Sumber : Bernama Online
DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN
Thursday, 13 February 2020
PM DR MAHATHIR LANCAR DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pemangku Menteri Pendidikan hari ini
melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK), yang merupakan inisiatif kerajaan
dalam usaha meningkatkan keberhasilan pembacaan rakyat di negara ini.
Menurut buku atur cara pelancaran DMK,
melalui inisiatif itu, kerajaan akan memantapkan persekitaran asas galakan membaca dan ketersediaan mental
rakyat secara agresif, kreatif dan inklusif selaras hasrat menjadikan Malaysia
negara membaca dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Melalui slogan #MalaysiaMembaca, DMK
anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia itu memberi fokus untuk meningkatkan
jumlah pembacaan, jumlah pembaca dan sasaran pembaca yang lebih menyeluruh
serta melalui penglibatan semua peringkat masyarakat.
Ini memperlihatkan kesungguhan pihak
kerajaan untuk menjadikan amalan membaca satu budaya untuk membentuk satu
masyarakat yang berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat.
BERNAMA ONLINE
SUSUN PROGRAM PEMBUDAYAAN AMALAN MEMBACA SECARA SISTEMATIK
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, hari ini.
BANGI: Sumber pembacaan dalam arus digital tanpa sekatan menjadi ‘gelanggang’ penyebaran berita palsu dan kandungan yang merosakkan masyarakat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, program pembudayaan amalan membaca perlu disusun lebih sistematik supaya masyarakat dapat membezakan kandungan yang benar atau palsu.
“Di sini letaknya cabaran pembacaan hari ini untuk membezakan yang benar dan palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan.
“Usaha serta program pembudayaan amalan membaca perlulah disusun secara sistematik dan harus diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) di Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata, pengaruh digital kepada masyarakat begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku semakin diketepikan.
“Banyak syarikat akhbar terpaksa gulung tikar kerana jualan merosot manakala buku-buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak.
“Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca. Yang berubah ialah sumber pembacaan. Hari ini hampir semua akhbar mempunyai versi digital dan buku-buku juga diterbitkan secara digital,” katanya.
Perdana Menteri menyarankan program pembudayaan membaca itu hendaklah diadakan secara berterusan dan dilaksanakan penuh kesungguhan oleh semua pihak terbabit.
“Ini akan menjadi pemangkin dan tonggak kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
Beliau turut menyarankan bagi mencapai industri buku di negara ini terus berdaya saing dan dapat memenuhi kehendak pembaca khususnya sebagai persediaan kita mengharungi Revolusi Industri (IR 4.0).
“Bagi membudayakan amalan membaca ini, usaha menerbitkan bahan bacaan yang berkualiti dan memenuhi keperluan negara memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.
“Golongan penulis, editor dan penerbit buku perlu dilibatkan secara aktif dalam inisiatif ini,” katanya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching turut hadir pada majlis itu.
DMK adalah inisiatif kerajaan dalam usaha meningkatkan keberhasilan pembacaan rakyat di negara yang antara lain akan memantapkan persekitaran asas galakan membaca dan ketersediaan mental rakyat secara agresif, kreatif dan inklusif selaras hasrat menjadikan Malaysia negara membaca dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Melalui slogan #MalaysiaMembaca, DMK anjuran Kementerian Pendidikan itu memberi fokus untuk meningkatkan jumlah pembacaan, jumlah pembaca dan sasaran pembaca yang lebih menyeluruh serta melalui penglibatan semua peringkat masyarakat.
BERITA HARIAN ONLINE
Tuesday, 11 February 2020
HARI KESELAMATAN INTERNET
Sumber : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail & CyberSecurity Malaysia
HARI KESELAMATAN INTERNET
Sunday, 9 February 2020
KELUARGA BERPECAH BELAH ANTARA PUNCA MURID SEKOLAH RENDAH TERCICIR
Keluarga yang berpecah belah antara punca sebahagian murid sekolah rendah enggan meneruskan pelajaran.
KUBANG PASU: Perceraian ibu bapa atau keluarga yang berpecah belah antara punca sebahagian murid sekolah rendah enggan meneruskan pelajaran ke sekolah menengah.
Sebahagian lagi kanak-kanak yang tinggal berhampiran bandar atau pusat tarikan pelancongan pula memilih untuk bekerja pada usia remaja dan meninggalkan persekolahan peringkat menengah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata murid dari keluarga kurang mampu juga mengambil keputusan untuk berhenti sekolah atas alasan mahu membantu ibu bapa mencari nafkah.
Beliau berkata, kementerian itu mahu memastikan tiada lagi murid tahun enam tercicir daripada memasuki tingkatan satu dan akan memberi sepenuh komitmen terhadap usaha sifar murid keciciran.
“Tahun ini, kita mahu atasi keciciran yang berlaku ketika transisi seperti tahun enam ke tingkatan satu dan tingkatan tiga ke tingkatan empat.
“Ada pelajar yang ingin menolong ibu bapa mencari nafkah, kurang berkemampuan, selain keluarga berpecah-belah antara faktor berlakunya keciciran dalam kalangan murid.
“Selalunya, pelajar di kawasan bandar besar dan tempat pelancongan lebih mudah mencari pekerjaan. Mereka tak tunggu sehingga habis sekolah,” katanya selepas menghadiri Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2020 di Kampung Pering, di sini, hari ini.
Terdahulu, Habibah turut menziarahi dua keluarga kurang berkemampuan dan menyerahkan bantuan barang keperluan dan bahan pembelajaran.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Program Ziarah Cakna berperanan memperluas konsep penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah, ibu bapa dan penjaga.
“Program ini dapat mewujudkan budaya baharu lebih positif demi kemenjadian murid.
“Selain itu, pelbagai intervensi dilaksanakan jabatan dan agensi kerajaan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi murid kurang bernasib baik supaya mereka berpeluang mendapat pendidikan sewajarnya,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
KEMENTERIAN PENDIDIKAN SASAR KECICIRAN SIFAR MURID KE SEKOLAH MENENGAH
NIE Ching (empat dari kiri) pada Majlis Perasmian Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2020 di Kulai, di sini, hari ini.
KULAI: Kementerian Pendidikan menyasarkan keciciran sifar bagi murid sekolah rendah memasuki sekolah menengah tahun ini, iaitu memastikan semua murid menyambung pelajaran ke tingkatan satu selepas tamat tahun enam.
Timbalan Menteri, Teo Nie Ching, berkata sasaran itu boleh dicapai menerusi pelaksanaan Program Ziarah Cakna.
Sejak dilaksanakan tahun lalu, katanya, terdapat peningkatan peratusan peralihan murid dari sekolah rendah ke sekolah menengah, iaitu sebanyak 98.42 peratus, berbanding 96.81 peratus pada 2018.
“Menerusi program seperti ini, kita boleh memahami isu yang dialami murid dan ahli keluarga mereka dan dalam masa sama, kita berharap boleh mengurangkan kadar keciciran transisi murid.
“Hasrat kita tahun ini mahu memberi fokus kepada kadar transisi ini untuk memastikan bahawa kalau boleh semua murid selepas darjah enam, mereka boleh sambung pelajaran di sekolah menengah,” katanya pada Majlis Perasmian Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2020 di sini, hari ini.
Nie Ching berkata, antara punca keciciran murid sekolah rendah ialah kedudukan sekolah menengah yang jauh, kemiskinan dan ibu bapa yang menganggap pendidikan kurang penting.
Program Ziarah Cakna dilancarkan serentak di 16 tempat di seluruh negara bertujuan memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa atau penjaga.
Pertemuan dengan ibu bapa juga dapat meyakinkan masyarakat bahawa sekolah tempat permulaan mengubah masa depan pelajar dan keluarga.
Tahun lalu, Nie Ching berkata, Program Ziarah Cakna menunjukkan seramai 40,158 murid sekolah rendah dan 26,428 murid sekolah menengah diziarahi oleh 63,313 guru sekolah rendah dan 39,715 guru sekolah menengah.
“Jika dijumlahkan, seramai 66,586 murid dari 59,739 menerima Ziarah Cakna dari 102,488 guru. Bayangkan impak yang boleh dicapai jika kita berjaya meyakinkan mereka bahawa sekolah satu tempat permulaan mengubah masa hadapan murid dan keluarga,” katanya
BERITA HARIAN ONLINE
Friday, 7 February 2020
'MEMANG TAK WAJAR KEMBALIKAN SEMULA PPSMI'
PROF Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim
KUALA LUMPUR: Kalangan ahli akademik, pejuang bahasa dan aktivis masyarakat sepakat bahawa Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak perlu diteruskan kerana ia terbukti tidak dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.
Sebaliknya, mereka berkata dasar itu yang pernah dilaksanakan sebelum ini pada 2003 hingga 2012 terbukti gagal sehingga menyebabkan mutu pencapaian pelajar dalam bahasa Inggeris, matematik dan sains merosot.
Walaupun ada yang bersetuju pengenalan semula PPSMI akan membantu memudahkan pelajar menguasai ilmu dan pada masa sama menguasai bahasa Inggeris, kalangan yang membantah dasar itu menjelaskan bahawa penguasaan ilmu tetap boleh diraih dalam bahasa ibunda.
Bagi pakar bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, penguasaan bahasa Inggeris hendaklah dipertingkatkan menerusi subjek bahasa Inggeris, seperti dengan menambah waktu pelajaran, meningkatkan latihan kepada guru dan menambah baik modul pengajaran dan pembelajaran sedia ada.
Sehubungan itu, katanya, rancangan untuk mengembalikan PPSMI tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa apatah lagi ramai pakar daripada pelbagai bidang sudah membantah pelaksanaannya.
“Kerajaan tidak seharusnya mengulangi dasar itu yang sudah terbukti gagal. Pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda bagi subjek berkenaan adalah lebih baik,” katanya kepada BH.
Semalam Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung pelaksanaan semula PPSMI.
Beliau hanya memberi penerangan mengenai perkara itu kepada pegawai kerajaan dan tidak tahu bagaimana ia dibocorkan kepada umum seolah-olah kerajaan sudah membuat keputusan.
Perdana Menteri berkata walaupun Sains boleh dipelajari dalam bahasa ibunda, ia bukanlah ilmu yang statik seperti seperti Sejarah dan Geografi, justeru pelajar akan lebih menguasai ilmu itu jika dipelajari dalam bahasa Inggeris.
Dr Mahathir berkata, Inggeris adalah bahasa yang kerap digunakan dalam industri dan persidangan sains sekali gus menyebabkan mereka yang tidak menguasai bahasa Inggeris sukar memahami arahan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata banyak kajian dilakukan universiti dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuktikan pelaksanaan PPSMI sebelum ini gagal.
“Kerajaan berbelanja kira-kira RM10 bilion bagi lapan tahun itu namun hasilnya penguasaan bahasa Inggeris tetap lemah. Jika dilaksanakan sekali lagi, ia kerja sia-sia.
“Ketika PPSMI dilaksanakan, kegagalan pelajar menguasai bahasa Inggeris menyebabkan gred mata pelajaran (Sains dan Matematik) terpaksa diturunkan berikutan jumlah pelajar yang mencapai kelulusan minimum turun mendadak.
“Lihat negara maju seperti Jepun, Finland, Korea Selatan, Jepun, Russia dan Sepanyol tetap berjaya walaupun sistem pendidikan menggunakan bahasa ibunda bukan bahasa Inggeris,” katanya.
Kamal Shukri berkata, penguasaan bahasa Inggeris tidak seharusnya dijadikan ukuran seseorang itu adalah bijak. Malah, ketika bahasa pengantar beralih kepada bahasa Melayu sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, Malaysia tetap melahirkan ribuan pakar sains.
Penasihat Bahasa, Majlis Perundingan Melayu, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, pula berkata kerajaan seharusnya faham bahawa bahasa pengantar Sistem Pendidikan Kebangsaan adalah bahasa Melayu.
“Kerajaan bertanggungjawab memperkasa bahasa pengantar sedia ada sebagai bahasa ilmu dan tidak seharusnya berdalih mengatakannya sebagai gagal semata-mata mahu mengembalikan PPSMI.
“Sistem Pendidikan Kebangsaan sudah berjaya melahirkan ramai profesor dan profesional dalam bidang sains membuktikan bahasa Melayu tiada kelemahannya. Malah tiada masalah dalam persidangan antarabangsa yang perantaraan bahasa asing, terjemahan dilakukan serentak,” katanya.
Bagaimanapun Presiden Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaysia, Chin Jia Xing, mempunyai pandangan berbeza terhadap PPSMI yang beliau rasa wajar diteruskan.
Bagi Jia Xing, penguasaan bahasa Inggeris akan memudahkan pelajar mendapatkan rujukan ilmu yang tersedia secara meluas termasuk secara dalam talian, berbanding rujukan dalam bahasa Melayu dan Mandarin.
“Saya sendiri ketika belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan kebangsaan menghadapi kesukaran kerana banyak istilah bila terjemahan tidak membawa maksud tepat.
“Namun apabila mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, keadaan menjadi mudah kerana saya ada banyak sumber rujukan,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
Subscribe to:
Posts (Atom)






