Tuesday 3 September 2019

SITI ZAINON SASTERAWAN NEGARA KE-14


PROF Dr Siti Zainon Ismail

PUTRAJAYA: Novelis, Prof Dr Siti Zainon Ismail dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pemilihan Siti Zainon berdasarkan kepada sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran serta sumbangan terhadap pengembangan sastera.
“Selain itu, impak dalam penyebaran ilmu, kepemimpinan dalam persatuan sastera pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang sudah diterima.
“Penghargaan dan penghormatan negara yang akan diberikan oleh kerajaan kepada Siti Zainon adalah Warkah Penghormatan Negara dan wang tunai sebanyak RM60,000.
“Selain itu, beliau akan menerima penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
“Beliau juga akan menerima kemudahan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan kegiatan mencipta karya sastera dan penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing, selain elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan,” katanya pada sidang media selepas pengumuman penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 di sini, hari ini.
Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.
Maszlee berkata Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 September ini di Kuala Lumpur.
Siti Zainon, 69, ialah anak kelahiran Gombak, Kuala Lumpur dan pernah menghasilkan karya novel (tiga); kumpulan cerpen (10); kumpulan puisi (25); antologi cerpen (tujuh) dan antologi puisi (lima).
Selain itu, Siti Zainon turut menghasilkan 18 kajian ilmiah (buku); esei kajian dalam buku - bab (21) dan esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog (21).
Siti Zainon juga pernah menerima pengiktirafan dalam negara dan antarabangsa, termasuk SEA Write Award (1989) dan Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) - Anugerah Tokoh Seni Budaya 2015.
Dalam pada itu, Maszlee berkata pemilihan Siti Zainon sebagai penerima anugerah itu berdasarkan pandangan dan nasihat daripada panel penilaian pemilihan, termasuk daripada sasterawan negara yang terdahulu.
“Pemilihan beliau adalah berdasarkan pandangan kolektif profesional dan tidak melihat kepada gender atau bangsa,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment