PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menetapkan sasaran untuk melihat murid berkeperluan khas (MBK) tidak lagi disisihkan dan hidup terasing dalam masyarakat.
Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata, perasaan bimbang menyelubungi diri murid dan pelajar terbabit bagaimanapun mungkin menyukarkan usaha itu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang seperti disasarkan beliau.
“Kita sediakan pelbagai dasar tetapi akhirnya adalah di peringkat pelaksana, jika hanya saya sahaja yang mempunyai impian itu, tetapi di peringkat pelaksana tidak mempunyai impian sama, sudah tentu kita akan lihat kegagalan.
“Impian saya ialah mahu menyaksikan anak keperluan khas di Malaysia tidak rasa mereka sebagai golongan terasing, saya mahu mereka menjadi sebahagian dari kita.
“Saya juga inginkan masyarakat rasakan mereka (anak keperluan khas) ini adalah anugerah tuhan yang diberikan kepada kita untuk mengenali sikap kemanusiaan yang ada dalam jiwa setiap individu,” katanya kepada media selepas Penutupan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas (SEIC) 2019 di sini, hari ini.
Lebih 16 negara antaranya Thailand, Kemboja, Jepun, Indonesia, Hong Kong, Filipina dan Singapura menyertai persidangan itu yang diadakan selama tiga hari bermula kelmarin.
Terdahulu, menceritakan impiannya itu di hadapan peserta persidangan, Dr Maszlee kelihatan sebak dan terpaksa berhenti beberapa kali sebelum meneruskan ucapan.
Beliau berkata, di pihak kementerian mereka cuba melakukan yang terbaik, terutamanya dari segi persekolahan, universiti dan kolej komuniti bagi memastikan MBK mendapat pendidikan terbaik.
“Tetapi yang membawa anak-anak ini ke situ (sekolah, universiti dan kolej komuniti) adalah tanggungjawab masyarakat.
“Sekiranya semua menjalankan tanggungjawab masing-masing sudah tentu kita dapat mencorakkan masa depan yang lebih cerah kepada pelajar berkeperluan khas ini,” katanya.
MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik kelihatan sebak sambil mengesat air mata ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas (SEIC) 2019.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment