Thursday, 12 August 2021

KPM DIHARAP TANGGUH BUKA SEKOLAH 1 SEPTEMBER


SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) diharap dapat mengkaji semula cadangan pembukaan sekolah secara bersemuka pada 1 September ini berikutan kes COVID-19 yang masih tinggi di negara ini.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata majoriti ibu bapa melahirkan kebimbangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah ketika penularan wabak itu belum menunjukkan pengurangan ketara.

Jika KPM kekal dengan keputusan pembukaan sekolah September ini, katanya, beberapa langkah wajar diambil, termasuk usaha memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP), selain menyelesaikan vaksinasi warga sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus.

PRESIDEN Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan. 

"Kami berharap KPM dapat mempertimbangkan dan mengkaji semula tarikh pembukaan sekolah memandangkan kes COVID-19 yang melepasi angka 20,000 ketika ini.

"Pandangan pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), wajar diperoleh mengenai perkara ini. Jika kes semakin meningkat, ia membimbang dan merisaukan ibu bapa untuk hantar anak ke sekolah," katanya, hari ini.

Beliau berkata pembukaan sekolah wajar ditangguh ke suatu tarikh yang bersesuaian sehingga menyakinkan semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar.

"Kami berharap KPM dapat membuat keputusan yang jelas dan tepat berdasarkan data dan sains. Sebaiknya perlu ada pelan dan agenda yang jelas jika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) perlu dilanjutkan sehingga hujung tahun untuk mengelak keciciran murid dan mengatasi kelesuan motivasi ketika PdPR," katanya.

Langkah lain yang perlu diambil jika pembukaan sekolah kekal seperti dijadualkan September ini, katanya, termasuk vaksinasi ibu bapa pelajar tahun peperiksaan membabitkan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sudah mencapai usia 18 tahun.

"Perlu juga membentangkan SOP khas untuk pelajar belum menerima vaksin yang berada di dalam dan luar kawasan sekolah," katanya.

Azizee berkata, pembukaan sekolah secara berfasa dengan keutamaan kepada sekolah di luar bandar dan pendalaman yang kurang murid serta di kawasan hijau dan kadar penerimaan vaksinnya melebihi had imuniti kelompok, wajar juga diambil kira.

Selain itu, katanya, melaksanakan penggiliran murid ke sekolah mengikut keutamaan seperti prasekolah dan Tahap 1 perlu diberikan keutamaan bagi menangani isu penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Katanya lagi, kuasa autonomi wajar diberikan kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam menentukan apa yang terbaik untuk sekolah dari sudut pembukaan dan pelaksanaan pengajaran ini.

"Tambahan pula, sudah ada petunjuk kes baharu harian COVID-19 yang semakin turun di sesetengah negeri dan tempat hingga ke paras munasabah untuk dibenarkan sekolah dibuka semula," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment