Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) bergambar bersama penerima sijil MBOR ketika majlis penutup Merdeka Special Charity Run Orang Kurang Upaya (OKU) paling ramai di Laman Xtreme Park, Pasir Gudang
PASIR GUDANG: Kementerian Pendidikan menjangkakan kaedah pengajaran baharu secara rakaman video oleh guru terpilih dapat dimulakan pada tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata beberapa platform sedang dibangunkan untuk merealisasikan aspirasi kaedah pengajaran baharu itu.
Katanya, Kementerian Pendidikan juga sudah membentang kaedah pengajaran secara rakaman video itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa bulan lalu.
“Ini pendekatan baharu dan sudah dibentang pada Tun Mahathir beberapa bulan lalu, ini hala tuju kita (kementerian) pada masa hadapan iaitu meningkatkan konsep e-learning.
“Kita juga ingin pastikan guru berbakat dan terbaik ini bukan sahaja mengajar di kelas mereka semata-mata, tetapi dikongsikan satu Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Merdeka Special Charity Run dan mencipta rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) Orang Kurang Upaya (OKU) paling ramai dalam program larian di Laman Extreme Park, di sini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) diiringi YDP PIBG SKMM 2, Shahrizal Abdul Manap bergambar bersama kanak-kanak kurang upaya ketika majlis penutup Merdeka Special Charity Run Orang Kurang Upaya (OKU) paling ramai di Laman Xtreme Park, Pasir Gudang.
Dr Maszlee berkata, pihaknya cuba memastikan kaedah pembelajaran baharu itu dapat dimulakan pada tahun hadapan dan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri sendiri.
Semalam, Dr Mahathir berkata, kaedah pengajaran secara rakaman video oleh guru terpilih akan diperkenalkan di sekolah tidak lama lagi bagi memudah dan mempertingkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
Perdana Menteri dipetik berkata, kaedah itu akan dikongsikan dengan sekolah lain untuk memberi manfaat kepada pelajar dan guru di sekolah masing-masing.
Dalam perkembangan lain, Dr Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan akan menunggu laporan daripada Jabatan Pendidikan negeri Sarawak berhubung situasi terkini jerebu yang berlaku sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai sesi persekolahan.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment