KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran menangguh dulu pembukaan sekolah untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini dengan memberi tumpuan kepada membangunkan pelan pemulihan pendidikan negara secara menyeluruh.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata pelan itu boleh menjadi sumber utama kepada semua usaha dan tindakan kerajaan dalam memulihkan kembali sistem pendidikan negara yang 'rosak teruk' akibat pandemik COVID-19 sepanjang tempoh dua tahun ini.
Katanya, sekolah hanya wajar dibuka semula selepas pelan itu diluluskan Parlimen yang akan diselaraskan dengan Bajet 2022 untuk sektor pendidikan.
"Tanpa kelulusan Parlimen, pembukaan semula sekolah adalah tindakan yang tidak memberikan kesan positif secara menyeluruh kepada proses pendidikan, khususnya dalam usaha memulihkan kembali keciciran pembelajaran dalam kalangan murid.
"Ia perlu disusuli prinsip dan agenda khusus bagi pemulihan pendidikan melalui penambahbaikan proses penyampaian sistem pendidikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM dalam satu kenyataan pada 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.
Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Anuar berkata, sekurang-kurangnya tiga agenda besar perlu diutamakan seperti memulihkan keciciran murid, meningkatkan pendigitalan pendidikan, mengubahsuai dan menambah prasarana atau infrastruktur pendidikan di sekolah.
"Begitu juga semakan kurikulum yang sedia ada. Contohnya, kurikulum dan amalan pembelajaran yang mementingkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan kebersihan perlu dijadikan satu daripada program dalam agenda pemulihan pendidikan negara.
"Satu daripada agenda penting dalam pelan pemulihan adalah pengurusan keciciran pembelajaran dialami murid sejak dua tahun lalu, khususnya murid Tahap Satu sekolah rendah.
"Begitu juga murid di kelas peralihan sekolah menengah. KPM perlu menyediakan program khas bagi membantu murid 'rentan pendidikan', terutama mereka daripada keluarga miskin dan B40," katanya.
Beliau berkata, KPM juga perlu memulakan program pembelajaran hibrid sebagai agenda utama penambahbaikan dalam pelan pemulihan dengan menambah baik akses internet di seluruh negara dan menyegerakan pemilikan peranti dalam kalangan murid.
"Perkenalkan secara meluas kemahiran pedagogi digital seperti sibergogi, heutagogi dan gamifikasi kepada guru untuk menjayakan pembelajaran hibrid," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment