Tuesday, 30 January 2024

PIHAK PENGURUSAN SEKOLAH TAK WAJAR BERBELANJA BOROS ANJUR MAJLIS GRADUASI 'MEWAH'

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Trend berbelanja secara boros dengan mengadakan majlis graduasi di hotel wajar dielakkan kerana ia membawa banyak implikasi negatif merangkumi semua pihak daripada pelajar, ibu bapa hinggalah institusi sekolah itu sendiri.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya mencadangkan sekolah dan PIBG lebih baik berjimat memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan menggunakan dana yang ada untuk manfaat lain yang lebih penting.

"Jika sekolah hendak menganjurkan majlis graduasi, mengapa tidak gunakan dewan sekolah atau dewan berhampiran seperti dewan orang ramai, dewan masjid atau dewan di bawah pihak berkuasa tempatan atau agensi kerajaan.

"Ini sudah tentu menjimatkan, malah boleh disertai lebih ramai pelajar dan ibu bapa mereka dan yang lebih penting tidak membebankan pelajar dan ibu bapa.

"Usahlah digalakkan bermewah sebegini, ada rasa nak berlawan dan bangga bila aktiviti sekolah diadakan di hotel," katanya kepada BH hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, ada ibu bapa terpaksa merelakan juga untuk membayar di antara RM150 hingga RM200 semata-mata mahu anak hadir majlis graduasi anjuran sekolah di hotel mewah.

Malah, seorang pengguna media sosial, Adrea Abdullah, yang berkongsi pengalaman dan pandangannya menerusi video di Facebook, mendakwa jika ada ibu bapa yang enggan bayar, ini mungkin mengakibatkan anak mereka pula berasa tertekan dan malu kerana tidak menghadiri majlis berkenaan bersama rakan.

Beliau turut mendakwa ada sekolah yang mewajibkan murid menghadiri majlis graduasi tanpa berbincang dengan waris terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, adalah wajar untuk program sedemikian diperhalusi dengan melihat kesesuaian trend 'Majlis Graduasi' di sekolah diteruskan atau sebaliknya.

"Negara dan rakyat masih berjuang menangani inflasi dan kos sara hidup yang belum selesai dan tentu bukan semua ibu bapa atau penjaga dapat membiayai (kos bagi program sedemikian).

"Jadi, PIBGN cadangkan (jika sekalipun ia diadakan), buatlah secara sederhana. Adalah lebih baik jika sekolah atau PIBG boleh mendapatkan tajaan syarikat swasta berhampiran atas dasar tanggungjawab sosial korporat," katanya.

Beliau turut menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan surat pekeliling untuk melarang atau sekurang-kurangnya menasihatkan supaya sambutan graduasi tidak dibuat secara berlebihan.

"Adalah lebih baik untuk KPM turut mengeluarkan satu garis panduan mengenai perkara ini. Selain itu, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memantau dan memberi kata putus pengelolaan terbabit agar semua pihak merasa tidak tersisih, terbeban dan terasing," katanya.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Mohd Azizee Hasan, berkata matlamat penganjuran majlis graduasi adalah baik sebagai satu bentuk motivasi dan penghargaan untuk pelajar, namun ia perlu dilihat secara menyeluruh terutama pertimbangan mengenai kekangan di pihak ibu bapa.

"Penganjuran majlis graduasi bagi meraikan pelajar yang bakal menamatkan tempoh pembelajaran mereka selama 5 tahun adalah satu aktiviti yang baik. Namun, janganlah sehingga (seakan) wujud trend berlumba-lumba dan bermegah.

"Sepatutnya, keutamaan kita ialah memastikan emosi murid, guru dan ibu bapa cukup rapi, apatah lagi untuk pelajar yang sedang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Tambahnya, sekolah juga sebaiknya mendapatkan persetujuan ibu bapa jika ingin melaksanakan program sedemikian.

Melalui langkah ini, katanya, dapat mengelakkan sebarang masalah berbangkit terutama berkaitan beban kewangan.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment