Thursday 24 March 2022

PdP BERORIENTASI MASA DEPAN TERAS PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (depan dua dari kanan) bersama penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara Academician Professor Datin Paduka Dr Khatijah Mohamad Yusoff (kanan) dari UPM dan Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail (tiga, kiri) dari Universiti Sains Malaysia pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN)

SEPANG: Pengajaran dan pembelajaran (PdP) berorientasikan masa hadapan perlu menjadi teras pendidikan tinggi nasional, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata ia berikutan ketika ini berlaku perubahan drastik dalam proses PdP di semua peringkat pendidikan formal.

Malah, beliau berkata, konsep Inisiatif Pembelajaran Masa Depan bukan lagi sesuatu yang aneh di institusi pendidikan tinggi negara ini.

"Semakin ramai ahli sarjana Keluarga Malaysia, tidak kira usia dan kepakaran masing-masing sedang meneroka dan mengaplikasikan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkehadapan, agar mahasiswa kita tidak ketinggalan dengan arus pemodenan drastik dalam pendidikan tinggi yang melanda dunia.

"Dengan cabaran yang dibawa oleh proses revolusi industri, masalah berkaitan pandemik global dan bermacam lagi tembok halangan, institusi pendidikan tinggi tempatan hari ini menjadi medan penentu jatuh atau bangunnya perantis ilmuwan masa hadapan negara," katanya pada Majlis Anugerah Akademik Negara, di Hotel Sama-Sama, di sini, malam ini.

Yang turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, ahli akademik berperanan amat penting dalam mempersiapkan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda, untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2025.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai apa yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) itu, kerajaan akan memastikan usaha bersepadu dilaksana bagi menggalakkan peralihan kepada sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan memenuhi kehendak industri.

Beliau berkata, antara langkah yang dilaksanakan termasuk mempelbagaikan laluan pendidikan dan latihan, menawarkan program 'trans-disciplinary' dan menyusun semula program sedia ada untuk menerapkan pendekatan yang lebih inovatif.

"Ia akan membolehkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) menawarkan lebih banyak kurikulum yang fleksibel dan dinamik serta boleh dikemas kini dan disesuaikan mengikut permintaan industri," katanya.

Perdana Menteri berkata, Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga akan diberikan penekanan penting dan dijadikan sebagai pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua untuk pelajar yang tidak berjaya dalam bidang akademik.

Oleh itu, beliau berkata, daya tarikan serta kualiti penyampaian dan latihan TVET akan dipertingkatkan melalui penambahbaikan akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) juga akan terus digalakkan untuk mempertingkat pendidikan keusahawanan bagi membudayakan nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar.

"Ahli akademik juga perlu melengkapkan diri seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 yang memperkenalkan kaedah baharu dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, internet mudah alih berkelajuan tinggi, analitis data raya (BDA) dan internet benda (IoT) yang akan memberi kesan kepada pendidikan dan latihan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pengiktirafan melalui Anugerah Akademik Negara (AAN) yang diberikan setiap tahun kepada ahli-ahli akademik tersohor negara atas usaha mereka membudayakan ilmu di peringkat tertinggi, selari dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan tinggi pilihan di Asia terutamanya di Asia Tenggara.

Terdahulu, Noraini ketika berucap, berkata ahli akademik amat diperlukan yang bukan sahaja berkualiti tetapi komited untuk membangunkan kompetensi profesional masing-masing dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Beliau berkata, mereka perlu bersifat inovatif untuk menguasai teknologi serta menghasilkan kandungan PdP yang berkesan tatkala mendepani dunia PdP secara digital ketika ini.

Katanya, dengan bakat dan kualiti yang ada pada ahli-ahli akademik negara, sektor pendidikan tinggi negara akan dapat ditingkatkan tahun demi tahun.

Anugerah Tokoh Akademik Negara tahun ini diberikan kepada Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Profesor Datin Paduka Dr Khatijah Mohamad Yusoff dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment