Gambar fail, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman .
KOTA BHARU: Kerajaan bakal mengulangi kesilapan lama, seandainya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan murid dan pelajar di negara ini, kembali dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris.
Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman, berkata pelaksanaan kali pertama dahulu sudah membuktikan kesan negatif dengan kemerosotan pencapaian pelajar bagi menguasai kedua subjek penting itu.
Beliau berkata, Bahasa Melayu yang sekian lama digunakan sudah lengkap bagi tujuan penyampaian ilmu di semua peringkat dengan istilah serta padanan yang mencukupi.
“Tahap penguasaan Bahasa Melayu pun masih rendah dalam kalangan sebahagian pelajar terutama di luar bandar, apatah lagi tahap pencapaian Bahasa Inggeris mereka.
“Ilmu sepatutnya disampaikan dalam bahasa kebangsaan tetapi tentulah dengan tidak menolak kepentingan bahasa komunikasi antarabangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
A Aziz berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pakar pendidikan, sarjana, ilmuwan dan bahasawan apabila mahu membuat keputusan penting itu dalam bidang pendidikan.
Katanya, pemikiran kolektif perlu ada dan perlu mengelak keputusan yang semata-mata mahukan penguasaan bahasa Inggeris yang tidak didasarkan kepada aspek pedagogi atau sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang betul.
“Para ilmuwan dan pakar pendidikan digesa untuk memandu kerajaan dalam membina sistem dan dasar pendidikan yang komprehensif dan menuju kemajuan masa hadapan yang lebih cemerlang.
“Dalam senario masa kini, kita lebih perlu melihat semula seluruh kurikulum pendidikan kebangsaan demi mencapai matlamat perpaduan bangsa Malaysia yang kian retak dan jati diri negara yang semakin luntur,” katanya.
Mengulas lanjut, A Aziz berkata, strategi, kaedah serta pendekatan yang betul dan benar mesti dicari dengan merujuk kepada pelbagai pengalaman dalam pembangunan negara dan pembinaan bangsa bersandarkan pengalaman pelbagai negara maju yang lain.
Bagaimanapun katanya, hal itu tidak bermakna rakyat Malaysia tidak perlu mempelajari atau menguasai beberapa bahasa utama dunia misalnya bahasa Inggeris, malah bahasa lain juga memang penting dikuasai sebagai wahana komunikasi.
“Penarikan balik dasar sebelum ini oleh kerajaan sendiri sudah cukup memberikan pedoman yang berfaedah dan kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment