KUALA TERENGGANU, 22
Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan sedang mengumpul data berkaitan
guru yang melakukan inisiatif sendiri merakam pembelajaran dan pemudahcaraan
(PdPc) mereka melalui saluran YouTube untuk dimasukkan ke dalam sebuah portal
yang lebih menyeluruh dan sistematik.
Pengarah Bahagian
Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP) kementerian itu, Shafruddin Ali Hussin
berkata, ramai guru di seluruh negara yang berkongsi ilmu dan kepakaran mereka
di YouTube dan bakat mereka itu sangat diperlukan ke arah
transformasi kaedah pemindahan ilmu kepada murid secara global.
"Kami di
kementerian telah membangunkan platform pembelajaran digital yang boleh
dijadikan repositori untuk semua guru berkongsi bahan digital yang mereka
hasilkan agar ia menjadi satu platform yang lengkap dan menyeluruh untuk
rujukan semua pihak.
"Ini selaras
dengan saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu kementerian
terus mewujudkan suasana pembelajaran secara interaktif agar proses
pembelajaran secara dalam talian itu juga boleh diaplikasi dalam
kelas," katanya ketika ditemui pemberita di RTM Terengganu di sini, hari
ini.
Tambahan pula, video
yang dikongsikan oleh guru di YouTube sangat menarik dan bercorak interaktif
yang sangat disukai pelajar kerana memudahkan pemahaman mereka.
Kini terdapat
beberapa platform yang disediakan kementerian kepada murid-murid untuk sesi
pembelajaran secara digital seperti EduWeb TV dan Google Classroom.
Beliau berkata semua
murid telah diberikan nombor pengenalan peribadi (ID) untuk mengakses masuk ke
pelantar pembelajaran digital ini dan ia boleh dilakukan di mana sahaja dan
pada bila-bila masa asalkan mempunyai capaian internet.
Shafruddin berkata,
satu kajian yang dilakukan ke atas 293,000 murid Tahap Dua di seluruh
negara mendapati 93.9 peratus murid yang berusia lebih 10 tahun pernah
menggunakan telefon pintar dan mereka tahu bagaimana untuk mengakses masuk ke
dalam platform pembelajaran digital yang disediakan itu.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment