SEPANG, 24 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengajaran dan pembelajaran (PdP) berorientasikan masa hadapan perlu menjadi teras pendidikan tinggi nasional.
Berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara di sini malam ini, beliau berkata perubahan drastik terus berlaku dalam proses PdP pada semua peringkat pendidikan formal ketika ini, malah konsep ‘Inisiatif Pembelajaran Masa Hadapan’ tidak lagi menjadi sesuatu yang aneh di institusi pendidikan tinggi negara ini.
“Semakin ramai ahli sarjana Keluarga Malaysia, tidak kira usia dan kepakaran, masing-masing sedang meneroka dan mengaplikasikan teknologi PdP terkehadapan, agar mahasiswa kita tidak ketinggalan dengan arus pemodenan drastik dalam pendidikan tinggi yang melanda dunia.
Dengan cabaran yang dibawa oleh proses revolusi industri, masalah berkaitan pandemik global dan bermacam lagi tembok halangan, institusi pendidikan tinggi tempatan hari ini menjadi medan penentu jatuh atau bangunnya perantis ilmuwan masa hadapan negara," katanya.
Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan memastikan usaha bersepadu dilaksanakan bagi menggalak peralihan kepada sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan memenuhi kehendak industri.
Usaha bersepadu itu termasuk mempelbagaikan laluan pendidikan dan latihan, menawarkan program transdisiplin dan menyusun semula program sedia ada untuk menerapkan pendekatan yang lebih inovatif, katanya.
“Ia akan membolehkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menawarkan lebih banyak kurikulum yang fleksibel dan dinamik serta boleh dikemas kini dan disesuaikan mengikut permintaan industri,” katanya.
Beliau berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diberikan penekanan penting dan dijadikan sebagai pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua untuk pelajar yang tidak berjaya dalam bidang akademik.
“Daya tarikan serta kualiti penyampaian dan latihan TVET akan dipertingkatkan melalui penambahbaikan akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan.
IPT juga akan terus digalakkan untuk mempertingkat pendidikan keusahawanan bagi membudayakan nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Perdana Menteri berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus berusaha membangunkan bakat-bakat akademik dan melaksanakan inisiatif pembangunan kesarjanaan yang holistik.
“Bakat dan kesarjanaan ini pula perlu mencakupi kepelbagaian bidang ilmu atau pelbagai disiplin sebagai persediaan untuk menghadapi masa hadapan yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata ahli akademik juga perlu melengkapkan diri seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 yang memperkenalkan kaedah baharu dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, internet mudah alih berkelajuan tinggi, analisis data raya (BDA) dan Internet benda (IoT) yang akan memberi kesan kepada pendidikan dan latihan.
“Peranan ahli akademik amat penting bagi menyiapkan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2025 seperti mana yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.
“Kerajaan sentiasa mendukung usaha-usaha ke arah menggilap bakat ahli-ahli akademik tempatan melalui pelbagai aktiviti termasuklah pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan ilmiah dan penulisan media massa,” katanya.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment