Sumber : Bernama Online
Monday, 20 July 2020
SELESAIKAN ISU JURANG CAPAIAN INTERNET ANTARA SEKOLAH

Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian dan teknologi digital dalam bidang pendidikan perlu diperkemaskan, terutama dari segi capaian internet.
Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berkata ketika lebih 10,000 sekolah ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, lebih lima juta pelajar sekolah rendah dan menengah tidak dapat ke sekolah, justeru ada antara mereka yang mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Bagaimanapun katanya, kaedah itu hanya dapat dilaksanakan di sesetengah kawasan yang tidak mempunyai masalah internet.
"Dalam negara kita, ada empat kluster pendidikan iaitu pelajar di bandar, separa bandar, luar bandar dan pedalaman, yang mana bukan hanya di Sabah di Sarawak, tetapi juga kawasan di Semenanjung.
"Salah satu usaha berterusan adalah mempertingkatkan kebolehcapaian internet, bukan hanya dari zaman Barisan Nasional (BN) tapi juga di zaman Pakatan Harapan (PH).
Sekarang ini, saya amat yakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha mempertingkatkannya.
"Jadi, saya minta jawapan daripada Menteri Pendidikan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, sejauh mana capaian (internet) dan apakah usaha untuk memberi capaian tertinggi, khususnya di luar bandar serta pedalaman untuk membolehkan ketika COVID-19 ini, anak-anak di rumah boleh berhubung dengan guru mereka.
"Saya pasti ada kawasan anak-anak di kampung dan pedalaman tidak dapat (berhubung) kerana masalah capaian internet ini," katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Mahdzir turut meminta Kementerian Pendidikan mengkaji perkara berkaitan memberi kuasa autonomi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk membuat keputusan, yang antara lain mengenai pentadbiran dan tenaga kerja yang perlu diputuskan segera.
Beliau mencadangkan penubuhan satu majlis membabitkan agensi di pelbagai kementerian supaya dapat sama-sama memainkan peranan dalam menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
BERITA HARIAN ONLINE
Sunday, 19 July 2020
Saturday, 18 July 2020
PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH CERMIN KEPRIHATINAN TERHADAP PELAJAR LUAR BANDAR

Radzi berucap ketika lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di Sandakan, hari ini
SANDAKAN: Pembukaan semula sesi persekolahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar, khususnya di luar bandar yang berdepan masalah capaian internet untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata walaupun kementerian berusaha mencari jalan untuk menangani masalah itu, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sesi persekolahan secara berperingkat dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.
"Kami sedar mengenai kekangan dihadapi pelajar di luar bandar. Selain (akses) internet, kebanyakan pelajar tidak mempunyai gajet seperti komputer riba yang boleh mereka gunakan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
"Jadi, kami (kerajaan) memutuskan membuka semula sesi persekolahan kerana kami tahu banyak pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, tidak dapat berkomunikasi dengan guru mereka atau menerima bahan pembelajaran walaupun pelbagai usaha diambil untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di sini, hari ini.
Dalam rangka lawatan dua hari beliau ke Sandakan, Radzi berkata beliau melawat beberapa sekolah di daerah itu dan berpuas hari bahawa mereka mematuhi SOP sepanjang tiga fasa pertama pembukaan sekolah, termasuk pengendalian asrama sekolah.
Pembukaan semula sesi persekolahan bermula dengan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas pada 24 Jun, diikuti prasekolah pada 1 Julai serta Tingkatan 1-4 dan Tingkatan Enam Rendah dan murid Tahun Lima dan Enam pada 15 Julai, manakala murid Tahun 1-4 dijadual kembali ke sekolah pada 22 Julai.
BERITA HARIAN ONLINE
MINDA PEMBACA : SYOR PEMBELAJARAN BERASAS MASALAH DI SEKOLAH
SEKOLAH di seluruh negara mula dibuka secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM). Pembukaan sekolah dalam suasana normal baharu tentu memerlukan kawalan teratur dan tegas kerana jika berlaku penularan dalam kluster sekolah proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) akan terganggu dalam jangka panjang.
Ini akan menimbulkan kegusaran ibu bapa dan tentu kehadiran pelajar ke sekolah menjadi tidak menentu. Namun, perkara luar jangkaan ini sudah difikirkan dalam pengurusan risiko peringkat tertinggi KPM dan KKM.
Pelaksanaan PdP di sekolah memerlukan pendekatan lebih berkesan dan mudah dalam keadaan negara masih berdepan COVID-19. Pendekatan itu perlu disesuaikan dengan kurikulum kebangsaan.
Bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak pendekatan penyampaian pembelajaran diutarakan pakar pendidikan negara. Namun, pendekatan penyampaian pembelajaran perlu dipelbagaikan sesuai dengan keupayaan pelajar menerima dan membiasakan diri dengan suasana normal baharu.
Contohnya, kaedah segerak, tidak segerak dan offline yang semuanya berteraskan penggunaan media. Begitu juga pembelajaran teradun menggabungkan pembelajaran di kelas dan dalam talian hingga pelajar dapat mengawal masa, kadar dan tempat pembelajaran mereka.
Pembelajaran teradun perlu dirancang guru yang menentukan kombinasi sesuai untuk mereka dan pelajar. Semua pendekatan atau kaedah ini sudah dan pernah dilakukan ketika fasa awal PKP di seluruh negara tempoh hari.
Pendekatan itu mungkin lebih sesuai dilaksana pada peringkat pengajian tinggi. Dengan keadaan penerimaan dan keupayaan diri serta penggunaan media penyampai dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara, pembelajaran berasaskan masalah dirasakan lebih mudah pelaksanaannya walaupun pada asasnya media sebagai alat pengantaraannya.
Pembelajaran berasaskan masalah (PBM) antara pilihan yang ada untuk dicadangkan dilaksanakan, selain pembelajaran lain. Proses pembelajaran sedia ada dengan hasil pembelajaran kebiasaannya itu ditekankan dalam bentuk daya ingatan, pengetahuan dan kefahaman.
Proses pembelajaran boleh juga dilakukan kepada individu dan kolaboratif antara pelajar dengan bantuan keluarga dan masyarakat. Ini memberi gambaran pendekatan pembelajaran berasaskan masalah agak berbeza.
Menurut pakar dan perunding dan ketua jurulatih utama dari Malaysian Assocation Of Problem-Based Learning, masalah dunia sebenar dijadikan asas kepada pembelajaran. Keperluan menambah elemen dalam talian dalam kurikulum guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) seperti disebutkan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim ialah perkembangan baik dan berguna kepada bakal guru dan guru sedia ada.
Pendedahan kursus jangka pendek melalui dalam talian bukan sahaja menjimat kos dan masa, bahkan membentuk budaya proses pembelajaran sepanjang hayat.
Masalah dunia sebenar dijadikan elemen asas kepada pendekatan pembelajaran berasaskan masalah. Masalah ini kemudian direka bentuk semula menjadi masalah autentik dan dikemukakan kepada pelajar untuk dipelajari secara aktif dan kolaboratif.
Pendekatan diagnostik atau inkuiri khusus dilatih kepada pelajar untuk mereka gunakan dalam proses pembelajaran. Walau pun pendekatan ini diguna pakai dalam kebanyakan mata pelajaran, penekanan cara lebih berkesan belum diusahakan.
Di KPM dan universiti awam (UA) tentunya lebih arif dalam bidang ini dan sudah ada dilaksanakannya. Pendekatan diagnostik atau inkuiri ini dijalankan berkumpulan dengan pelajar akan membabitkan diri secara aktif dan reaktif dalam proses sumbang saran bagi memahami senario masalah dikemukakan.
Menurut jurulatih utama perunding berkenaan, pelajar akan meneruskan proses pembelajaran secara terarah kendiri untuk meneroka ilmu, kemahiran dan nilai berkaitan hasil diagnostik atau inkuiri yang dijalankan sebelum itu.
Selepas itu, pelajar akan membabitkan diri dengan proses pembelajaran secara proaktif dan preaktif dengan ilmu, kemahiran dan nilai baharu akan diterokai dan dibina.
Masalah akan timbul pada peringkat sekolah dengan keupayaan dan pencapaian pelajar berbeza. Sama ada dalam masa proses pembelajaran mahu pun kemahiran dan menguasai penggunaan media meskipun telefon bimbit sentiasa berada dalam pegangan dan kawalan mereka. Mencari data dan fakta tentunya masih ramai teraba-raba. Bantuan ibu bapa atau ahli keluarga dan masyarakat setempat amat diperlukan jika pendekatan ini ingin diguna pakai.
Apakah perlu diadakan kursus penggunaan cara berkesan telefon bimbit dalam menjadikan ia antara medium pembelajaran. Bagaimana dan cara mana ia diberi ruang kepenggunaannya di sekolah dan di luar sekolah. Perlu diingat larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit masih berkuat kuasa pada peringkat sekolah.
Kesimpulannya, pembelajaran berasaskan masalah ini perlu disusun sesuai dengan kurikulum pembelajaran di sekolah yang dicadangkan di sekolah perlu diwujudkan satu jawatankuasa pendekatan pembelajaran yang diselia Guru Penolong Kanan Akademik atau yang setara dengannya.
Justeru, perlu diadakan sesi penerangan atau kursus jangka pendek dan menyelia kajian tindakan permasalahan pelaksanaan pembelajaran berasaskan masalah di sekolah dalam kalangan guru dan pelajar supaya ia lebih berkesan pelaksanaannya.
Jadikan pembelajaran berasaskan masalah elemen penting dalam pembelajaran dalam era normal baharu.
Zulkifli Ab Latiff,
Ayer Baloi, Pontian
BERITA HARIAN ONLINE
Friday, 17 July 2020
COVID-19 : FEN- PERSEDIAN MENGHADAPI MORATARIUM YANG AKAN BERAKHIR
NGO SOKONG KEPUTUSAN KERAJAAN TIDAK LAKSANA SEMULA PPSMI

15 persatuan berkaitan pelajar, pendidikan dan bahasa di negara ini berpendapat, tiada keperluan melaksanakan semula Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berikutan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBBI) yang digunakan kini mula memperlihatkan kesan positifnya.
KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan untuk tidak akan melaksanakan semula Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah suatu tindakan tepat kerana kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan, kegagalan program berkenaan.
Sokongan itu disuarakan 15 persatuan berkaitan pelajar, pendidikan dan bahasa di negara ini yang berpendapat, bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan semula PPSMI berikutan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBBI) yang digunakan kini mula memperlihatkan kesan positifnya.
Persatuan yang menyatakan sokongan itu antaranya, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Penasihat PLM, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata Kementerian Pendidikan semasa di bawah teraju Tan Sri Muhyiddin pada tahun 2011 sudah memutuskan pemansuhan PPSMI selepas kajian yang dilakukan pelbagai institusi bahasa dan pendidikan, menunjukkan kesilapan dan kegagalan program itu.
"Semua kajian menunjukkan bahawa PPSMI tidak berjaya mencapai hasrat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
"Malah di sebalik perbelanjaan besar yang melebihi RM5 bilion, pencapaian PPSMI hanya sekitar tiga peratus dan menyebabkan kemerosotan yang nyata bagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
"Rata-rata kajian menunjukkan bahawa lebih 70 peratus pelajar dan guru tidak menganggap PPSMI sebagai program yang tepat bagi hasrat peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, " katanya melalui kenyataan secara bersama, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sidang Dewan Rakyat menerusi jawapan bertulis menjelaskan pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak meneruskan pelaksanaan PPSMI di sekolah sebagaimana dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.
Mohd Radzi berkata demikian menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang), yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan alasan untuk memperkenalkan semula PPSMI dan penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan terdahulu.
Sementara itu, kenyataan bersama itu menyebut, pencapaian pelajar negara dalam ujian antarabangsa yang berkaitan dengan Sains dan Matematik seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) merosot dengan ketara sesudah pelaksanaan PPSMI.
Katanya, kesan buruk PPSMI terlihat juga dalam kemerosotan minat pelajar untuk memilih aliran sains sehingga hanya kira-kira 25 peratus sahaja jumlahnya dan masalah itu menimbulkan kesan kepada jumlah pelajar Sains dan Teknologi di institut pengajian tinggi (IPT) yang juga merosot.
"Pakar bahasa dan pendidikan sudah menawarkan penyelesaian dengan meningkatkan penambahbaikan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri, yang meliputi bidang kurikulum, latihan guru, pedagogi atau kaedah pengajaran dan bahan ajar.
"Selain itu, DBP juga menubuhkan pasukan yang diketuai oleh pakar pendidikan, iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron untuk mengemukakan langkah praktis dalam peningkatan pengajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam, untuk dimanfaatkan oleh pihak kementerian," katanya.
Sementara itu beliau berkata, Program Dwibahasa (DLP) juga perlu dinilai semula pelaksanaannya kerana mewujudkan polarisasi dalam kalangan pelajar, di mana terdapat sejumlah pelajar mengikuti Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan sebahagian lagi dalam bahasa Melayu.
Katanya, selain itu, DLP menjelaskan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama penghantar pendidikan negara sebagaimana yang dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996.
BERITA HARIAN ONLINE
Subscribe to:
Posts (Atom)




