Sunday 9 February 2020

KELUARGA BERPECAH BELAH ANTARA PUNCA MURID SEKOLAH RENDAH TERCICIR

Keluarga yang berpecah belah antara punca sebahagian murid sekolah rendah enggan meneruskan pelajaran.
KUBANG PASU: Perceraian ibu bapa atau keluarga yang berpecah belah antara punca sebahagian murid sekolah rendah enggan meneruskan pelajaran ke sekolah menengah.
Sebahagian lagi kanak-kanak yang tinggal berhampiran bandar atau pusat tarikan pelancongan pula memilih untuk bekerja pada usia remaja dan meninggalkan persekolahan peringkat menengah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata murid dari keluarga kurang mampu juga mengambil keputusan untuk berhenti sekolah atas alasan mahu membantu ibu bapa mencari nafkah.
Beliau berkata, kementerian itu mahu memastikan tiada lagi murid tahun enam tercicir daripada memasuki tingkatan satu dan akan memberi sepenuh komitmen terhadap usaha sifar murid keciciran.
“Tahun ini, kita mahu atasi keciciran yang berlaku ketika transisi seperti tahun enam ke tingkatan satu dan tingkatan tiga ke tingkatan empat.
“Ada pelajar yang ingin menolong ibu bapa mencari nafkah, kurang berkemampuan, selain keluarga berpecah-belah antara faktor berlakunya keciciran dalam kalangan murid.
“Selalunya, pelajar di kawasan bandar besar dan tempat pelancongan lebih mudah mencari pekerjaan. Mereka tak tunggu sehingga habis sekolah,” katanya selepas menghadiri Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2020 di Kampung Pering, di sini, hari ini.
Terdahulu, Habibah turut menziarahi dua keluarga kurang berkemampuan dan menyerahkan bantuan barang keperluan dan bahan pembelajaran.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Program Ziarah Cakna berperanan memperluas konsep penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah, ibu bapa dan penjaga.
“Program ini dapat mewujudkan budaya baharu lebih positif demi kemenjadian murid.
“Selain itu, pelbagai intervensi dilaksanakan jabatan dan agensi kerajaan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi murid kurang bernasib baik supaya mereka berpeluang mendapat pendidikan sewajarnya,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment