BUTTERWORTH, 17 Feb -- Polis Pulau Pinang
mengingatkan pihak sekolah di negeri ini untuk tidak menyembunyikan sebarang
salah laku atau aktiviti jenayah membabitkan pelajar dan warga sekolah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T.
Narenasagaran berkata, maklumat awal adalah perlu bagi membolehkan langkah
pencegahan dilakukan dengan sewajarnya.
"Kita mohon kepada pihak sekolah
supaya jangan menyembunyikan sebarang salah laku mahupun jenayah yang melibatkan
warga sekolah kerana kita nak bendung dari awal, itu yang lebih penting,"
katanya selepas merasmikan Program Jom Ke Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang
2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sama Gagah, di sini hari ini.
Beliau berkata seramai 834 Pegawai
Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri
daripada anggota dan pegawai polis ditugaskan untuk memantau sekolah rendah dan
menengah di negeri ini menerusi program itu.
Sementara itu, mengulas mengenai
perkembangan kes penemuan rangka manusia di dalam tong sampah di tepi jalan
Paya Terubong, dekat George Town pada 29 Jan lepas, Narenasagaran berkata
setakat ini polis masih belum mengenal pasti identiti mangsa.
"Polis sedang semak maklumat mengenai
orang hilang di samping turut menunggu keputusan DNA (asid deoksiribonukleik).
Kita mohon waris atau sesiapa yang kehilangan anggota keluarga atau orang yang
tidak dapat dihubungi dalam masa yang lama supaya datang ke balai untuk polis
buat semakan jika adanya kaitan dengan kes ini," katanya.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment