Monday, 8 January 2024

MURID PERLU DIASINGKAN KELAS IKUT KEMAMPUAN

Foto hiasan

PADA 2019 lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan sepenuhnya sistem pengasingan kelas bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Sejak itu, tiada lagi istilah kelas hadapan atau belakang sebaliknya semua murid diagihkan sama rata tanpa mengira tahap pencapaian mereka dalam pelajaran.

Meskipun ramai melihat ia hal positif selari dengan PdP yang tidak lagi menekan murid dengan peperiksaan, namun terdapat sebahagian guru dan pakar pendidikan meminta ia disemak semula. Hal disebabkan PdP sukar dilaksanakan kerana aras murid tidak sekata dan memaksa guru menyediakan bahan berbeza untuk murid memiliki kefahaman laju, sederhana dan perlahan.

Keadaan ini melambatkan proses pembelajaran malah ada murid yang asalnya rajin dan pintar menjadi malas serta keputusan peperiksaan mereka merudum.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Siti Rahaimah Ali, berpandangan hasrat KPM mencampurkan murid mengikut pelbagai aras kecerdasan di dalam sebuah bilik darjah ada baik dan buruknya.

Katanya, positifnya situasi percampuran murid menjadi pemudah cara PdP berasaskan kaedah pembelajaran koperatif iaitu sistem tolong-menolong iaitu murid lemah diharap akan dibantu oleh rakan yang cemerlang.

Hal ini katanya menyumbang sesi PdP yang lebih teratur dan memudahkan pihak guru dalam melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) selain selari dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) yang menekankan konsep komunikasi dan kolaboratif dalam kumpulan kecil.

"Murid tidak perlu diasingkan mengikut kelas seperti sebelum ini kerana pembelajaran murid di sekolah rendah bukan dinilai berdasarkan peperiksaan, namun kini berfokus kepada kefahaman mereka dalam sesuatu topik.

"Kita nak ukur murid dari segi pemahaman topik dan aplikasi konsep bagi setiap mata pelajaran.

"Pada usia yang muda, mereka perlu dididik untuk lebih memahami apa yang dipelajari dan bagaimana ilmu itu boleh dimanfaatkan," katanya.

Katanya, keberkesanan sesuatu polisi KPM mengambil masa untuk dilihat. Bagaimanapun, tegasnya dalam hal ini pandangan guru juga harus diambil berat. Hal ini kerana mereka insan yang memainkan peranan utama di dalam kelas dan rungutan dilontarkan golongan itu pastinya berdasarkan pengalaman dan berasas.

Beliau berkata, cara terbaik golongan guru boleh menyampaikan cadangan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang melaksanakan kunjung bantu sepanjang tahun.

"Melalui pemerhatian dan juga bukti yang ditunjukkan oleh guru melalui PdP di dalam kelas mahupun instrumen bertulis atau temu bual, PPD dapat membuat penilaian dengan jelas mengenai jurang antara setiap murid yang ada di dalam kelas dan sama ada pengasingan kelas mengikut keupayaan murid itu relevan atau tidak," katanya.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Pendidikan Dasar dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan dari Universiti Malaya, Dr Abd Razak Zakaria pula berpandangan guru seharusnya diberikan hak untuk menentukan teknik, strategi dan kaedah pengajaran serta pembelajaran mengikut cara dan acuan mereka sendiri.

Beliau berkata, KPM tidak seharusnya campur tangan dalam pelaksanaan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru dalam menentukan hala tuju sekolah dalam mendidik murid.

"Berikan ruang untuk guru menentukan cara pengagihan murid di sekolah selagi ia tidak menyentuh peluang yang sama rata kepada keperluan murid dalam mendapatkan pendidikan.

"Pengagihan kuasa mendidik harus diberikan kepada sekolah dan guru dalam mencorak budaya pembelajaran yang sihat dalam persekitaran kondusif.

"Tidak perlu KPM menentukan cara bagaimana sekolah harus menguruskan murid kerana pentadbir sekolah sudah pun terlatih dalam menentukan cara mana yang terbaik dalam mencorak murid di sekolah," katanya.

Abd Razak berkata, sesuatu polisi yang terlalu mengekang keupayaan sekolah dan guru dalam menentukan hala tuju PdP murid seharusnya dihentikan, seterusnya beri ruang kepada mereka 'berkarya' dengan cara sendiri selagi tidak bertentangan dengan polisi dan matlamat pendidikan.

Tegasnya, globalisasi dalam sektor pendidikan sudah lama berlaku dan polisinya harus mengikut perubahan masyarakat. Namun, setakat ini Malaysia masih tidak mengambil iktibar daripadanya.

"Polisi yang tidak berkembang seharusnya ditinggalkan, misi dan visi pendidikan berubah mengikut keperluan zaman seharusnya melihat sekolah sebagai satu institusi yang bebas daripada pengaruh kuasa dan politik.

"Pentadbir dan guru di sekolah harus diberikan peluang untuk membentuk polisi mereka dalam melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis sebagaimana digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, guru dan pentadbir di sekolah ketika ini dilihat hanya menurut arahan tanpa cuba menyuarakan pendapat yang terpendam dalam kalangan mereka, sedangkan sebarang bantahan atau pendapat boleh disuarakan melalui surat terbuka kepada KPM.

"Melalui surat terbuka ini, pendapat mereka harus dijelaskan secara terperinci dengan alasan yang munasabah.

"Mereka juga boleh menyuarakan pendapat melalui Kesatuan Guru yang sepatutnya menjadi orang tengah dalam menguraikan kemelut yang berlaku.

"Sikap profesional KPM juga diperlukan dalam mendengar keluhan pentadbir dan guru yang menjadi tiang utama dalam pendidikan," katanya.

Tegas Abd Razak, kebebasan sekolah dan guru dalam melestarikan pendidikan dan menghasilkan modal insan yang seimbang harus dihargai kerana mereka yang bertungkus lumus menjayakan misi dan visi KPM.

"Guru berusaha mendidik anak bangsa selama dalam perkhidmatan dan usaha mereka ini perlu dilihat sebagai pemangkin dalam melahirkan murid yang berkembang secara holistik.

"Peringkat atasan lebih melihat kepada hasil, tetapi tidak menyelami usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah dan guru di peringkat bawahan.

"Justeru, mereka perlu diberi ruang yang lebih besar dalam menentukan acuan yang akan digunakan dalam membentuk generasi pada masa akan datang," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment