Sunday 9 February 2020

KEMENTERIAN PENDIDIKAN SASAR KECICIRAN SIFAR MURID KE SEKOLAH MENENGAH

NIE Ching (empat dari kiri) pada Majlis Perasmian Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2020 di Kulai, di sini, hari ini.
KULAI: Kementerian Pendidikan menyasarkan keciciran sifar bagi murid sekolah rendah memasuki sekolah menengah tahun ini, iaitu memastikan semua murid menyambung pelajaran ke tingkatan satu selepas tamat tahun enam.
Timbalan Menteri, Teo Nie Ching, berkata sasaran itu boleh dicapai menerusi pelaksanaan Program Ziarah Cakna.
Sejak dilaksanakan tahun lalu, katanya, terdapat peningkatan peratusan peralihan murid dari sekolah rendah ke sekolah menengah, iaitu sebanyak 98.42 peratus, berbanding 96.81 peratus pada 2018.
“Menerusi program seperti ini, kita boleh memahami isu yang dialami murid dan ahli keluarga mereka dan dalam masa sama, kita berharap boleh mengurangkan kadar keciciran transisi murid.
“Hasrat kita tahun ini mahu memberi fokus kepada kadar transisi ini untuk memastikan bahawa kalau boleh semua murid selepas darjah enam, mereka boleh sambung pelajaran di sekolah menengah,” katanya pada Majlis Perasmian Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2020 di sini, hari ini.
Nie Ching berkata, antara punca keciciran murid sekolah rendah ialah kedudukan sekolah menengah yang jauh, kemiskinan dan ibu bapa yang menganggap pendidikan kurang penting.
Program Ziarah Cakna dilancarkan serentak di 16 tempat di seluruh negara bertujuan memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa atau penjaga.
Pertemuan dengan ibu bapa juga dapat meyakinkan masyarakat bahawa sekolah tempat permulaan mengubah masa depan pelajar dan keluarga.
Tahun lalu, Nie Ching berkata, Program Ziarah Cakna menunjukkan seramai 40,158 murid sekolah rendah dan 26,428 murid sekolah menengah diziarahi oleh 63,313 guru sekolah rendah dan 39,715 guru sekolah menengah.
“Jika dijumlahkan, seramai 66,586 murid dari 59,739 menerima Ziarah Cakna dari 102,488 guru. Bayangkan impak yang boleh dicapai jika kita berjaya meyakinkan mereka bahawa sekolah satu tempat permulaan mengubah masa hadapan murid dan keluarga,” katanya
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment