GEORGE TOWN, 25 Sept (Bernama) -- Seorang
bekas wartawan yang kini menjadi pemegang ijazah doktor falsafah yakin sistem
pendidikan di Malaysia yang sudah sekian lama menjadi perhatian pelajar dari
negara asing mampu menjadikan negara sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia.
Dr Pushpa Al Bakri Devadason yang pernah
berkhidmat dengan Bernama sebagai wartawan dan di RTM sebagai penerbit
berpendapat pengalamannya sewaktu menimba ilmu di beberapa negara lain telah
meyakinkannya dengan keupayaan pendidikan di Malaysia untuk bersaing di
peringkat dunia.
“Jangan memandang rendah taraf pendidikan
di negara ini. Pendidikan di Malaysia tidak kurang hebatnya dari luar negara
malah mampu menjadi lebih baik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di
Konvokesyen Universiti Sains Malaysiam (USM) di sini.
Beliau
dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Antropologi dan
Sosiologi oleh USM yang mengkhusus kepada kajian empirikal mengenai wartawan
tempatan yang membuat liputan peperangan.
Pada awalnya beliau memulakan kajian PhD di
Monash University, Australia namun mengambil keputusan untuk menyambung
pengajian di USM di bawah seliaan Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican selepas
didiagnos menghidap penyakit Endometriosis tahap tiga.
Setelah pulih dengan menjalani pembedahan,
Pushpa mengambil masa kira-kira enam bulan untuk memikirkan semula topik yang
sesuai untuk kajian PhD kerana beliau tidak meneruskan kajian asal yang
dibuatnya semasa di Australia.
“Apabila saya mula dengan topik baharu, ia
menjadi titik permulaan saya untuk benar-benar mengkaji tentang Malaysia yang pernah berkhidmat di
negara-negara yang dianda peperangan kerana saya dapati pandangan negara-negara
barat berbeza dengan kita,” katanya.
Menurutnya intipati kajiannya mempersoal
disiplin atau pegangan teori dari negara-negara barat yang mengasingkan nilai
kemanusiaan dengan unsur kewartawanan, di mana nilai yang dipegang oleh
wartawan Malaysia adalah berbeza dengan nilai yang dipegang oleh wartawan medan
perang dari negara-negara barat.
Katanya, jarang sekali wartawan medan
perang dari Malaysia mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD)
berbanding dengan wartawan dari negara-negara barat.
“Alhamdulillah saya menerima komen-komen
positif mengenai hasil kajian saya malah telah diminta untuk membukukan kajian
ini. Hasrat saya adalah untuk menggunakan ilmu ini untuk menggubal dasar-dasar
perlembagaan khususnya dalam arena media tempatan,” kata beliau yang kini
seorang pegawai tadbir diplomatik, jawatan yang dipegangnya sejak 24 tahun
lepas.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment