Tuesday 3 September 2019

MASZLEE PUJI FILEM 'RAATCHASI'


MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika sidang media mengenai penganugerahan Prof Dr Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 di kementeriannya
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menyifatkan filem Tamil bertajuk ‘Raatchasi’ menggambarkan dasar dan perubahan yang sudah dibuat untuk dilaksanakan dalam pendidikan negara.
Beliau berkata, filem berkenaan menterjemahkan aspirasinya seperti inisiatif Program Sarapan Percuma (PSP) yang turut mahu melihat golongan guru dapat duduk dan makan bersama pelajar.
Katanya, filem itu mempunyai garis cerita yang luar biasa dan watak yang sempurna dimainkan oleh pelakon utama, Jyothika.
“Berbeza rasanya menonton sebagai Menteri Pendidikan. Setiap babak sentiasa saya refleksikan dengan keadaan di negara kita.
“Geetha Rani adalah watak pengetua adiwira yang sangat hebat. Beliau membuktikan kepada kita bahawa perubahan yang besar itu bukanlah mustahil.
“Banyak sekali dasar dan perubahan yang kita sedang gubal untuk dilaksanakan telah berjaya digambarkan dalam filem ini,” katanya menerusi muat naik di laman Facebook, Twitter dan Instagram miliknya, semalam.
Filem Raatchasi yang diarahkan oleh S Gowthamraj menggambarkan pelakon utama, Jyothika menghadapi cabaran menjadi Guru Besar dengan disiplin kuat yang ingin memperbaiki keadaan di sekolah usang dikendalikan oleh kerajaan.
Beliau berkata, filem itu turut menyentuh mengenai kegagalan pelajar di mana watak Geetha berjaya mendapatkan pihak terbabit dalam menyelesaikan masalah kegagalan pelajar termasuk polis.
“Ini yang sedang kita usahakan. Kita nak pastikan ‘enforcement’ itu berlaku di semua penjuru agar tak ada lagi kanak-kanak yang tercicir.
“Bukan itu sahaja. Geetha juga berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar. Tubuhkan semacam persatuan ibu bapa dan komuniti (PIBK) untuk pastikan ibu bapa ini terbabit aktif dengan pendidikan anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata, antara hasrat terbesarnya adalah menjadikan pendidikan visi kolektif semua pihak.
“Ini kerana saya yakin, pendidikan harus berupaya menjadi objektif komuniti setempat, malah pendidikan lah yang akan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Semua pendidik, ibu bapa, murid dan sesiapa sahaja, saya sarankan untuk tonton filem ini segera,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment