlukan murid sebagai "penyembuh rohani".

Dalam hal inilah, kreativiti guru dalam merangka kaedah pengajaran PdPR kegiatan kokurikulum yang santai, bermaklumat, menarik dan penuh dengan elemen keseronokan sangat dituntut supaya komitmen pelajar akan berterusan dan seterusnya mencapai objektif pelaksanaan kegiatan kokurikulum.

Antara kaedah pengajarannya mungkin membabitkan tayangan video kemahiran sama ada bersumberkan YouTube atau koleksi rakaman guru boleh dijadikan sebagai kandungan pengajaran. Mengambil kira konsep "tiada murid tercicir" guru perlu lebih kreatif dan inovatif serta berupaya untuk memotivasikan murid yang kurang mengambil bahagian.

Tugasan yang dekat dengan kehidupan murid di rumah mungkin boleh dipertimbangkan untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada kerja sekolah. Sebagai contoh, meminta murid merakam kemahiran tendangan leret yang menggunakan gumpalan kertas sebagai bola dan penggunaan baldi bagi menggantikan kon.

Walaupun pengalaman yang diperoleh murid daripada kegiatan kokurikulum secara dalam talian mungkin tidak sebaik pengalaman secara bersemuka namun setidaknya objektifnya dapat dizahirkan oleh guru dan pelajar.

Fenomena global yang melanda dunia pada hari ini memaksa sistem pendidikan kita melalui perubahan drastik yang memberikan autonomi kepada guru untuk merangka pendekatan pengajaran.

Tanggungjawab besar ini perlu dilihat sebagai peluang untuk guru membawa perubahan kepada pendidikan negara melalui inisiatif kreatif memandangkan kita tidak pernah mempunyai pengalaman menghadapi pandemik COVID-19.

Dr Mazuki Mohd Yasim
Penulis adalah Pengerusi Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment