MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik beramah mesra dengan calon UPSR di SK Putrajaya Presint 8(1).
PUTRAJAYA: Ibu bapa dan guru diingatkan tidak memberi tekanan kepada anak serta murid mereka yang sedang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata lawatannya pada hari pertama peperiksaan itu berlangsung, pagi ini, mendapati kebanyakan ibu bapa dilihat dalam keadaan stres dan secara tidak langsung memberi tekanan terhadap anak.
“Saya melihat tadi, golongan ibu yang banyak cemas dan stres. Saya berharap ibu dan guru tidak terlalu stres dan menekan anak-anak.
“Apa yang penting ialah memastikan mereka membaca, rajin dan berusaha. Selepas berusaha, banyakkan berdoa.
“Jika ibu bapa dan guru stres, ia juga memberi tekanan kepada anak. Cara ini tidak bagus untuk pembesaran dan perkembangan minda mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(1), di sini, hari ini.
Seramai 154 calon mendaftar untuk mengambil UPSR di sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, Maszlee turut mengingatkan ibu bapa supaya menyediakan sarapan untuk anak masing-masing sebelum menghantar mereka ke sekolah.
“Sediakan sarapan bagi mengelakkan perut anak kosong yang boleh mengganggu mereka menjawab peperiksaan,” katanya.
Ditanya mengenai perjalanan hari pertama UPSR di sekolah itu pula, Maszlee berkata, keadaan didapati sangat teratur.
“Perjalanan nampak kemas dan saya tahu sekolah ini bukanlah kali pertama menguruskan peperiksaan seumpama. Saya yakin anak-anak terbabit akan menduduki ujian mereka dengan tenang,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 445,641 calon mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,076 pusat peperiksaan seluruh negara.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment