Friday 14 February 2020

KAEDAH DIGITAL ATASI KEKURANGAN GURU GLOBAL


Gambar hiasan

GEORGE TOWN, 14 Feb (Bernama) -- Transformasi digital yang pantas dapat mengatasi kekurangan golongan pendidik di seluruh dunia, sedekad dari sekarang.

Pengarah Pembangunan Yayasan Pembangunan Asia bagi Sumber Manusia & Pendidikan (HEAD) C. Liang berkata berdasarkan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), hampir 69 juta guru baharu di seluruh dunia diperlukan menjelang 2030 untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari keempat (SDG4).

Liang berkata dalam tempoh 10 tahun, dunia akan memerlukan kira-kira 26 juta orang dewasa untuk direkrut dan dilatih sebagai guru sekolah rendah untuk memastikan kuota UNESCO tercapai.

Bagaimanapun, pada akhirnya, alasan utama untuk mempunyai seramai mungkin guru adalah untuk menyediakan pendidikan bagi ratusan juta kanak-kanak (seluruh dunia).    

“Bagaimanapun, mungkin ada cara lain untuk menggunakan teknologi bagi tujuan berbeza daripada struktur pendidikan tradisional dan mungkin kita masih mempunyai harapan untuk mencapai sasaran 2030 SDG4,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan sempena ceramah umum, Reimagining Tomorrow: The Digital Transformation of Education oleh Lee Soo-Inn, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi pendidikan Enuma di sini semalam.                                                          

Lee yang membangunkan aplikasi permainan pendidikan untuk kanak-kanak, termasuk mereka yang kurang upaya pembelajaran berkata penubuhan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu, bertujuan menyediakan pendidikan untuk semua bermula daripada anak lelakinya, merupakan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Kami mahu membangunkan dan mereka bentuk permainan dan aplikasi yang dapat membantu semua kanak-kanak untuk belajar dan berkembang secara bebas,” katanya.

Lee juga menegaskan selain daripada kanak-kanak kurang upaya pembelajaran serta sukar bersaing dengan rakan sebaya, ramai juga golongan itu yang tidak dapat akses kepada sebarang bentuk pendidikan sama sekali.

Menurut statistik Hari Literasi Antarabangsa UNESCO pada tahun 2018, lebih 260 juta kanak-kanak dan remaja tidak didaftarkan di sekolah dan enam daripada 10 anak muda itu tidak memperoleh kemahiran minimum dalam literasi dan numerasi.

"Enuma telah membangunkan ‘Kitkit School’, sebuah aplikasi pendidikan sumber terbuka yang direka untuk menyediakan kanak-kanak asas dan amalan yang diperlukan untuk membina kemahiran asas dalam literasi dan matematik walaupun tanpa akses sekolah atau sumber,” katanya dan menambah Kitkit School dicipta untuk pertandingan Global Learning XPRIZE, dilancarkan pada tahun 2014.

Beliau menambah ujian lapangan untuk aplikasi itu dijalan di antara 2016 dengan 2017 di kawasan pedalaman di Tanzania, meliputi hampir 3,000 kanak-kanak yang mendapat pendidikan yang terhad.


BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment