PERDANA Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada Majlis Amanat dan Aspirasi Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
PUTRAJAYA: Pemahaman Sains dalam bahasa Inggeris memudahkan seseorang memahami arahan yang diberi, berikutan bahasa itu kerap diguna dalam industri.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ilmu Sains kebanyakannya datang dalam bahasa Inggeris.
Beliau yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, biarpun ia boleh diterjemah ke bahasa Malaysia, namun perkataan digunakan bukan bahasa Inggeris biasa, justeru terjemahannya mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar.
"Hari ini pun kita dapati mereka yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris sukar mendapat kerja. Konferensi sains antarabangsa
kerap diadakan.
“Biasanya bahasa Inggeris menjadi bahasa konferensi. Jika pakar sains kita tidak fasih dalam bahasa Inggeris, Sains maka kita tidak mungkin faham perbincangan yang diadakan," katanya ketika menyampaikan berucap pada Majlis Amanat dan Aspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, pagi ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Dr Mahathir berkata, sebagai seorang Melayu, beliau sayangkan bangsa dan bahasa Melayu.
Namun, katanya, pertimbangan perlu diberikan kepada kemajuan bangsa.
"Sebenarnya, jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja.
"Fikirlah baik-baik. Pepatah berkata “Sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tingalkan”. Sayang bangsa utamakan kejayaan bersaing lebih daripada hanya bertutur kata dalam bahasa sendiri," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Sains bukan satu ilmu yang statik, sebaliknya ada sahaja perkara baharu yang dikenali dan
diperalatkan setiap hari.
Berikutan itu, katanya, amat sukar untuk memahami, menterjemah dan mentafsirkan ke dalam bahasa Melayu.
Katanya, negara juga tidak mungkin mempunyai pakar sains yang akan menterjemahkan, berpuluh-puluh kertas hasil penyelidikan dalam pelbagai bidang setiap hari.
"Jika kita tidak mempunyai ilmu yang terbaharu, kita akan ketinggalan kerana tidak mengguna ilmu ini. Kita semua tahu hari ini terdapat banyak hasil selidikan tiap hari. Banyak perkataan baharu yang dicipta," katanya.
Selain itu, Dr Mahathir berkata, negara ini ada tiga kaum utama, jika Sains diajar menggunakan bahasa Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan dan bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan berkemungkinan mereka yang menguasai bahasa itu hanya akan berbincang sesama sendiri.
"Dalam bidang Sains ahlinya perlu berbincang sesama mereka masalah sains yang ditemui. Mungkinkah mereka yang berbahasa Kebangsaan, Mandarin dan Tamil berbincang sesama mereka," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment