Thursday, 26 September 2019

KEMENTERIAN PENDIDIKAN SASAR KEMASUKAN MBK MENINGKAT


KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menyasarkan 75 peratus murid berkeperluan khas (MBK) akan mendaftar dalam program pendidikan inklusif menjelang tahun 2025.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata berikutan itu pihaknya menyasarkan untuk mencapai 55 peratus murid akan mendaftar dalam program sama menjelang akhir tahun ini.
Katanya, pendaftaran MBK pada tahun lalu sudah mencapai 50.5 peratus dan kini pihaknya sedang berusaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Sehingga 30 Jun lalu, kita mempunyai seramai 87,574 MBK di seluruh negara. Kita juga ada 2,492 MBK yang kini berada di bawah sekolah pendidikan khas.
“Bagi Program Bersepadu Pendidikan Khas, kita mempunyai 68,874 murid berkeperluan khas, terdiri 967 murid prasekolah, 38,710 murid sekolah rendah dan 29,197 pelajar sekolah menengah,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas (SEIC) 2019 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Datuk Yasmin Hussein.
Lebih 16 negara antaranya Thailand, Kemboja, Jepun, Indonesia, Hong Kong, Filipina dan Singapura menyertai persidangan selama tiga hari yang bermula semalam.
Amin berkata, pihaknya menerima maklum balas memberangsangkan daripada ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas melalui pelaksanaan ‘Zero Reject Policy’ untuk MBK.
“Dasar itu secara tidak langsung membenarkan murid terbabit mendaftar di sekolah kerajaan tanpa sebarang kesukaran.
“Di bawah dasar itu, kanak-kanak keperluan khas dapat menerima pendidikan sepadan dengan kebolehan masing-masing merangkumi prasekolah, sekolah rendah dan menengah. Beberapa penambahbaikan juga perlu dilakukan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan tanpa masalah,” katanya.
Antara strategi disasarkan, membekalkan pihak sekolah dengan kemudahan yang mudah diakses, meningkatkan bilangan sekolah inklusif, meletakkan lebih ramai guru pendidikan khas serta meningkatkan pengambilan pelatih pendidikan khas di Institut Pendidikan Guru.
BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 25 September 2019

BEKAS WARTAWAN YAKIN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA BERTARAF DUNIA


GEORGE TOWN, 25 Sept (Bernama) -- Seorang bekas wartawan yang kini menjadi pemegang ijazah doktor falsafah yakin sistem pendidikan di Malaysia yang sudah sekian lama menjadi perhatian pelajar dari negara asing mampu menjadikan negara sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia.

Dr Pushpa Al Bakri Devadason yang pernah berkhidmat dengan Bernama sebagai wartawan dan di RTM sebagai penerbit berpendapat pengalamannya sewaktu menimba ilmu di beberapa negara lain telah meyakinkannya dengan keupayaan pendidikan di Malaysia untuk bersaing di peringkat dunia.

“Jangan memandang rendah taraf pendidikan di negara ini. Pendidikan di Malaysia tidak kurang hebatnya dari luar negara malah mampu menjadi lebih baik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Konvokesyen Universiti Sains Malaysiam (USM) di sini.

Beliau  dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Antropologi dan Sosiologi oleh USM yang mengkhusus kepada kajian empirikal mengenai wartawan tempatan yang membuat liputan peperangan.

Pada awalnya beliau memulakan kajian PhD di Monash University, Australia namun mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di USM di bawah seliaan Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican selepas didiagnos menghidap penyakit Endometriosis tahap tiga.

Setelah pulih dengan menjalani pembedahan, Pushpa mengambil masa kira-kira enam bulan untuk memikirkan semula topik yang sesuai untuk kajian PhD kerana beliau tidak meneruskan kajian asal yang dibuatnya semasa di Australia.

“Apabila saya mula dengan topik baharu, ia menjadi titik permulaan saya untuk benar-benar mengkaji tentang  Malaysia yang pernah berkhidmat di negara-negara yang dianda peperangan kerana saya dapati pandangan negara-negara barat berbeza dengan kita,” katanya.

Menurutnya intipati kajiannya mempersoal disiplin atau pegangan teori dari negara-negara barat yang mengasingkan nilai kemanusiaan dengan unsur kewartawanan, di mana nilai yang dipegang oleh wartawan Malaysia adalah berbeza dengan nilai yang dipegang oleh wartawan medan perang dari negara-negara barat.

Katanya, jarang sekali wartawan medan perang dari Malaysia mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) berbanding dengan wartawan dari negara-negara barat.

“Alhamdulillah saya menerima komen-komen positif mengenai hasil kajian saya malah telah diminta untuk membukukan kajian ini. Hasrat saya adalah untuk menggunakan ilmu ini untuk menggubal dasar-dasar perlembagaan khususnya dalam arena media tempatan,” kata beliau yang kini seorang pegawai tadbir diplomatik, jawatan yang dipegangnya sejak 24 tahun lepas.


BERNAMA ONLINE

Tuesday, 24 September 2019

PENUBUHAN JAWATANKUASA PENASIHAT PENDIDIKAN ORANG ASLI

PENUBUHAN JAWATANKUASA PENASIHAT PENDIDIKAN ORANG ASLI
Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia

Sunday, 22 September 2019

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KUMPUL DATA GURU KONGSI KEMAHIRAN DI YOUTUBE


KUALA TERENGGANU, 22 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan sedang mengumpul data berkaitan guru yang melakukan inisiatif sendiri merakam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) mereka melalui saluran YouTube untuk dimasukkan ke dalam sebuah portal yang lebih menyeluruh dan sistematik.

Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP) kementerian itu, Shafruddin Ali Hussin berkata, ramai guru di seluruh negara yang berkongsi ilmu dan kepakaran mereka di YouTube dan bakat mereka itu sangat diperlukan ke arah transformasi kaedah pemindahan ilmu kepada murid secara global.

"Kami di kementerian telah membangunkan platform pembelajaran digital yang boleh dijadikan repositori untuk semua guru berkongsi bahan digital yang mereka hasilkan agar ia menjadi satu platform yang lengkap dan menyeluruh untuk rujukan semua pihak.

"Ini selaras dengan saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu kementerian terus mewujudkan suasana pembelajaran secara interaktif agar proses pembelajaran secara dalam talian itu juga boleh diaplikasi dalam kelas," katanya ketika ditemui pemberita di RTM Terengganu di sini, hari ini.

Tambahan pula, video yang dikongsikan oleh guru di YouTube sangat menarik dan bercorak interaktif yang sangat disukai pelajar kerana memudahkan pemahaman mereka.

Kini terdapat beberapa platform yang disediakan kementerian kepada murid-murid untuk sesi pembelajaran secara digital seperti EduWeb TV dan Google Classroom.

Beliau berkata semua murid telah diberikan nombor pengenalan peribadi (ID) untuk mengakses masuk ke pelantar pembelajaran digital ini dan ia boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa asalkan mempunyai capaian internet.

Shafruddin berkata, satu kajian yang dilakukan ke atas 293,000 murid Tahap Dua di seluruh negara mendapati 93.9 peratus murid yang berusia lebih 10 tahun pernah menggunakan telefon pintar dan mereka tahu bagaimana untuk mengakses masuk ke dalam platform pembelajaran digital yang disediakan itu.


BERNAMA ONLINE

Thursday, 19 September 2019

PELAN GENTIAN OPTIK DAN KESALINGHUBUNGAN NEGARA (NFCB)

PELAN GENTIAN OPTIK DAN KESALINGHUBUNGAN NEGARA (NFCB)
Sumber : Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, TPM

Monday, 16 September 2019