Tuesday, 12 May 2020

COVID-19 : MAKSIMUM 17 PELAJAR DALAM SATU KELAS

Satu kelas hanya boleh menempatkan maksimum 17 pelajar pada satu-satu masa adalah antara prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan sekolah pasca COVID-19 yang akan ditetapkan sebaik saja sesi persekolah dibuka semula kelak.
KUALA LUMPUR: Satu kelas hanya boleh menempatkan purata maksimum antara 16 dan 17 pelajar pada satu-satu masa, sebaik saja sesi persekolahan dibuka semula kelak.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata kementerian itu sudah pun membuat percubaan di lapangan bagi menentukan jumlah pelajar yang wajar dalam satu kelas berdasarkan keluasannya, supaya penjarakan sosial dapat dilaksanakan untuk mengelak penularan COVID-19.
Mohd Radzi berkata, ia adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan sekolah pasca COVID-19 yang akan diperincikan pihaknya, nanti.
"Kalau dulu dalam kelas ada 35 orang tapi dalam keadaan baharu ini, tidak boleh ramai. Dalam konteks penjarakan sosial ini, paling ramai adalah 16 ke 17 orang dan bagi sekolah yang mempunyai kelas yang besar, jumlah pelajar boleh mencecah 20 orang.
"Ini bermakna, jumlah pelajar dalam kelas sebelum ini perlu dipecah dua. Selain itu, kita perlu melihat bagaimana nak jalankan pengajaran dalam dua kelas ini atau kelas dalam ruang kecil perlu dibawa ke dewan yang lebih besar sebagai contoh.
"Justeru, kementerian sudah ada beberapa opsyen yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan selepas COVID-19 reda dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan, pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa kita kompromi keselamatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada wawancara khas dalam program "Soal Rakyat" yang disiarkan di TV3, malam tadi.
Memberi contoh lain, Mohd Radzi berkata, SOP di kantin juga akan diperketatkan dengan memastikan ia tidak sesak seperti kebiasaan yang mendedahkan lebih risiko jangkitan.
"Apa yang akan dilaksanakan adalah makanan akan dibungkus dan sebagainya. Kita ada garis panduan makan di kantin yang akan turut membabitkan bila dan di mana pelajar akan makan," katanya.
Beliau berkata, kementerian akan memastikan SOP itu dapat dipatuhi sepenuhnya melalui pembukaan sesi pembelajaran kepada pelajar kelas peperiksaan iaitu Tingkatan Lima dan Enam terlebih dahulu, sebelum dibuka kepada tahap lain.
Bagaimanapun, Mohd Radzi mengakui, pelaksanaan SOP itu kelak akan menjadi cabaran kepada guru untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi kebiasaan baharu dan SOP berkenaan dipatuhi.
"Selain itu, guru juga perlu melihat kembali perkembangan pembelajaran secara dalam talian yang dilaksanakan sebelum ini, bagaimana pencapaian pelajar dan setakat mana silibus yang dapat diselesaikan.
"Jadi, banyak perkara yang perlu dilaksanakan guru pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan cabaran kepada guru adalah untuk melihat garis asas dan bagaimana ia boleh ditambah baik untuk memastikan pelajar dapat terus dipacu ke hadapan," katanya.
Katanya, Kementerian Pendidikan juga akan memberi tumpuan kepada keperluan untuk pelajar memiliki peranti digital terutama komputer atau tablet supaya pembelajaran di rumah tidak terhenti, sebaliknya dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

BERITA HARIAN ONLINE
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin
KUALA LUMPUR: Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei ini akan tetap disambut bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru, walaupun negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata berbeza dengan sambutan secara besar-besaran dengan pelaksanaan pelbagai program sebelum ini, sambutan pada tahun ini akan menjurus kepada program yang diadakan secara dalam talian termasuk di media sosial.
"Jika dulu, pada 1 April kita sudah melancarkan tema dan merancang pelbagai program di peringkat sekolah sehingga tiba Hari Guru, tapi ia tidak berlaku tahun ini. Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada sambutan Hari Guru.
"Dalam kekangan baharu ini, yang penting adalah prinsip. Prinsipnya Hari Guru adalah pada 16 Mei dan kita akan sambut Hari Guru ini.
"Bagaimana kaedahnya? Kita ambil kira kekangan yang ada dan mencari kaedah terbaik (untuk menyambutnya)," katanya.
Beliau berkata demikian pada wawancara khas dalam program "Soal Rakyat" yang disiarkan di TV3, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai tema Hari Guru pada tahun ini iaitu "Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu", Mohd Radzi berkata, konsep cinta dan berguru dengan ilmu perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar, supaya mereka sentiasa mencari ilmu tanpa perlu disuruh dan bukan hanya bertujuan untuk lulus peperiksaan.
"Mereka akan sentiasa meneroka ilmu baharu yang akhirnya nanti akan melahirkan generasi yang mengeluarkan idea dan mencipta produk serta perkhidmatan baharu," katanya.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Mohd Radzi berkata, ibu bapa dan guru perlu memberi ruang kepada anak serta pelajar mereka untuk meneroka ilmu supaya kecenderungan dan minat dapat ditentukan bermula dari tahap pendidikan tahap rendah.
Beliau turut mengingatkan guru supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan tidak hanya tertumpu kepada pengajaran berdasarkan silibus dalam buku teks saja.
BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 11 May 2020

'BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU' TEMA HARI GURU

Hari Guru tahun ini mengetengahkan tema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’. Tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan.
KUALA LUMPUR: Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-49 yang bakal disambut di seluruh negara Sabtu ini akan mengetengahkan tema 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu'.
Kementerian Pendidikan (KPM) menaruh keyakinan tema sedemikian berupaya memberi semangat baharu kepada guru dan murid, sekali gus membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan niat ikhlas supaya ia mudah terpahat di sanubari.
"Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda memperingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa.
"Tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat falsafah pendidikan kebangsaan.
"Guru ialah insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu melengkapkan dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar prinsip pembelajaran sepanjang hayat.
"Dalam konteks berguru, ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang dengan kepakaran atau kemahiran yang asli dan berasaskan sumber betul, sahih serta berwibawa," kata kenyataan itu.
KPM berkata murid perlu menginsafi bahawa tiada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru, malah golongan pendidik menjadi penyumbang utama ke arah pembentuk ketrampilan dan keperibadian seseorang.
Sehubungan itu, berguru adalah proses pembelajaran berterusan yang tiada penghujung selagi seseorang masih menikmati kehidupan di dunia ini.
Seseorang yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap ilmu berkenaan dan berusaha meneroka bidang ilmu baharu.
Ini akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta dan mereka produk serta perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada masyarakat dan negara.
Murid yang ada pada hari ini ialah generasi pewaris masa hadapan negara, justeru adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa muridnya akan kecintaan dan dahaga kepada ilmu.
Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan, maka KPM yakin bahawa tema 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' ini dapat memberi semangat baharu kepada guru dan murid.
BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 10 May 2020

COVID-19 : PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI (10 MEI 2020)




Sumber : Bernama

PENGETUA, GURU BESAR PERLU TOLAK ANSUR ARAHAN GURU KEMBALI BERTUGAS

KUALA LUMPUR: Pengetua dan guru besar perlu menggunakan budi bicara sewajarnya dalam menentukan keperluan guru yang tinggal jauh untuk kembali bertugas dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengerusi Gabungan Alumni Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh Malaysia, Dr Ab Wahab Che Mat, berkata ini kerana proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) boleh dilakukan secara dalam talian di mana sahaja dan tiada keperluan mendesak untuk memanggil guru berada di stesen bertugas ketika ini.
"Mereka boleh memanggil guru dalam kuantiti seminimum yang boleh untuk membantu urusan pentadbiran yang dirasakan benar-benar penting di sekolah ketika ini. Namun, sekiranya sesuatu perkara boleh lagi dibincangkan melalui dalam talian, ia harus terus dilakukan melalui kaedah itu.
"Keutamaan buat guru kini ialah meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa di rumah sehinggalah sekolah dibuka kelak, jadi dengan ini ia sedikit sebanyak mengurangkan kesulitan guru yang sudah berada di kampung untuk berfikir pulang bertugas dalam waktu terdekat," katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas isu yang tular dalam media sosial bahawa terdapat arahan daripada pengetua dan guru besar supaya guru kembali bertugas kerana semua pejabat kerajaan telah dibuka bermula pada 4 Mei lalu termasuk premis sekolah.
Perkara itu juga menimbulkan kesulitan kepada guru khususnya mereka yang terkandas di negeri untuk pulang kembali bertugas sedangkan tiada keperluan mendesak buat waktu ini termasuk urusan sesi persekolahan yang ditutup ekoran penularan wabak COVID-19.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pula berpendapat walaupun guru terikat dengan aku janji iaitu bersedia berkhidmat jika dipanggil bertugas seperti mana penjawat awam lain, namun perkara itu perlu dilihat dalam konteks semasa.
Beliau berkata, ia perlu dilihat dengan kenyataan Perdana Menteri pada 1 Mei lepas di mana kerajaan mengutamakan kakitangan awam untuk bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat dan mesyuarat juga digalakkan diadakan secara dalam talian.
"Saya rasa semua guru faham dengan aku janji sebagai penjawat awam, tapi disebabkan situasi semasa pandemik COVID-19, bukan dalam keadaan normal, ia tidak boleh diaplikasikan 100 peratus, kena akur dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa yang lebih penting.
"Jadi saya berharap pengetua dan guru besar faham perkara ini dengan perancangan yang betul dan teliti pentadbiran sekolah itu masih boleh diteruskan dan guru boleh meneruskan tugas mereka di rumah masing-masing secara dalam talian sehingga satu tarikh yang sesuai diumumkan oleh pihak kementerian," katanya.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Wan Mohd Zahid Mohd Noordin pula berpandangan isu ini timbul kerana tidak ada 'sumber autoriti' sehingga berlaku percanggahan pendapat di peringkat bawahan termasuk pengetua dan guru besar.
"Kita tidak mahu sesuatu arahan menjadi kelam kabut apa yang patut buat, ada rungutan sana sini dan menyebabkan pentadbiran lintang pukang. Jadi pihak atasan Kementerian Pendidikan perlu keluarkan satu garis panduan yang jelas dan akhirnya kecacatan sifar dapat dicapai," katanya.
Sementara itu, seorang guru di Facebook yang meluahkan pandangan berkata selagi tiada pengumuman rasmi pembukaan sekolah, pengetua dan guru besar perlu bertolak ansur dengan memberi kebebasan untuk guru membuat pilihan untuk bekerja dari mana sekalipun.
Namun katanya, apabila kenyataan Perdana Menteri bahawa sektor ekonomi termasuk sektor awam akan dibuka, kemudian disusuli arahan-arahan supaya balik bekerja, maka guru terkejut seketika.
"Lebih menyulitkan lagi, semua arahan hanya berbentuk 'taip di Whatsapp atau Telegram' sahaja tanpa hitam putih rasmi. Ada negeri kata begini, ada negeri lain kata begitu.
"Pendapat saya, apa salahnya dalam tempoh berbaki cuma dua minggu sahaja lagi sebelum cuti sekolah (cuti hari raya Aidilfitri) akan datang, dibenarkan sahaja guru untuk terus kekal berada di mana-mana mereka berada sekarang.
"Hampir pasti sekolah tidak dibuka sebelum cuti sekolah ini. Sehingga saat ini pun tiada apa-apa pengumuman mengenainya," katanya.
BERNAMA ONLINE

Saturday, 9 May 2020

ADA GURU YANG PERLU KE SEKOLAH KETIKA PKPB

Sesi persekolahan belum bermula berikutan wabak COVID-19
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sudah memutuskan ada guru sekolah akan dipanggil balik bekerja meskipun sesi persekolahan masih belum dibenarkan beroperasi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat keperluan yang perlu dilakukan guru berkenaan seperti menyediakan perkara berkaitan pengajian pelajar masing-masing.
"Jika ada guru yang musykil, mereka boleh menghubungi Pejabat Pelajaran Daerah di tempat masing-masing atau berhubung terus dengan Kementerian Pendidikan," katanya dalam sidang akhbar harian, hari ini.
Sebahagian guru di beberapa negeri terpaksa pulang ke sekolah ketika ini meskipun sesi persekolahan masih belum dibenarkan oleh kerajaan dan ia menimbulkan kekeliruan dalam kalangan tenaga pengajar berkenaan.
BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 6 May 2020

SEMANGAT PELAJAR DI PEDALAMAN TAK LUNTUR SEJAK PKP

Google Classroom antara PdP dalam talian popular sejak PKP
GOOGLE Classroom, Zoom dan Google Meet, antara wahana pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang popular sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia menjadi pilihan tenaga pengajar, termasuk guru dan pensyarah bagi memastikan pelajar mampu meneruskan pelajaran dari kediaman masing-masing.
Bagaimanapun, ada ibu bapa dan pelajar mengeluh berikutan capaian internet lemah dan tiada peranti elektronik khusus bagi keluarga kurang berkemampuan.
Bagaimana pula pelajar jauh di pedalaman dan dikelilingi hutan tebal. Bukan sahaja tiada capaian internet, malah tidak mendapat liputan telekomunikasi! Ini menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti sebarang PdP pada musim PKP ini.
Perkara ini bermain-main dalam fikiran, sekali gus mengingatkan saya kepada pengalaman mengikuti Misi Klinik Bergerak di pedalaman Sarawak, akhir 2018.
Rumah panjang, Anthony Bau didiami masyarakat kaum Iban di Julau, Sarikei tidak memiliki liputan telekomunikasi, sekali gus bukan mudah sampai ke penempatan berkenaan.
Rumah panjang itu 'terpisah' dengan dunia luar kerana hutan tebal. Penduduk yang mahu mendapatkan liputan telekomunikasi, perlu ke Julau yang mengambil masa berjam-jam lamanya. Itu pun bergantung pengangkutan, sama ada sungai, jalan balak atau udara sahaja.
Perjalanan ke Jeti Nanga Entabai di Julau dengan perahu panjang enjin sangkut, mengambil masa lima hingga enam jam, bergantung keadaan sungai. Dari jeti, mereka perlu menaiki van 45 minit untuk sampai ke Julau.
Jika menggunakan jalan balak, perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal lasak kira-kira empat jam. Namun, berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman binatang buas, jalan licin disebabkan hujan dan risiko kenderaan rosak.
Dengan segala kesukaran liputan telekomunikasi dan tragedi perahu karam mahupun terkandas di hutan tebal serta kos perjalanan melebihi RM500, apakah ia mematahkan semangat anak pedalaman untuk belajar ketika PKP?
Untuk mengetahui jawapan, penulis menghubungi Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Julaihi Mahdi.
SK Nanga Ju mempunyai 23 murid daripada Rumah Panjang Lepong Bilat (Rumah Nyalih) dan Rumah Panjang Nanga Ju (Rumah Gerasi). Ia sekolah paling jauh berbanding SK Nanga Entabai, SK Lubok Asam dan SK Nanga Maong.
Sekolah ini dibekalkan dengan alat telekomunikasi, iaitu internet menggunakan parabola, tetapi kemudahan itu rosak sejak awal tahun ini.
"Namun, itu bukan bermakna kami seramai 10 guru dan enam anggota kumpulan pelaksana (AKP) menjadikan kesukaran telekomunikasi sebagai alasan membiarkan murid begitu sahaja," katanya.
Sementara itu, Guru Prasekolah SK Nanga Ju, Muhamad Fadheruhisham Daud, memberitahu BERNAMA, terdapat beberapa cara pembelajaran, termasuk menyampaikan tugasan kepada wakil ibu bapa.
Menurut beliau, seorang wakil ibu bapa murid secara sukarela ke Julau seminggu sekali dan menelefon guru bagi mendapatkan tugasan murid.
Guru yang sudah menyediakan bahan untuk latih tubi, lebaran kerja, aktiviti kuiz dalam bentuk salinan digital, mahupun gambar, akan memberikannya menerusi aplikasi WhatsApp.
Ibu bapa murid lain akan bertemu dengan wakil berkenaan dan mengambil gambar tugasan itu menggunakan telefon bimbit. Tugasan itu tidak dapat dihantar terus ke telefon mereka kerana tiada talian.
Selain itu, guru juga menggunakan khidmat kakitangan sekolah yang tinggal di Sarikei, iaitu Apai Lovy, untuk menghantar tugasan dicetak kepada wakil ibu bapa berkenaan.
Bagaimanapun, sekiranya wakil ibu bapa tidak dapat dihubungi selepas dua minggu, Apai sendiri akan ke rumah panjang menggunakan jalan balak yang mengambil masa kira-kira lapan jam.
Muhammad Fedheruhisham berkata, kebanyakan guru berada di Sarikei, sekali gus memudahkan untuk mengumpul bahan dan memberikannya kepada Apai.
Murid juga mempunyai cara tersendiri sekiranya tidak faham sesuatu tugasan diberikan guru.
Menurut Apai, ibu bapa murid akan membawa anak mereka ke puncak bukit untuk cuba menghubungi guru.
"Bolehlah dapat talian tapi nyawa-nyawa ikan. Ada juga yang akan menghubungi cikgu mereka mengenai latihan ketika berpeluang mengikuti ibu atau ayah mereka ke pekan," katanya.
Meskipun tidak mempunyai sebarang talian komunikasi, kebanyakan rumah panjang di situ mempunyai televisyen, sekali gus membantu dalam mendapatkan maklumat mengenai COVID-19 dan program TV Pendidikan menerusi saluran TV Okey.
"Walaupun kurang kemudahan, saya perhatikan semangat anak ini kuat. Ibu bapa serta tuai rumah (ketua rumah panjang) pun sangat menitikberatkan pelajaran buat anak ini," kata Apai.
BERITA HARIAN ONLINE