Thursday, 30 March 2023

KPM KENAL PASTI ENAM SUBJEK TERAS KEKURANGAN GURU DI SEKOLAH



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengenal pasti enam subjek teras yang memerlukan tambahan bilangan guru di sekolah setakat 28 Februari lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata mata pelajaran berkenaan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni Visual serta Sejarah.

"Kita tahu kenyataan ini bahawa terdapat kekurangan guru, seperti saya nyatakan sebelum ini KPM telah laksanakan pengambilan guru sebanyak 22,327 guru melalui kaedah one-off dan kluster mata pelajaran bagi tempoh 2021 hingga Januari 2023.

"Bagaimanapun, kita ada perancangan untuk melakukan pengambilan guru pada April hingga Jun ini, kita akan ambil guru dari universiti luar," katanya menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai kekurangan guru sekolah bagi subjek pendidikan teras dan perancangan KPM bagi meningkatkan pengambilan jumlah guru baharu.

Sementara itu, Hui Ying berkata pengambilan guru adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran semasa.

"Jadi mungkin ada sesetengah graduan yang tidak dapat menjadi guru, tidak dipanggil temu duga, ini adalah disebabkan opsyen (mata pelajaran) itu berlainan dengan apa kita perlukan di KPM," katanya.

Menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai nasib graduan yang gagal temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Hui Ying berkata graduan boleh memohon semula melalui mySPP selepas tempoh enam bulan dari tarikh keputusan dikeluarkan di portal rasmi SPP.

Katanya, calon yang masih tidak berjaya boleh terus memohon sehingga mencapai umur 45 tahun.

BERITA HARIAN ONLINE

TEACHERS = COUNSELLORS?

Monday, 27 March 2023

16,886 HINGGA 20,081 GURU BAHARU SEPANJANG 2023-2027

Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan unjuran pengambilan 16,886 hingga 20,081 guru baharu bagi tahun ini hingga 2027 dalam usaha mengurangkan beban guru sedia ada di sekolah rendah dan menengah ketika ini.


KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan unjuran pengambilan 16,886 hingga 20,081 guru baharu sekolah KPM bagi tahun ini hingga 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata penyediaan unjuran bagi tempoh itu berdasarkan data pada 31 Disember 2022, bertujuan mengurangkan beban guru, membabitkan sekolah menengah dan sekolah rendah.

"KPM akan sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

"Urusan pengambilan ini akan berterusan bagi tahun ini dan seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah," katanya menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh 2021 hingga Januari lalu, KPM sudah melaksanakan pengambilan 22,327 guru, membabitkan 148 bidang pengkhususan melalui kaedah 'one-off' dan kluster mata pelajaran sebagai strategi untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

"Beberapa bidang pengkhususan diberi perhatian, antaranya adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing), beliau berkata, KPM sentiasa prihatin terhadap tahap penguasaan akademik murid sekolah rendah dan menengah, khususnya di kawasan luar bandar, kesan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, KPM melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.

Katanya, pada peringkat sekolah rendah, KPM memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi atau Primary Literacy and Numeracy (PLaN) untuk memastikan murid menguasai sekurang-kurangnya tahap minimum (Tahap Penguasaan 3).

"Modul latihan intervensi berfokus dan terbeza (MoLIB) dan Schemes of Work (SOW) juga disediakan untuk kegunaan guru bagi menangani isu penguasaan 3M dalam kalangan murid.

"Selain itu, PLaN juga menyediakan bahan bantu belajar murid serta item pentaksiran untuk menyokong pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)," katanya.

Selain itu, Hui Ying berkata, KPM juga memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Kita akan tumpukan untuk bantu sekolah daif di skala enam dan tujuh, terutama di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai bangunan sekolah daif yang banyak.

"Lebih 79 peratus sekolah daif yang dikenal pasti KPM adalah di Sabah dan Sarawak.

"Kita memang sudah ada perancangan untuk membina bangunan gantian bagi sekolah daif yang sudah dikenal pasti ini," katanya.



BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 26 March 2023

DASAR PENDIDIKAN DIGITAL DALAM PROSES DIMUKTAMADKAN

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (empat dari kiri) menandatangani plak perasmian pada majlis Pelancaran Projek 'Smart Classroom' Yayasan AEON Malaysia dan Yayasan Didik Negara di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang di sini. Turut bersama Pengerusi Yayasan AEON Malaysia, Datin Noryahwati Mohd Noh (tiga dari kanan)

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) kini berada pada peringkat akhir memuktamadkan Dasar Pendidikan Digital yang akan menjadi elemen penting dalam pengajaran dan pembelajaran murid di negara ini pada masa depan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya memerlukan sedikit masa lagi sebelum membentangkan dasar itu di Parlimen tidak lama lagi.

"Saya percaya apabila kita bentang dasar itu nanti ia akan melengkapkan keseluruhan ekosistem pendidikan khususnya pendidikan digital negara.

"Ia juga akan memberi maanfaat yang cukup besar kepada negara dan kita perlu mengambil sedikit masa lagi untuk muktamadkan sebelum dasar itu dapat dibentangkan.

"Kita jangka (bentang) dalam masa terdekat. Insya-Allah kita cuba sedaya upaya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek kelas pintar di Sekolah Kebangsaan Mengkuang di sini, hari ini.

Terdahulu Yayasan AEON Malaysia (MAF) dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN) yang merupakan yayasan di bawah KPM melancarkan projek kelas pintar bagi membantu murid mendapatkan suasana pembelajaran terkini dan berkualiti.

Yang turut hadir, Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin; Presiden MAF, Datin Noryahwati Mohamad Noh; Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif YDN, Hardian Hadir.

Fadhlina berkata projek itu membabitkan 40 sekolah dengan antara kriteria penting yang dipertimbangkan adalah ia mestilah sekolah yang mempunyai majoriti murid B40.

"Pelancaran progam yang sangat penting dengan kerjasama MAF bersama YDN ini telah mendapat dukungan penuh KPM dan saya difahamkan pihak MAF akan meneruskan program ini dari semasa ke semasa.

"Kami di KPM mengalu-alukan kerjasama sebegini khususnya untuk komuniti pendidikan yang memberi manfaat kepada anak-anak," katanya.

MAF telah memperuntukkan sejumlah RM2 juta untuk projek kelas pintar membabitkan 23,000 murid yang akan dilaksanakan di 40 sekolah menengah kebangsaan dan sekolah kebangsaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kelantan.

Projek itu membabitkan kerja menaik taraf infrastruktur serta kemudahan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif termasuk menyediakan papan putih interaktif, penghawa dingin, perabot dan peralatan lain untuk bilik darjah.



BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 23 March 2023

KPM KAJI WUJUDKAN PEMBANTU GURU, ATASI BEBAN TUGAS CIKGU

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan yang perlu digalas guru ketika ini.

Selain itu, Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, berkata KPM juga melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan tahun ini.

Beliau berkata, antara langkah berkenaan termasuk memansuhkan pertandingan, sambutan atau majlis pada semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid dan pelaksanaan penilaian kendiri sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2023 yang membabitkan guru kepada setahun sekali saja.

"Selain itu, kita juga melaksanakan penetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel dalam sistem e-kehadiran sekolah KPM iaitu jam 12 tengah hari untuk sesi pagi dan jam 5 petang untuk sesi petang; pelantikan pengawas peperiksaan awam terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pengajian tinggi.

"Penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan dihadkan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah saja. Selain itu, autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah diperkukuh dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Arman Azha Abu Hanifah mengenai rangka perancangan kementerian bagi menyelesaikan permasalahan beban kerja guru yang membawa kepada persaraan awal golongan pendidik, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Hui Ying berkata, tindakan guru bersara awal akan mengurangkan tenaga guru berpengalaman, namun perkara itu tidak dapat dihalang kerana ia hak setiap guru.

"Kita tidak boleh memaksa untuk mereka terus berkhidmat, namun KPM akan cuba sedaya-upaya menggalakkan guru terus mengajar sehingga tibanya waktu mereka bersara wajib pada usia 60 tahun," katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 21 March 2023

KPM TELITI KEMBALI MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN JANUARI - FADHLINA

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti cadangan mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula Januari berbanding Mac ketika ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, bagaimanapun berkata perkara itu masih belum boleh dilaksanakan pada tahun hadapan memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi berdasarkan pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

"Perubahan semula kalendar akademik persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina berkata, sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 masih dikekalkan pada Mac untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021.

Katanya, peraturan ini menetapkan jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang 190 hari.

"KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

KPM pada 2021 mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun itu dilanjutkan sehingga Februari 2022, dengan sesi persekolahan baharu akan bermula Mac.

Sebelum itu, kali terakhir sesi persekolahan baharu diubah secara drastik pada 1991 apabila ia diawalkan daripada Januari ke Disember bagi mengelak tarikh peperiksaan SPM dan STPM bertembung banjir besar yang biasa melanda Pantai Timur pada November dan Disember.

Perubahan itu dilakukan selepas peperiksaan SPM dan STPM 1988 terpaksa ditangguhkan beberapa minggu berikutan banjir besar yang melanda Kelantan.

Bagaimanapun, pada 1996, permulaan sesi persekolahan baharu dikembalikan kepada asal iaitu bermula Januari selepas mendapat bantahan pelbagai pihak kerana permulaan sesi persekolahan pada Disember dikatakan mengganggu perancangan keluarga untuk bercuti.

Pada 2015, Kementerian Pendidikan juga menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara ketika itu.

BERNAMA ONLINE

Sunday, 19 March 2023

KPM TANGANI ISU KEKURANGAN GURU 4 MATA PELAJARAN

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali mengadakan lawatan di SJK (C) Chung Hwa di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menangani isu kekurangan guru bagi empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata bagaimanapun pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk membuat pengambilan.

Beliau berkata, pada masa sama, KPM juga mencadangkan beberapa kaedah serta sudah mengadakan perbincangan bagi memperhalusi satu persatu keadah yang dicadangkan.

"Dalam masa terdekat, kita akan membuat proses pengambilan dan tawaran untuk guru-guru yang berjaya secara berfasa.

"Insya Allah, kekurangan guru yang sedang dihadapi akan kita tangani peringkat demi peringkat dan sudah tentu ia tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat, sebaliknya memerlukan masa dua atau tiga tahun.

"Kita juga akan bersama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan pihak universiti awam untuk meningkatkan pengambilan pelajar dalam bidang berkenaan," katanya selepas Perasmian Pengoperasian Minggu Pertama Pembukaan Sekolah Sesi Akademi 2023/2024 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada KPM akan mengubah semula takwim sesi persekolahan tahun depan, Pkharuddin berkata, pihaknya tetap berusaha untuk melihat ruang dan peluang untuk tempoh itu diawalkan.

Katanya, takwim persekolahan perlu mengambil kira jumlah hari persekolahan selama 190 hari setahun sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

"Bagaimanapun, mungkin ada kelebihan apabila sesi persekolahan dikekalkan pada Februari atau Mac kerana mungkin Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dielakkan pada musim Monsun Timur Laut.

"Dalam masa sama, tempoh menunggu untuk mendapat keputusan peperiksaan dan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) atau pusat latihan tidak terlalu panjang sekali gus mengelakkan pembaziran waktu," katanya.

Pkharuddin berkata, pihaknya memahami hasrat masyarakat, ibu bapa dan mungkin sebahagian daripada guru yang inginkan suasana pembelajaran bermula pada bulan Januari atas faktor yang tertentu.

"Namun mungkin mengambil sedikit masa serta ruang dan kalau kita hendak ia diawalkan lagi, maka kita perlu korbankan cuti.

"Bagaimanapun cuti ini juga penting untuk memberi rehat kepada pelajar, ibu bapa dan guru, tetapi kalau cuti itu boleh dipendekkan mungkin pada tahun 2024, nanti persekolahan akan bermula awal seminggu berbanding pada tahun ini," katanya.


BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 16 March 2023

FOKUS SELESAIKAN MASALAH ASAS PRASARANA SEKOLAH, KEMUDAHAN KESIHATAN DULU - ANWAR


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan pada tahun ini mengutamakan untuk menyelesaikan masalah infrastruktur sekolah dan kemudahan kesihatan yang begitu mendesak dan menyentuh kehidupan setiap rakyat.

Namun, Perdana Menteri berkata, itu tidak bermakna masalah lain tidak dianggap penting untuk diselesaikan, termasuk mengenai pengangkutan awam dan kesesakan jalan raya, yang mana akan diberi perhatian secara berperingkat pada tahun berikutnya.

"Dengan kekangan kewangan, hutang begitu banyak dan defisit, tentunya kita tidak boleh selesaikan semua masalah dalam masa yang singkat.

"Pada tahun ini, kita nak ambil langkah yang lebih tegas dan berani, belanja yang lebih tinggi untuk selesaikan masalah asas prasarana sekolah, tandas dan kelengkapan awal di sekolah serta klinik kesihatan dan perubatan.

"Sebab itu, dapat dilihat peningkatan yang agak mendadak bagi peruntukan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

"Saya tidak bermaksud untuk meremehkan atau mengurangkan tekanan mengenai aspek ini (pengangkutan) tetapi dalam strategi kita, tentulah apa kita mampu lakukan tahun demi tahun, selain meningkatkan prestasi semua kementerian, saya mahu masalah sekolah di negara kita dan kemudahan kesihatan yang menyentuh semua orang disegerakan, " katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; menteri Kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim.

Perdana Menteri berkata, soal pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas boleh menjejaskan produktiviti rakyat dan negara, yang membawa kepada kerugian kepada pendapatan, justeru akan diberi tumpuan melalui belanjawan tahun depan.

"Terpulang kepada Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan keutamaan. Selain daripada MRT laluan Putrajaya yang dilancarkan hari ini, ada beberapa keperluan lain yang mendesak," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengelak ketirisan dalam proses perolehan membabitkan projek pengangkutan, seperti MRT dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang membabitkan kos berbilion ringgit.

Katanya, kerosakan dan ketirisan bukan hanya membabitkan elit politik tetapi bidang pengurusan di pelbagai peringkat, yang perlu dipantau dengan lebih rapi.

"Jika tidak diurus dengan baik dan telus, ratusan juta itu bocor ke akaun lain, sama ada akaun parti atau perseorangan, yang menyebabkan negara mengalami ketirisan, tapi kalau dapat jimat dengan ketelusan pelaksanaan, kemudahan awam akan dapat diperbaiki," katanya.

Selain itu, beliau turut memberi contoh mengenai sebuah yayasan, yang diminta membuat pendekatan berbeza untuk membantu rakyat di bawah pentadbirannya, berbanding kerajaan sebelum ini.

Katanya, jika sebelum ini yayasan berkenaan menyalurkan wang sebanyak RM200 juta kepada parti politik, namun di bawah Kerajaan Perpaduan, yayasan itu diminta menyerahkan RM60 juta dan 30 peratus keuntungan kepada pesawah padi.

"Jadi, rakyat termasuk petani dan pesawah yang miskin di utara seperti di Kedah dan Seberang Prai serta Selangor boleh buat pilihan.

"Kita mahu pilih satu sistem, di mana wang daripada syarikat besar dialih kepada individu dan tokoh politik atau diserah secara langsung kepada pesawah padi yang miskin," katanya.


BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 15 March 2023

'PERUNTUKAN SEKTOR PENDIDIKAN TIDAK AKAN DIKURANGKAN'

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan peruntukan perbelanjaan pada tahun ini, termasuk penyelenggaraan untuk sekolah tidak akan dikurangkan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata walaupun peruntukan untuk KPM menerusi Belanjawan 2023 belum diluluskan di peringkat jawatankuasa, keperluan sekolah terutama dalam kategori daif tetap menjadi keutamaan.

"Peruntukan perbelanjaan tidak akan dikurangkan, tetapi dari semasa ke semasa, kita punya formula adalah (melihat) kepada keperluan sekolah, melihat kepada keutamaan kita seperti sekolah daif.

"Kemudian kita bagi (pengagihan) peruntukan itu seperti biasa… tiada pengurangan sebab kita nak pastikan sekolah itu selamat, sekolah itu selesa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menjelang sesi baharu persekolahan minggu depan, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan harga makanan di institusi pendidikan itu kerana ia termaktub dalam garis panduan dan terma ditetapkan oleh KPM.

"Sebenarnya isu harga makanan di kantin ini tidak timbul kerana ia berdasarkan garis panduan dan perjanjian antara kantin dan sekolah dan sekiranya terdapat isu terbabit, mereka (pengusaha kantin) boleh merujuk kepada terma itu dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, kita mengambil perhatian mengenai isu kos yang dibangkitkan dan sebagainya tetapi kena berbalik kepada garis panduan itu dan berbincang dengan pihak sekolah," katanya.

Ditanya sama ada KPM mempunyai perancangan untuk menyelaras harga makanan di kantin sekolah, Fadhlina berkata, ruang perbincangan itu terbuka namun perlu melihat kepada kontrak dan terma antara kantin serta sekolah.

"Kita dari semasa ke semasa melihat kontrak dan terma antara kantin dan sekolah. Seperti yang saya sebut tadi, ada ruang perbincangan itu dan kalau ada keperluan untuk selaras, kita akan lihat dari semasa ke semasa.

"Cuma untuk sekarang, setiap sekolah sudah ada perjanjian tersendiri, ia berdasarkan lokaliti dan sekolah berkenaan, jadi pandangan itu kita ambil perhatian cuma ruang itu adalah antara sekolah dan pihak kantin," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE