Monday, 27 March 2023

16,886 HINGGA 20,081 GURU BAHARU SEPANJANG 2023-2027

Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan unjuran pengambilan 16,886 hingga 20,081 guru baharu bagi tahun ini hingga 2027 dalam usaha mengurangkan beban guru sedia ada di sekolah rendah dan menengah ketika ini.


KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan unjuran pengambilan 16,886 hingga 20,081 guru baharu sekolah KPM bagi tahun ini hingga 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata penyediaan unjuran bagi tempoh itu berdasarkan data pada 31 Disember 2022, bertujuan mengurangkan beban guru, membabitkan sekolah menengah dan sekolah rendah.

"KPM akan sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

"Urusan pengambilan ini akan berterusan bagi tahun ini dan seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah," katanya menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh 2021 hingga Januari lalu, KPM sudah melaksanakan pengambilan 22,327 guru, membabitkan 148 bidang pengkhususan melalui kaedah 'one-off' dan kluster mata pelajaran sebagai strategi untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

"Beberapa bidang pengkhususan diberi perhatian, antaranya adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing), beliau berkata, KPM sentiasa prihatin terhadap tahap penguasaan akademik murid sekolah rendah dan menengah, khususnya di kawasan luar bandar, kesan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, KPM melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.

Katanya, pada peringkat sekolah rendah, KPM memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi atau Primary Literacy and Numeracy (PLaN) untuk memastikan murid menguasai sekurang-kurangnya tahap minimum (Tahap Penguasaan 3).

"Modul latihan intervensi berfokus dan terbeza (MoLIB) dan Schemes of Work (SOW) juga disediakan untuk kegunaan guru bagi menangani isu penguasaan 3M dalam kalangan murid.

"Selain itu, PLaN juga menyediakan bahan bantu belajar murid serta item pentaksiran untuk menyokong pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)," katanya.

Selain itu, Hui Ying berkata, KPM juga memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Kita akan tumpukan untuk bantu sekolah daif di skala enam dan tujuh, terutama di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai bangunan sekolah daif yang banyak.

"Lebih 79 peratus sekolah daif yang dikenal pasti KPM adalah di Sabah dan Sarawak.

"Kita memang sudah ada perancangan untuk membina bangunan gantian bagi sekolah daif yang sudah dikenal pasti ini," katanya.



BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment